Friday, November 25, 2011

Adakah kita memilih atau diarah pilih?

Mira (bukan nama sebenar) yakin dia seorang yang cermat dan hanya membeli barang-barang yang benar-benar diperlukan sahaja. Setiap kali hendak ke Pusat Membeli-belah, Mira akan membuat senarai barang-barang yang hendak dibeli. Justeru, dengan senarai yang ada, Mira tidak akan membuang masa dan membuang duit untuk melihat-lihat barangan lain.

Hari ni hari gaji, Mira perlu ke Pasaraya Hebat (bukan nama pasaraya sebenar) untuk membeli barangan dapur dan juga barangan keperluan harian yang lain. Sambil berkira-kira bajet, Mira menyenaraikan 10 item untuk dibeli: shampoo, beras, ubat gigi, telur, susu kotak, roti bun, nugget ayam, mentega, sosej dan gula pasir.





Sampai sahaja di Pasaraya Hebat, Mira mengambil troli untuk memudah meletakkan barang. Sambil menolak troli, Mira berjalan ke arah pintu masuk pasaraya berkenaan. Berdekatan dengan pintu masuk diletakkan buku kupon Pasaraya Hebat untuk diambil oleh pelanggan-pelanggan yang berminat. Mirapun mengambil salah satu buku kupon tersebut. Tiba-tiba Mira ditegur oleh seorang wanita yang manis.

Si Manis: Cik, sudah mohon untuk jadi ahli Pasaraya Hebat?
Mira: Belum lagi.
Si Manis: Daftarlah Cik. Ada macam-macam insentif yang Cik akan dapat seperti diskaun, hari membeli-belah untuk ahli sahaja serta mata terkumpul yang boleh ditukar dengan pelbagai barangan hebat!
Mira: Menarik juga.
Si Manis: Memang menarik Cik. Yuran cuma RM10 sahaja.
Mira: Boleh juga. Apa yang anda perlukan.
Si Manis: Cuma berikan I/C dan yuran RM10 itu sahaja.

Maka, Mirapun berurusanlah dengan Cik yang manis tadi dan jadilah Mira ahli Pasaraya Hebat. Selepas itu, Mirapun menuju masuk ke dalam kawasan jualan barang-barang.

Dengan tidak semena-mena, mata Mira menangkap kertas-kertas iklan HARGA RUNTUH yang ditampal pada kiri dan kanan laluan masuk tersebut. Salah satunya tertulis: Bijirin Sarapan XX RAY RM4.60.

Tetiba je hati Mira terdetik, "Apa salahnya kalau aku beli cereal ni, asyik makan rotipun boring juga. Esok makan roti bun, lusa boleh makan bijirin XX Ray!"  Maka, Mirapun mengambil sekotak bijirin tersebut.

Kemudian, Mira meneruskan langkah ke rak-rak barangan penjagaan diri. Dalam senarai Mira ada tertulis Shampoo dan Ubat Gigi. Baru sahaja Mira hendak mencapai Shampoo KAU dan Aku, Mira ternampak ada kertas iklan ditampal di sebelah shampoo berkenaan. Kertas iklan itu untuk produk pesaing yang diletakkan bersebelahan yang tertulis: Shampoo DANDANAN COMEL RM7.90.

Sekali lagi hatinya terdetik, "Shampoo ni selalunya dalam RM9. Ini kira murahlah ni. Bolehlah beli jenama ni. Kalau tak elok, lepas ni balik semula kepada jenama asal." Maka, Mirapun mengambil sebotol Shampoo Dandanan Comel.



Selepas itu, Mira terus ke bahagian belakang untuk mengambil sekampit beras. Tiba-tiba dia teringat dengan buku kupon yang diambilnya tadi. maka, Mirapun membelek-belek buku tersebut. Matanya menangkap sesuatu: "Beras Cap Suka-Suki less RM2". Tanpa berlengah, Mira mengoyak kupon tersebut dan menuju ke arah himpunan Beras Cap Suka-Suki.

Setelah membeli beras, mira ke bahagian sejuk-beku untuk mencari nugget ayam. Sekali lagi dia membelek buku kupon dan dia terjumpa apa yang dicari: "Nugget Cap Boleh Bah Kalau Kau less RM1.50 dengan pembelian sebungkus Sosej Cap Boleh Bah Kalau Kau." Meskipun Mira amat gemarkan Nugget Boleh Bah Kalau Kau, tapi selalunya Mira akan beli Sosej Cap Jangan Tinggalkan Daku. Namun, disebabkan kupon penjimatan ini, Mira rasa tak mengapalah dia makan Sosej Cap Boleh Bah Kalau Kau.



Setelah mendapatkan barangan-barangan lain, Mira menuju ke kaunter pembayaran. Tekaknya mula terasa dahaga. Sewaktu sedang beratur, Mira terpandang peti sejuk transparent yang berisi minuman ringan Cap Soda Berganda. Justeru, Mirapun mengambil setin minuman tersebut.

Sewaktu tiba giliran Mira untuk meletakkan barang-barang dibeli ke atas meja kaunter, Mira terpandang pula coklat Snackersku. Perut Mira mula terasa keroncong. Mirapun tanpa berlengah mengambil sepaket coklat tersebut untuk dijadikan kudapan sementara mencari makanan untuk lunch.

PERSOALAN: ADAKAH MIRA MEMBELI 10 BARANGAN SAHAJA? DAN ADAKAH MIRA BEBAS MEMBUAT PILIHAN ATAU DIARAH MEMBUAT PILIHAN?

Dari berjalan masuk ke pintu pasaraya sampai keluar di tempat pembayaran, Mira sebenarnya menjadi mangsa taktik-taktik pemasaran yang digunakan oleh pasaraya tersebut. Antaranya:

1. Insentif sebagai ahli pasaraya
2. Harga runtuh: Bijirin sarapan dan shampoo
3. Kupon-kupon barangan
4. Susun atur letak barangan




Ini semua adalah impulse purchase atau impulse buy yang mana pembelian dibuat adalah pembelian yang tidak dirancang. Manakala Mira adalah seorang impulse buyer yang dimainkan oleh emosi dan perasaan ketika melihat promosi-promosi yang dibuat.

Kesian Mira, tapi saya dan anda semua pun sama je kan?

No comments: