Showing posts with label History. Show all posts
Showing posts with label History. Show all posts

Sunday, November 20, 2011

Unsinkable Myth: Tenggelamnya RMS Titanic 1912 (menjelang 100 tahun penuh bersejarah)

Titanic yang terkubur di Lautan Atlantic

Pada tahun 1997, tiga studio gergasi US (20th Century Fox, Paramount Pictures dan Lightstorm Entertainment) telah mengeluarkan filem epik mega `Titanic' yang diilhamkan daripada sejarah tenggelamnya sebuah kapal penumpang iaitu RMS Titanic pada 1912.

Filem ini memfokuskan 3 tema penting iaitu: 1. Cinta agung. 2. Status/Kelas dan 3. Kapal Titanic. Diterajui dua tonggak utama iaitu Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet, filem arahan James Cameron ini mencatat kejayaan yang amat membanggakan daripada segi kutipan tiket dan populariti. 

Namun, apa yang kebanyakkan kita tidak tahu adalah: Dua watak penting tersebut iaitu Jack Dawson dan Rose DeWitt Bukater pada hakikatnya tidak pernah menaiki RMS Titanic pada tahun 1912! Realitinya, Jack dan Rose adalah manusia yang tidak pernah wujud dan merupakan watak fiksyen ciptaan Hollywood.

RMS Titanic bukanlah sebuah kapal milik US. Sebaliknya kapal ini dibina di Belfast, Ireland dan dimiliki oleh sebuah syarikat perkapalan terkemuka British iaitu White Star Line.

RMS Titanic berlayar dari Southampton

Pada 10 April 1912, kapal ini memulakan pelayaran sulungnya, berlepas dari Southampton ke New York. Kapten RMS Titanic ialah Edward J. Smith. Pelayaran ini membawa 2,224 orang (krew dan penumpang).

Pada malam 14 April 1912, RMS Titanic meredah lautan yang suhunya berada pada tahap beku. Terdahulu pada siang hari, Kapten Smith telah dimaklumkan tentang amaran bongkah air batu (iceberg) menerusi sistem radio kapal.

Bongkah air batu yang dilanggar oleh Titanic

Kapal malang ini bergeser dengan bongkah air batu di Barat Laut Lautan Atlantik pada jam 11.40 malam, 14 April 1912 iaitu pada hari ke-4 pelayarannya. Mengambil masa tidak sampai 3 jam, kapal ini tenggelam sepenuhnya jam 2.20 pagi 15 April 1912. 

Nahas ini menyebabkan kehilangan 1,514 nyawa. Lelaki mencatatkan kematian yang paling tinggi kerana krew kapal melaksanakan protokol "utamakan wanita dan kanak-kanak" semasa proses menyelamat mangsa.

Paling menyedihkan adalah ketidakcukupan bot penyelamat yang dibawa oleh RMS Titanic. Kapal ini hanya membawa 20 bot penyelamat yang boleh memuatkan 1,178 penumpang. Walau bagaimanapun, bot-bot penyelamat yang dilancarkan tidak dimuatkan dengan kapasiti penuh. Contohnya, bagi bot penyelamat pertama hanya dimuatkan 28 orang sedangkan bot tersebut boleh memuatkan 65 orang!

Bot penyelamat

Justeru, tidak hairanlah jika hanya 1/3 iaitu 710 orang yang terselamat daripada nahas ini. Penumpang kapal ini terbahagi kepada 3 kelas iaitu kelas pertama, kedua dan ketiga. Penumpang lelaki kelas kedua (92% kematian) dan ketiga (84% kematian) mencatat jumlah kematian paling tinggi. 

Meskipun protokol "utamakan wanita dan kanak-kanak" dilaksanakan, status dan kelas tetap menjadi kayu pengukur penting semasa proses menyelamat. 66% kanak-kanak kelas ketiga terkorban dalam nahas manakala 100% kanak-kanak kelas kedua dan 83% kelas pertama (cuma seorang yang terkorban) berjaya diselamatkan. Begitu juga dengan nasib penumpang wanita di kelas ketiga, hanya 46% sahaja yang terselamat.

Menyedari masih terdapat ruang untuk menempatkan beberapa penumpang lagi, 2 buah bot (bot penyelamat no. 4 dan no. 14) berpatah balik untuk menyelamatkan penumpang-penumpang yang terapung di laut. Walau bagaimanapun, bot-bot lain tidak berbuat demikian kerana takut kemungkinan ditenggelamkan penumpang-penumpang yang mungkin berebut-rebut.


RMS Carpathia berlabuh di New York

Penumpang-penumpang yang berada dalam bot penyelamat kemudiannya diselamatkan oleh Kapal RMS Carpathia yang tiba jam 4.10 pagi. RMS Carpathia tiba di New York 4 hari kemudian (18 April 1912).

Setelah 99 tahun berlalu... 710 mangsa yang terselamat juga hanya tinggal nama. Penumpang RMS Titanic yang terakhir menghembuskan nafas ialah Millvina Dean iaitu pada 31 Mei 2009. Mendiang meninggal dunia pada usia 97 tahun.

Realitinya, kapal ini tenggelam dan berkubur di Lautan Atlantik pada pelayaran pertamanya dan tidak pernah sampai ke destinasi yang dituju...

Thursday, November 3, 2011

Semuanya Tentang Coklat M&M's

M&M's Las Vegas
Semalam kita dah belajar cara buat kek lapis M&M, jadi hari ni kita belajar tentang coklat M&M's. Kalau kita suka dengan sesuatu, kita kena tahu salasilah dan segala-galanya tentang perkara yang kita suka.


Coklat M&M's mula diperkenalkan di United States pada tahun 1941 iaitu semasa Perang Dunia ke-2. Coklat M&M's pertama dibuat dalam warna coklat.
Tahun 1954, M&M's memperkenalkan coklat dengan kacang. Semasa ini jugalah diperkenalkan tagline "melts in your mouth, not in your hands".

Tahun 1960, M&M's mengeluarkan coklat warna-warni iaitu warna kuning, merah dan hijau. Warna oren diperkenalkan pada tahun 1976.
Mug yang comel

Pada tahun 1980, coklat ini diperkenalkan di pasaran antarabangsa. Tahun 1980 ini jugalah M&M's mula dijual di pasaran Malaysia (FYI, orang Malaysia dapat makan M&M's pada tahun yang sama orang UK dapat makan, kelasss gitu).


1995, 10 juta orang memilih untuk pengenalan M&M's biru. Maka, warna biru diperkenalkan.



Pilih coklat
 1997, M&M's World yang pertama dibuka di Las Vegas Strip, Nevada! We Were there in 2010! Selain daripada Las Vegas, M&M's World turut dibuka di New York (2006), Orlando (2005) dan London (2010). Hmmm, bila nak buka di Malaysia ni?

 
M&M's World Las Vegas berdekatan dengan Pusat Perjudian paling popular di Las Vegas iaitu MGM Grand. Sebelum pembukaan di London, M&M's Vegas adalah yang paling besar kaki perseginya. Sekarang dah jadi no. 2 lah. Di sini ada dijual pelbagai barangan M&M's dan pilihan pelbagai warna candies M&M's.


Pilihan yang banyak


1999, pengenalan M&M's crispy. Dan coklat ini terus menambat hati pada era milennium ini. Sekarang dah ada M&M's coconut dan pretzel. Tapi saya rasa perisa ini belum dijual di Malaysia. Mari makan coklat yang lazat ini. Yummy!


Kalau makan coklat M&M's di Las Vegas, lagi bagus. Sebab boleh makan banyak-banyak tanpa rasa bersalah. Almaklum 'Sin City' lah katakan. Tambahan pula, kita boleh lupakan segala kalori yang telah diambil kerana What happens in Vegas stays in Vegas :D

 


Thursday, September 15, 2011

Tenggelamnya Repulse & Prince of Wales




Semasa di sekolah menengah, saya dan anda semua belajar tentang zaman kolonialisme dan kependudukan Jepun di Tanah Melayu. Maka, nama dua buah kapal British iaitu `Repulse' dan `Prince of Wales' ada tercatat dalam buku teks sejarah.


Saya pasti, anda semua ingat atau macam ingat-ingat lupa tentang dua kapal British ini. Ingat atau tidak, sebenarnya dua kapal ini adalah satu fakta sejarah yang kita semua patut tahu kerana ia melibatkan permulaan kemenangan besar-besaran Jepun menduduki Tanah Melayu.


Pearl Harbor


Fakta:


Sejarah `The Sinking of Repulse & Prince of Wales' berlaku semasa Perang Dunia Ke-2. Permulaan perang tercetus apabila Pangkalan Tentera US di Pearl Harbor diserang oleh tentera udara kamikaze Jepun pada Disember 7, 1941. Anda boleh menonton filem `Pearl Harbor' version Hollywood yang dilakonkan oleh dua aktor tampan iaitu Ben Affleck dan Josh Hartnet (hensem) untuk mengimbas kembali tragedi Pearl Harbor ini.


Jepun melancarkan serangannya ke Tanah Melayu pada 8 Disember 1941. Meskipun bunyinya seperti sehari selepas serangan ke atas Pearl Harbor tetapi sebenarnya tarikh pelancaran serangan Jepun adalah adalah lebih kurang sama. Sebabnya, waktu di US yang lambat 12-13 jam daripada waktu di negara-negara Asia Tenggara. Jadi, kesimpulan yang saya buat adalah, Jepun memang melancarkan serangan secara intensif dan serentak untuk memulakan World War II.


Jepun mendarat di Pantai Padang Pak Amat (Kota Bharu) sejurus selepas tengah malam 8 Disember 1941. Pada 9 Disember 1941, Jepun berjaya menawan 3 lapangan terbang di utara tanah air iaitu Sungai Petani (kampung saya), Butterworth dan Alor Star.


British yang mengalami kekalahan awal untuk mempertahankan negeri-negeri Melayu di utara tanah air telah menghantar dua buah kapal perang mereka `Repulse' dan `Prince of Wales' untuk mempertahankan tanah melayu dan semestinya Singapura yang menjadi tapak pelaburan utama British di Asia Tenggara.




Malangnya pada 10 Disember 1941, kedua-dua kapal tempur ini dibedil oleh tentera udara Jepun sebelum sempat mendarat di Kuantan iaitu ketika masih di perairan Laut China Selatan. Sebabnya, kedua-dua kapal perang ini tidak diiringi oleh tentera udara British. Maka, tenggelamlah dua kapal perang ini yang mengorbankan 840 tentera Kuasa Bersekutu (513 Repulse dan 327 Prince of Wales).




Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill terlebih dahulu mengumumkan penghantaran dua buah kapal tersebut untuk menjaga kepentingan British di Asia Tenggara daripada serangan tentera Paksi. Akibatnya, Admiral Jepun, Isoroku Yamamoto telah mengatur serangan ke atas kedua-dua kapal tersebut yang akhirnya membawa kejayaan besar ke atas kependudukan Jepun di Tanah Melayu.


Langkah Jepun menyerang Pearl Harbor beberapa hari sebelum itu memang bijak kerana US tidak mampu untuk menghantar bantuan kepada rakan sekutu mereka untuk mempertahankan negara-negara di Asia Tenggara. Serangan Jepun ke atas Pearl Harbor menyebabkan 8 buah kapal perang US tenggelam dan musnah.


Keesokan harinya, Winston Churchill (ketika di bilik tidur) menerima panggilan telefon daripada Sir Dudley Pound (First Sea Lord):


Winston Churchill



Pound: Perdana Menteri, saya ingin melaporkan bahawa Prince of Wales dan Repulse telah ditenggelamkan oleh Jepun, kami rasa menggunakan tentera udara. Tom Phillips (admiral/komander perang) turut tenggelam.


Churchill: Adakah kamu pasti berita ini benar?


Pound: Saya pasti tanpa sebarang keraguan.


Dan Churchill meletakkan telefon.


"Dalam perang-perang yang pernah saya lalui, saya tidak pernah menerima kejutan seperti ini...Apabila saya berpaling di atas katil, berita tenggelamnya kedua-dua kapal tersebut menghantui saya. Tidak ada kapal British atau Amerika di Lautan Hindi atau Pasifik kecuali yang terselamat daripada Peral Harbor yang mana ketika ini sedang bergegas pulang ke California. Dengan ini kekuatan Jepun di laut amatlah hebat, dan kami (tentera bersekutu) amat lemah serta tidak berpakaian." (Churchill).


Semoga info di atas dapat mengembalikan ingatan kita tentang sejarah negara.

Wednesday, September 14, 2011

The Alamo & Bukit Kepong





Apakah persamaan antara The Alamo dan Bukit Kepong?


PERSAMAAN TARIKH

Persamaan yang ketara adalah tanggal 23 Februari menjadi titik bersejarah dan berdarah bagi kedua-dua kawasan tersebut. Bukit Kepong, Muar menjadi `Padang Jarak Padang Tekukur' pada 23 Februari 1950. Manakala peristiwa berdarah di The Alamo, Texas berlaku pada 23 Februari 1836.

PERSAMAAN PERISTIWA

Selain daripada tarikh, persamaan seterusnya adalah kedua-dua kubu bersejarah ini dikepung oleh tentera yang lebih besar dan berlakunya pertempuran berdarah dan tragis untuk mempertahan kubu masing-masing. Di Bukit Kepong, sejumlah 200 anggota komunis mengepung dan menyerang Balai Polis Bukit Kepong bermula jam 4.15 pagi untuk menawan balai polis berkenaan. Ketika kejadian, pasukan polis terdiri daripada 25 anggota yang berjuang sehingga ke titisan darah mereka yang terakhir. Dalam kejadian, 17 anggota polis dan hampir 40 komunis terkorban.


Perang The Alamo tercetus apabila rakyat Texas mahu negara yang berasingan daripada Mexico. Mereka perjuangkan Republic of Texas. Sama senasib dengan Bukit Kepong, ramai Tentera Revolusi Texas yang terkorban kerana jumlah mereka yang jauh lebih kecil (260 tentera) daripada Tentera Mexico (2,400 orang). Tambahan pula, mereka kehabisan peluru, sama seperti yang berlaku di Bukit Kepong.

PERBEZAAN TEMPOH

Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan antara kedua-dua peristiwa iaitu daripada segi tempoh pertempuran. Bukit Kepong berjaya ditawan oleh Komunis selepas 5 jam bertarung. Manakala The Alamo mengambil masa selama 2 minggu (23 Feb-6 Mac 1836).

Di hadapan kubu The Alamo, Texas


Ketika mengunjungi `The Alamo' di San Antonio, Texas, saya mendapati pengunjung-pengunjung yang datang rata-ratanya menghormati dan menghayati perjuangan Tentera Revolusi ini. Ketika memasuki kubu The Alamo tersebut, pengunjung yang memakai topi, akan diminta untuk menanggalkan topi yang dipakai, sebagai tanda hormat.

Bagaimanapun, saya belum pernah sampai ke Bukit Kepong sekalipun saya pernah menjejakkan kami di sekitar Muar dan Pagoh. Rasanya tidak lengkap penulisan saya ini kerana saya tidak dapat membezakan suasana hari ini antara The Alamo dan Bukit Kepong.

Mungkin Bukit Kepong perlu dijadikan tapak sejarah seperti mana yang dibuat oleh The Alamo. Kenapa kita harus mempromosikan secara besar-besar `Kota A'famosa' sedangkan perjuangan yang harus disanjung tinggi adalah perjuangan yang melibatkan pahlawan-pahlawan tanah air dalam memperjuangkan kedaulatan negara.

Sekiranya ada peluang, saya ingin sekali mengunjungi Bukit Kepong, Insyaallah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...