Sunday, November 20, 2011

Kek Lapis Strawberry Cheese


Hari ini tuan tanah `Life is Colorful' nak buat resepi kek derhaka. Mana taknya, resepi ni hasil daripada gabungan beberapa resepi kek yang saya temui di laman-laman sesawang. Yang ajaibnya, hasil gabungan ini telah melahirkan `Kek Lapis Strawberry Cheese' yang sedap sangat!

Rupa-rupanya gabungan strawberry jem/filling dengan cream cheese boleh menghasilkan rasa yang sungguh ajaib. Bila dikunyah, terasa manis-manis jem strawberry dan lemak berkrim cream cheese.

Yang tak berapa syoknya, adunan ini tak banyak hasilnya. Kalau buat kek biasa tu, makan 24 jam jugalah nak perabis. Kek yang cute ni ambil masa sejam je untuk dihabiskan...

Sepotong kek yang kiut-miut

Sepotong kek ni, sekali ngappp je. Mr. Hubby cakap, "sedap kek ni, boleh buat masa raya." Hmmm.. tapi rasa cam tak leh pakai je cadangan Mr. Hubby sebab nanti rumah kami cuma ada makanan sejam je sebab semua kek yg kiut-miut nih dah kena ngappp ngan tetamu yang datang hehehe...





Bahan-bahan

Bahan A
40 gm tepung hongkong
1/8 sudu kecil baking powder
1/2 sudu kecil susu tepung
(ayak dan satukan bahan-bahan di atas)

Bahan B

20 ml minyak jagung
2 kuning telur gred A
1/2 sudu kecil esen vanilla
25 gm gula kastor
secubit garam

* sedikit pewarna merah jambu

Bahan C

2 putih telur
40 gm gula kastor
1/8 sudu kecil cream of tartar

Cara membuatnya:

Satukan semua Bahan A dan bahan B dalam satu bekas (kecuali pewarna). Pukul guna mixer dalam kelajuan yang rendah sahaja sehingga sebati.

Pukul Bahan C hingga kental. Selepas itu, masukkan Bahan C ke dalam adunan Bahan A & B tadi. Masukkan sedikit pewarna merah jambu.

Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Bakar setiap bahagian pada suhu 180 darjah dalam loyang segiempat 8x8 inci. Adunan masak dalam tempoh 5-10 minit sahaja (Boleh juga bakar sekali dan lepas tu bahagikan kepada 2 bahagian guna pemotong kek).

Untuk filling cream cheese:

60gm cream cheese
1/4 butter
1/4 gula icing
1/2 sudu besar susu segar
1/2 sudu besar perahan lemon

(pukul guna mixer bahan-bahan filling cream cheese di atas sehingga sebati)

* Strawberry jem atau strawberry filling (untuk gabungkan kek)



Setiap bahagian kek tadi, potong kepada 2. Lepas tu letak jem strawberry* untuk gabungkan kesemua lapisan (4 lapis seperti dalam gambar di atas).

Kemudiannya, ambil adunan filling cream cheese dan buat sebagai topping kek. Kek boleh dipotong mengikut kesesuaian. Sejukkan dan rasanya amatlah sedap apabila dimakan sejuk. Kek sesuai sebagai dessert atau dinikmati semasa minum petang.