Thursday, January 19, 2012

Nasi Berlauk di Bangunan Sultan Abdul Samad

Pagi ini adalah pagi yang indah.

Matahari sekadar memancarkan sinar pagi dengan lembut, sayu dan tenang. Pagi ini juga lalu lintas agak tenang.


Pagi ini saya ada mesyuarat di Bangunan Sultan Abdul Samad.  Setelah 3 tahun pulang bertugas di Ibu Negara, ini adalah pertama kali saya akan bermesyuarat di Bangunan ini. Inipun secara kebetulan kerana menggantikan salah sorang bos yang sedang bercuti (Nota: Saya ni pegawai kecik je).



Bangunan ini menyambut saya dengan penuh sejarah dan nostalgia. Selain daripada sejarahnya yang tersendiri, saya juga ada berkongsi kenangan di bangunan ini. Di sinilah tempat saya mengangkat sumpah memasuki perkhidmatan awam, 8 tahun yang lalu.

Fakta sejarahnya, Bangunan Sultan Abdul Samad ini mula dibina pada tahun 1894 dan dinamakan sempena nama Sultan Selangor iaitu Sultan Abdul Samad. Bangunan ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan sejak tahun 2007.



Reka bentuk dan binaannya berbentuk `Soracenic’ berasaskan seni bina Moghul dan Moorish. Tingkap dan pintunya berbentuk melengkung seperti masjid-masjid di Cardova dan Mesir.

Nasi Berlauk


Bangunan ini juga menyambut saya dengan juadah yang sangat menarik iaitu Nasi Berlauk.  `Nasi Berlauk di Bangunan Sultan Abdul Samad', fakta ini sangat mengujakan.



Pada pandangan pertama, saya menyangka nasi yang dihidangkan ini adalah nasi dagang. Walau bagaimanapun kekhilafan saya ini ditegur oleh rakan yang duduk di sebelah saya. Kata beliau, "Ini bukan nasi dagang, ini nasi berlauk."


Nasi berlauk ini diiring pula dengan kuih koci dan kuih cek mek molek. Gabungan yang membuka selera dan sesuai untuk dimakan pada waktu brunch.


Kuih-muih


Seterusnya apabila pengerusi memulakan mesyuarat dengan dialek pantai timur yang begitu pekat, maka terserlahlah persoalan mengenai pemilihan menu yang menyambut kehadiran saya ke sini.




Akhir kata, sambil makan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana menyambut saya dengan penuh nostalgia dan pilihan makanan yang sedap.


No comments: