Tuesday, November 27, 2012

Masakan Melayu Tradisi di Rebung, Bangsar

Hari tu ada kawan opis nak belanja makan. Dia nak belanja Syida, Fiza dan saya. Baik hati sungguh kawan kami ni. Tambah-tambah baik hati sebab dia nak belanja di Restoran Rebung, Bangsar.
 
Apa yang ada di Restoran Rebung, Bangsar?
 
Pertamanya, info yang patut ditekankan adalah restoran ini milik bersama Chef Ismail dan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor. Apabila adanya nama `Chef Ismail', tentu sekali terlintas di fikiran, `mesti sedap-sedap masakan kat sini'. Keduanya, restoran ni menyajikan masakan-masakan Melayu tradisi. Justeru, untuk anda yang mencari-cari hidangan masakan Melayu tradisi yang lazat, anda boleh ke Restoran Rebung, Bangsar.
 

FYI, restoran ini terletak di Lorong Maarof berdekatan dengan Dataran Maybank. Dibuka dari jam 11 pagi - 11 malam.
 
Maka, pergilah kami berempat ke Restoran Rebung ni. Kawan kami yang baik hati tu namanya Encik Manap. Kami pergi untuk makan tengah hari.
 
Melangkah masuk
Kami diberi meja untuk 4 orang.
 

Suasana dalam restoran ini cukup selesa. Di Rebung, ada pilihan untuk pesanan ala carte dan juga buffet untuk lunch atau dinner. Encik Manap belanja kami untuk buffet lunch. Wow, banyak sungguh pilihan makanan. Memang larilah diet nampaknya.


Encik Manap sedang pilih makanan


Macam-macam masakan Melayu yang disajikan. Beberapa jenis sambal, kerabu, gulai, rojak, nasi lemak dan pelbagai lauk-pauk. Bermulalah aktiviti pilih-pilih makanan. 


Syida pilih makanan





Pilihan sambal

Rojak
Nasi Lemak pun ada
Dan aktiviti makan-makan. Saya mulakan dengan daging salai masak lemak. Sedap dan cukup rasa. 




Kami berempat makan dan makan.
 

Fiza dan Syida posing sebelum makan
Encik Manap
Pinggan penuh
Pelbagai masakan Melayu

Menariknya juga, ada ubi rebus. Sedapnya dicicah dengan sambal tumis ikan bilis dan samal tumis paru.
 

Saya juga makan ABC.
 
ABC ni aisnya saya kisar sendiri tau
Untuk penutup, kami makan kuih-muih.
 
Kopi O dan buah melaka/onde2
Lain kali boleh makan di sini lagi. Masakan di Rebung Bangsar ni memang sesuai dengan selera saya. Terima kasih juga kepada Encik Manap. Semoga rezeki kawan kami ni terus murah dan belanjalah kami makan lagi ye... hehehehe...


Monday, November 26, 2012

Akhirnya... Durian Crepe!

Sana-sini blog dok tayang dessert yang satu ni. Seakan satu fenomena dalam dunia blog masakan, Durian Crepe menggila di setiap dapur blogger masakan. Dengan keindahan warna, kemeriahan rupa dan keharuman aroma durian, crepe ini menghantui fikiran saya. Persoalannya: Berani kah saya mencuba membuat dessert fenomena ini?

Ketakutan saya semata-mata kerana saya memang tak begitu pandai membuat lempeng. Saya selalunya gagal untuk mengagak ketebalan lempeng yang sesuai. Oleh kerana penghasilan Durian Crepe menuntut saya untuk melempeng, maka rasa takut mula menyelubungi jiwa. Bolehkah saya melempeng?

Namun, melihat rakan-rakan yang saban hari menghasilkan crepe2 mereka di laman-laman sosial, saya mula terpanggil untuk memberanikan diri. Tambahan pula, saya ingin sekali untuk mengetahui apakah rasa dessert yang comel seperti bantal-bantal kecil ini. Adakah manis? Adakah berlemak? Adakah harum? Arrrggghh... Banyak betul persoalan yang perlu dijawab.

My Durian Crepe!


Apabila dirujuk resepi-resepi di Internet, macam-macam pula versinya. Ada yang guna 7 tepunglah, 5 tepunglah, tepung gandum sahajalah. Selepas membelek-belek selama seminggu jugalah, saya akhirnya memilih untuk merujuk kepada resepi Miza yang mana mengubah sedikit resepi asal dari blog Eyna. Menurut Miza, kulit crepe resepi ini lebih kenyal, lembut dan tak mudah koyak. Amat sesuai dengan kekurangan saya yang tak pandai melempeng ini. 

Penggodaaan oleh  Durian Crepe!


Mula-mula kena beli durian dulu. Nasib baik ada jual durian dekat ngan rumah hehehehe... 

Pilih-pilih durian



Maka, dari dapur saya yang amatur ini, saya sajikan Step By Step... Durian Crepe....



Bahan-bahan (di bawah separuh sahaja dari resepi Miza, gandakan untuk dapat banyak)

Nota: Kuantiti adalah mengikut saiz kuali leper anda. Saya dapat 16 biji Durian Crepe. 
50gm tepung gandum
50gm tepung ubi
25gm tepung kastard
25gm tepung jagung
2 sb minyak masak
2 1/2 sb gula pasir
secubit garam
2 biji telur
100ml susu cair/santan
375ml air
 
untuk crepe berwarna hijau:
sedikit perisa pandan
sedikit pewarna hijau epal
 
untuk crepe berwarna kuning:
sedikit esen vanilla
sedikit pewarna kuning

Cara-cara 

Masukkan semua bahan dalam mangkuk. Whiskkan (Saya guna mixer dan putar).

sebelum putar

selepas putar


Saya bahagikan kepada 2 adunan. Satu adunan untuk crepe berwarna hijau dan satu adunan lagi untuk crepe berwarna kuning. Kacau supaya warna sebati. Tapiskan adunan supaya tidak berketul-ketul. 



Sediakan kuali yang tidak melekat (non stick). Panaskan kuali. Tidak perlu sapu minyak sebab memang tak melekat punya kalau betul kuali anda tu non stick. Sendukkan sedikit adunan dan ratakan pada kuali sama seperti anda membuat lempeng.



Jangan terbalikkan. Biarkan sehingga masak. Lepas tu angkat dan ketepikan.  Ulang sehingga adunan habis.

Dah ada banyak



Untuk filling: 

200gm whipping cream - non dairy
isi durian secukupnya. Lenyekkan sedikit. Kalau suka banyak, leh la letak banyak.  



Putar sehingga kembang whipping cream ni. Jangan guna yang UHT/dairy nanti tak kembang pun krim anda. 

saya pakai brand ni



Mari melipat:

Letak sekeping crepe. Pastikan yang berkilat di sebelah luar.  Mula-mula letak whipping cream di tengah-tengah. 



Pastu letak  isi durian sesedap selera.



Letak whipping cream atas isi durian.



Lipat dari atas ke bawah.



Lipat pula dari bawah ke atas.



Lipat sebelah tepi kanan.



Lipat sebelah tepi kiri.



Letak crepe atas pelapik muffin supaya lebih comel dan mudak dialihkan. 



Sejukkan sebelum dimakan. 



Sangat cantik dan sangat sedap. Jangan lupa ye makan sejuk-sejuk. Terasa macam makan ice-cream. Aroma durian yang wangi. 




Yezzzaaaa... Berjaya akhirnya.

Nota: Untuk Nota Tambahan Durian Crepe dan resepi adunan berganda. Sila klik link ini.



Sunday, November 25, 2012

Step by Step... Sup Daging Bersayur

Kadang-kala tu memang malas nak masak 2-3 jenis masakan. Kepada anda yang ada anak kecil, anda mesti menghadapi masalah yang sama dengan saya. Tambahan lagi apabila anak kecil tu tak makan masakan pedas atau belum boleh lagi makan masakan pedas.
 
Oleh yang demikian, kena berfikir untuk masak sejenis dua masakan yang boleh dimakan seisi rumah. Tak pedas tapi sedap dan boleh diterima oleh semua peringkat umur. Satu perkara lagi adalah kena masak masakan berkhasiat. Maklumlah masakan untuk budak-budak, kalau tak berkhasiat, kesian pulak dengan budak-budak yang belum tentu makan makanan berkhasiat pada hari-hari biasa.

 
 
Maka hari ni, saya masak masakan yang sesuai untuk semua orang. Saya masak Sup Daging Bersayur. Jom tengok bahan-bahannya.
 
Bahan-bahan
 
 
200gm daging (dihiris nipis)
2 ulas bawang merah (hiris nipis)
2 ulas bawang (hiris nipis)
1/2 inci halia (hiris nipis)
1 batang cili merah (saiz kecil sahaja, hiris nipis)
6 batang jagung muda (hiris memanjang)
sedikit kobis bunga (potong kecil)
sebiji kentang (potong 8)
sedikit daun sup (hiris halus)
1/2 kiub pati ayam
3 cawan air (tambah atau kurangkan pun boleh, suka hati nak kuah berapa banyak)
garam secukup rasa

Nota: Boleh juga tambah sayur lain seperti lobak merah.


Cara-cara

Panaskan sedikit minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau. Masukkan halia dan cili merah, tumis seketika lagi. Kemudian masukkan air. Biar mendidih.



Masukkan daging dan kiub pati ayam. Biarkan mendidih. Masukkan kentang. Kacau sekali-sekala dan biar lebih kurang 5 minit (sehingga kentang masak).



Masukkan jagung muda dan kobis bunga. Masukkan garam secukup rasa. Biar seketika.



Akhir sekali, masukkan daun sup.



Tutup api dan boleh dihidangkan.



Sup-sup kurang pedas begini, amat sesuai dimakan dengan nasi dan ikan masin. Hari ni saya goreng terubuk masin. Kebetulan memang ada stok hehehehe...



Perrggghhh memang sedap.

Gandingan yang terangkat!


FYI, kalau goreng terubuk masin, gorenglah sehingga garing betul supaya dapat dimakan rangup seperti keropok dan boleh dikunyah tulang-tulangnya sekali.

Terubuk masin goreng garing


Menghasilkan bunyi Kruuppp... Krapppp... Kruppp.... Krapppp...

 


Step by Step... Cucur Jagung Rangup

Pagi-pagi memang syok kalau dapat makan cucur. Selalunya saya akan buat cucur udang atau cucur ikan bilis. Tapi pagi ni saya buat cucur jagung.
 
Sekali-sekala dapat makan cucur jagung memang terasa kesedapannya. Berebut-rebut Hasya dan Mr. Hubby makan. Khayra yang dah ada 6 batang gigi pun makan jugalah cucur ni walaupun tak berebut-rebut seperti Hasya.



Cucur jagung ni juga sedap dicicah dengan sos cili. Tapi kalau tak cicah pun sedap je rasanya. Disyorkan juga untuk sediakan minuman panas seperti teh atau kopi. Tambah terangkat mengunyah cucur jagung rangup ni. Untuk memastikan cucur jagung anda rangup seperti cucur saya, kenalah goreng sehingga garing dan pastikan adunan tidak terlalu pekat (tapi tak la pula terlalu cair).

sedap tau
 
Bahan-bahan (untuk makan 3-5 orang)
2 cawan tepung gandum
2 ulas bawang merah (kisar atau tumbuk)
1/2 batang cili merah (kisar atau tumbuk)
1 tin jagung manis (200gm berat dengan air dan gunakan dengan airnya)

guna brand ni
 
1/2 - 3/4 cawan air
garam secukup rasa (1/2 sk)

 
Cara-cara
 
Masukkan tepung ke dalam bekas adunan.


 
Masukkan bahan-bahan kisar/tumbuk.

 
Masukkan jagung tin berserta air dalam tin jagung tu. Gaul sebati.

 
Masukkan air sedikit demi sedikit. Kacau sebati. Adunan jangan terlalu pekat atau terlalu cair. Kalau takut guna 1/2 cawan air dulu, goreng first batch dan kalau kurang lembut, lebihan adunan tambah sikit lagi air. Masukkan garam.

 
Panaskan minyak dalam kuali. Sudukan adunan dalam kuali. Saya guna sudu besar je. Sesudu untuk setiap cucur.

 
Kaup balikkan cucur setelah cucur agak garing pada sebelah bahagiannya. Biar sehingga cucur berwarna keperangan. Jangan sampai hangit ye!

 
Angkat tos dan hidangkan panas-panas. Hidang dengan sos dan air teh/kopi. Sedap.



Yum Yum..
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...