Saturday, November 12, 2011

Puding Karamel


Salah satu puding yang cukup sedap dimakan waktu petang yang panas adalah Puding Karamel. Rugi kalau tak cuba buat, sebab cara membuat puding ini agak senang. Pada percubaan pertamapun, puding yang saya hasilkan memuaskan hati dan amat memuaskan tekak. Tambahan pula, membuat puding ini tidak mengambil masa yang lama.

Terima kasih kepada Alia di My Resipi yang sudi berkongsi resipi Puding Karamel yang lazat ini. Mari kita lihat bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan ( saiz:16 cm ) (saya buat 2 adunan untuk hasilkan 5 bekas sederhana puding)

  • 400ml susu segar/susu cair
  • 5 sudu besar gula halus
  • 3 biji telur- pada suhu bilik
  • 2 biji telur kuning-pada suhu bilik
  • 2-3 titik esen vanila

  • [ KARAMEL ]
  • 5 sudu besar gula
  • 2 sudu besar air

Cara-cara

  1. Sediakan karamel: Masukkan gula ke dalam periuk dengan 1 sudu besar air. Masak di atas api sederhana. Bila nampak sedikit perang, masukkan 1 sudu lagi air. Masaklah sehingga perang. Tuang ke dalam loyang. Ketepikan.
  2. Masukkan telur dan kuning telur ke dalam mangkuk. Sambil dikacau masukkan gula sedikit demi sedikit. Kacau dengan perlahan sehingga sebati. Jangan biarkan berbuih.
  3. Dalam periuk lain masukkan susu dan esen vanila. Panaskan sehingga 60 degree. Jangan sampai mendidih.
  4. Dengan susu yang masih panas lagi, masukkan sikit demi sedikit susu ke dalam telur tadi. Kacau sehingga sebati. Tuang ke dalam loyang yang ada karamel tadi.
  5. Tutupkan loyang dengan 2 lapis aluminium foil. Kukus dengan api sederhana selama 30 minit
  6. Atau boleh juga dibakar di dalam oven. Tapi perlulah diletakkkan air suam ke dalam dulang pembakar. Bakar selama 40-45 minit pada suhu 150 degree. (Saya guna teknik kukus)
  7. Bila dah masak. Jangan buka aluminium foil. Biarkan 5 minit. Kemudian bolehlah dibuka.
  8. Bila sejuk bolehlah disimpan dalam peti ais.


Puding ini amat digemari oleh saya, Hasya dan ibu saya. Selamat mencuba!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...