Showing posts with label Ayam. Show all posts
Showing posts with label Ayam. Show all posts

Tuesday, October 20, 2020

Ayam Masak Kicap Resepi Atie...

 Assalamualaikum..

Hari tu, Atie (rakan sekerja) bagi saya rasa masakan `Ayam Masak Kicapnya'. Saya dah lama tak masak ayam masak kicap guna rempah. Jadi, masakan Atie rasa lain dan sedap sangat. Jadi, saya pun tanyalah dia letak apa dalam masakan tu. 

Maka, hari ni saya nak kongsi resepi `Ayam Masak Kicap' resepi Atie. 





Bahan-Bahan

Ayam (1/2 ekor) 

3 ulas bawang merah (hiris halus)

2 ulas bawah putih (hiris halus)

1 inci halia (hiris halus)

1 sb cili kering/boh (yang dikisar)

2 biji cili api (hiris halus)

1 batang kulit kayu manis

2 kuntum bunga cengkih

1 kuntum bunga lawang

1 biji buah pelaga

Kicap

sedikit serbuk kunyit dan garam untuk goreng ayam. 

garam dan gula secukup rasa


Cara-cara

Gaul ayam dengan garam dan kunyit. Goreng ayam sampai ayam masak. Angkat dan toskan.

Selepas tu, tumis cili boh, bawang merah, bawang putih, halia, kulit kayu, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga.Tumis sampai berbau harum.

Masukkan kicap. Masuk air sedikit. Selepas mendidih, masukkan ayam. Lepas tu masukkan garam dan gula secukup rasa. 


Sekian.  

Friday, October 16, 2020

Kuzi Ayam

 Assalamualaikum..

Sebenarnya saya tak pernah makan masakan yang bernama kuzi. Tapi, apabila Hubby kata kuzi suatu masakan yang sedap, maka haruslah saya cuba untuk masak. Tambahan pula, dah lama tak cuba masakan baru. Walaupun masakan bernama `kuzi' ini agak remeh dan renyah, namun hasilnya memang tidak mengecewakan. Fyi, kuzi ayam saya ni pekat sikit (Hubby nak pekat gini). Mohon cairkan kuah untuk kuzi sebenar.


Terbukti kuzi ayam adalah masakan yang unik dan sedap. Ada rasa kacang tapi bukan macam sambal kacang. Macam saya cakap tadilah, rasa masakan ini unik. 



Oleh kerana saya tak ada rempah kuzi, maka saya buat from scratch. Kata Hubby, rempah kuzi ada jual. Nanti saya kirim rempah kuzi ni pada kengkawan yang nak balik Kelantan. FYI, masakan ini berasal dari Kelantan.

Resepi saya ambil daripada MyResepi.

Bahan-Bahan

Bahan A- (Rempah)

1 sudu teh jintan manis

1 sudu teh jintan putih

1 sudu teh lada hitam

6 kuntum bunga cengkih

1 inci kulit kayu manis

4 biji buah pelaga (sila buang kulit dan ambil bijinya sahaja)

2 sudu makan ketumbar

1 kuntum bunga lawang


Bahan B

800 gram - 1kg ayam

sedikit saffron

2 ulas bawang putih

1 sudu besar garam

1 inci halia

Minyak sapi untuk menggoreng


Bahan C

150 gram bawang besar

20 gram kepingan badam

1/2 cawan kacang tanah

40 gram kismis

1 ketul hati ayam-rebus dahulu


Bahan D

3 hiris lengkuas

2 hiris halia

1 batang serai

1 biji limau nipis

2 ulas bawang putih

200 ml susu sejat

Sedikit saffron

1/2 cawan sos tomato

700ml air

1 1/2 sk garam

2 sk gula


Cara-Cara

Sediakan rempah-rempah (Bahan A). Basuh bersih dalam tapis. Kemudian goreng kering/sangai dalam kuali. 



Kisar rempah tadi dalam pengisar kering. Boleh juga ditumbuk hingga halus. Sebagai panduan berat rempah yang dapat ialah anggaran sebanyak 10 gram.


Bahan-bahan di B- saffron,bawang putih dan halia ditumbuk. Kemudian lumurkan pada ayam. Perap seketika. Kemudian goreng ayam menggunakan minyak sapi. Goreng separuh masak sahaja.


Semua bahan di C hendaklah digoreng. Goreng mengikut turutan-mula-mula goreng bawang besar. Kemudian diikuti badam,kacang tanah, kismis dan hati ayam. Setelah digoreng, hati ayam dipotong dadu.



Tumbuk badam bersama bawang goreng. Kacang tanah ditumbuk kasar.

Campurkan rempah di A, susu sejat, bawang besar dan badam tumbuk, limau nipis dan sos tomato dan saffron. Gaul rata di dalam sebuah bekas.

Panaskan minyak sapi. Tumiskan bawang putih, halia, lengkuas dan serai. Kemudian masukkan semua campuran di No 6. Masukkan sedikit air. Biarkan menggelegak. Masukkan garam dan gula. Kemudian masukkan ayam yang telah digoreng.




Masukkan baki air. Kemudian masukkan kacang tanah,kismis dan hati ayam. Tambahkan air lagi jika kuah terlalu pekat. Imbangkan rasa manis dan masinnya.


Kuzi ayam dah siap. Yumyum.


Sekian.

Saturday, April 25, 2020

Rendang Ayam Kampung Nismilan

Assalamualaikum.. 
Salam Ramadan al-Mubarak.



Sempena berbuka puasa 1 Ramadan semalam, saya masak special sikit. Saya masak Rendang Ayam Kampung Negeri Sembilan. Sesekali makan rendang cili api, memang podeh dan sodap. 

Bahan-Bahan

1/2 ekor ayam kampung (kalau saiz kecil, seekor pun ok)
1 biji kelapa (ambil santan pekat)
1 sudu makan kerisik
2 batang serai (dititik)
1 keping asam
2 helai daun limau purut (hiris halus)
Garam secukup rasa

Bahan Kisar

13 biji cili padi
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih 
3cm kunyit hidup
1cm halia
1cm lengkuas




Cara-Cara

Masukkan ayam dalam kuali besar. Gaul bahan kisar dan serai. Biarkan sehingga ayam sedikit kering. Kacau sesekali bagi mengelakkan ayam melekat.




Masukkan santan. Kacau sekata. Masukkan air sedikit bagi memastikan ayam masak. Masukkan garam dan asam keping. Biar kuah pekat sedikit.



Masukkan kerisik. Masukkan daun limau purut. Gaul lagi sampai kuah pekat dan ayam masak.



Rendang Ayam Nismilan siap sedia untuk dihidang.



Sekian. 

Thursday, April 23, 2020

Ayam Betutu Bali

Assalamualaikum...

Ini post pertama tahun 2020. 

Meskipun tahun 2020 ini ada banyak cabaran yang unik. Namun, resepi yang satu ini membuatkan saya benar-benar dan benar ingin berkongsi diblog ini. Sebab paling utama, supaya mudah saya merujuk resepi yang amat memikat hati ini. 

Pertama kali merasa keenakan `Ayam Bertutu Bali' adalah semasa menginap di sebuah Villa Indah di Ubud, Bali. Saya tertanya-tanya resepi lazat tersebut. Ibu Dayu (housekeeper villa) menjanjikan untuk memberi resepi masakan tersebut. Malangnya kami terputus hubungan dek kerana wasap Ibu Dayu yang tidak berfungsi dan musim pandemik Covid19 yang membataskan perhubungan semua insan di muka bumi ini.



Maka, saya cuba untuk menggoggle resepi `Ayam Bertutu Bali'. Hasil carian google, semua resepi adalah dalam bahasa indonesia. Namun, keenakan masakan ini membuatkan saya mahu juga mencuba. Saya rindu dengan masakan Ibu Dayu. Malah, tidak mungkin saya akan dapat kembali ke Bali dalam masa terdekat ini. Mahu tak mahu, saya harus kuatkan semangat untuk mencuba juga. 

Cabaran pertama adalah untuk menterjemah bahan-bahan dalam hasil carian google tersebut. Bukan mudah rupa-rupanya. Meskipun, sudah diterjemah, masih mengelirukan juga. Maka terpaksa lihat foto bahan-bahan yang dimaksudkan. 

Maka, terhasillah resepi di bawah:

Bahan-Bahan

Ayam seekor (Saya guna quarter leg chicken sahaja)
2 sudu makan minyak masak
Air secukupnya
Garam dan gula secukupnya

Bahan ditumbuk



1/2 sudu makan ketumbar
2 biji buah keras
1 inci kunyit
7 biji cili padi
1 sudu kecil belacan
1 sudu kecil lada hitam


Bahan dikisar



100gm bawang merah
4 ulas bawang putih
3cm lengkuas
3cm halia tua
3cm halia muda
1cm kunyit
10 biji cili padi (kalau takut pedas kurangkan sedikit)
2 batang serai

Nota: Saya lupa beli kunyit hidup, jadi saya ganti dengan kunyit serbuk.



Cara-Cara

Panaskan minyak masak dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumbuk dahulu dan kemudiannya masukkan bahan-bahan kisar sehingga berbau harum dan masak.





Masukkan ayam. Masukkan air sehingga menenggelamkan ayam. Kacau rata. 




Tutup kuali sehingga ayam masak. Biar rempah-rempah meresap dalam ayam dengan sebati. Sesekali kacau bagi mengelak ayam melekat. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Pastikan masakan ini ada rasa masin. Kemudian buka tutup dan biarkan masakan kering sedikit.



Maka, terhasillah `Ayam Bertutu Bali' yang hampir sama dengan masakan sajian Ibu Dayu di Ubud. Meskipun mungkin tidak selazat air tangan Ibu Dayu, saya amat gembira kerana dapat menyediakan juadah yang hampir dapat meniru `Ayam Betutu Bali' Ibu Dayu dan pastinya mengembirakan hati Mr. Hubby yang juga rindukan masakan ini.



Akhir kata, blog ini adalah buku resepi dalam talian saya. Semoga kita semua sama-sama berkongsi manfaatnya.

Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak 2020. Sekian.  




  

Sunday, July 9, 2017

Rendang Ayam Daun Puding

Assalamualaikum...

Disebabkan mood raya masih ada, jadi hari ni saya masak `Rendang Ayam Daun Puding'. Tentunya juga sebab kebetulan saya ada ayam kampung dan daun puding. Maka, berkobar-kobar semangat nak masak resepi yang belum saya dapat merasa pada Aidilfitri 2017 ni. 



FYI, resepi yang saya guna ni saya ceduk daripada beberapa sumber. Saya gabungkan untuk hasilkan rendang ayam yang lazat. Kepada yang nak mencuba, boleh ikut sebijik atau tambah/kurangkan sukatan. Ikut citarasa masing-masing kan... 

Saya nak ucapkan terima kasih juga buat Cik Mel (you know who you are) yang whatapps saya cara-cara nak masak rendang ni. Mesej Cik Mel tu banyak gunanya hehehe.. Tq so much ya. 


Bahan-Bahan

Seekor ayam kampung (potong kecil)
500 gm santan (bahagi dua, santan cair dan pekat)
2 sudu besar kerisik
20 helai daun puding
Garam secukup rasa

Bahan Kisar
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
2 biji kunyit
3 ulas bawang putih
7 ulas bawang merah
2 batang serai
14 biji cili api (ikut kepedasan yang digemari)

Nota: bawang putih, merah dan serai kalau tak nak kisar, boleh hiris halus. Saya kisar je semua.


Cara-Cara

Santan cair dan bahan kisar masukkan dalam kuali dan panaskan. 



Selepas dah agak-agak nak mendidih, masukkan ayam. 



Kacau ayam sekali-sekala sampai ayam kecut dan kuah dah agak pekat. 



Masukkan santan pekat dan kerisik.



Agak-agak dah makin kering, masukkan daun puding. Kacau sekata lagi. Masukkan garam secukup rasa.   





Kacau sehingga hampir kering (ikut tahap kekeringan mana yang anda suka).




Hidang panas-panas. Boleh makan dengan nasi, ketupat nasi atau lemangpun. Dah namanya rendang.



Sedap sangat. 

Sekian.

Tuesday, March 31, 2015

Grilled Chicken Chop with Black Pepper Sauce (Guna Pemanggang Ajaib)

Assalamualaikum...
Kalau makan chicken chop, tulang ayam tu takde kan? Itu namanya, bahagian ayam tu telah di `debone' (buang tulang).
Maka, minggu lepas, saya try le tanya kat brother jual ayam kat pasar malam.
Saya:               Hmm.. Boleh tak kalau quarter chicken leg ni buang tulang?
Brother Chic:   Nak buat Chicken Chop ke?
Saya:               Ya, tepat sekali!
Brother Chic:   Boleh (mengangguk dengan senyuman mesra)
Maka, dapatlah saya membeli 4 keping quarter chicken leg yang telah dibuang tulang (debone). Pilihan seterusnya adalah sama ada nak buat chicken chop bergoreng atau pun grilled... Jeng jeng jeng...  
Mari masak Grilled Chicken Chop!
Bahan-bahan (Resepi adaptasi dari Linapg)
4 keping quarter chicken leg (buang tulang)
1/2 kiub ayam
2sb sos tiram
2sb kicap manis
3 ulas bawang putih (tumbuk kasar)
1 inch halia (tumbuk kasar)
1 sk lada hitam (tumbuk kasar)
sedikit serbuk lada putih (kalau takde, takpe)
sedikit minyak zaitun
Cara-cara
Bersihkan ayam, tos dan lap ayam (jangan basah sangat ler...). Letak atas pemanggang ajaib.
Lumur ayam dengan semua bahan kecuali minyak zaitun.
Minyak zaitun renjis kemudian (percik-percik gitu supaya ayam tak kering)
Kalau ikutkan resepi asal, Linapg perap semalaman (which is memang bagus dan rajin). Tapi saya ni kan memang malas dan nak cepat, jadi saya tak perap pun. Terus sahaja masak ayam ni (aka perut dah lapor). Sila guna api biasa-biasa je. Jangan kecik sangat dan janganlah besar sangat. Kalau nak dapat warna cantik atas dan bawah, kena terbalikkan pemanggang ajaib anda atau terbalik ayam di dalam pemanggang tersebut. Suka hati, asalkan anda gembira. Panggang di atas dapur sehingga ayam masak.
Bahan-bahan untuk Black Pepper Sauce
(saya dapati hasilnya banyak, lain kali saya akan buat 1/2 adunan sahaja)
1 labu bawang besar (Holland) - kaler kuning tu (cincang, tapi saya kisar)
4sb tepung gandum
1 kiub ayam
2sb sos tiram
2sb kicap manis
2sb lada hitam (tumbuk kasar)
4sb sos lada hitam
3 cawan air atau lebih
Sedikit oregano
2sb mentega
Cara-cara
Panaskan sauce pan (Periuk). Cairkan mentega. Tumis bawang sehingga layu (tapi jangan sampai hitam).
Masukkan lada hitam yang ditumbuk. Kacau. Masukkan tepung gandum. Sentiasa kacau elakkan bergentel.
Masukkan air dan pati ayam. Kacau sebati. Linapg kata guna hand whisk lagi senang tapi saya tak nak pakai hand whisk sebab nanti periuk saya rosak hehehe... Masukkan sos tiram, sos lada hitam dan kicap. Kacau sebati. Kalau pekat sangat, sila tambah air. Masukkan oregano. Biarkan atas api sebentar. kalau nak warna lebih gelap, sila tambah kicap.
Dan, kalau sos anda bergentel, jangan bimbang, tos sahaja guna penapis nanti. Yang tak berjaya melepasi penapis tu, buangkan sahaja. Rasanya tetap sama, sedap gitu...
Akhir kata, saya makan dengan kentang goreng (goreng sendiri taruk garam dan kunyit) dan sedikit kubis bunga yang direbus (taruk garam dan serbuk perisa sikit).
Budak-budak tak perlukan sos black pepper tu pun sebab perisa ayam tu memang dah sedap dan cukup rasa. Maksudnya, kalau malas nak buat sos dia, takyah buat pun takpe. Dah sedap sangat pun.
Tangan kecik nak amik ayam
Selamat mencuba dan tak rugi mencuba. Dapur anda akan menjadi awesome dan Western gitu.
letak black pepper sauce
Sekian.