Thursday, March 29, 2012

Step by Step... Ayam Bakar Mayonis



Hari ni saya bakar ayam lagi. Dan kali ni saya cuba resepi lain pula. Saya buat Ayam Bakar Mayonis. Resepi pilihan ini datangnya dari vdia di MyResepi. Saya pilih resepi ini kerana penyediaan dan bahan-bahannya agak mudah. Biasalah, hari-hari berkerja ni, manalah larat nak masak yang rumit-rumit.

Alhamdulillah, sejak semakin rajin ke dapur ni saya rasa semakin gembira. Selain daripada dapat makan pelbagai resepi baru, kegembiraan saya juga kerana dapat memasak sendiri pelbagai resepi baru. Seterusnya, saya terus bergembira apabila isi rumah saya juga dapat makan dengan riang gembira.
Daripada tidak pernah memanggang atau membakar ayam, sekarang ni saya dah ada banyak pilihan untuk menyediakan ayam bakar. Boleh masak One-Pan Chicken, Grilled chicken ala Nandos dan banyak lagi. Mari kita tengok resepi vdia ini.


Bahan-bahan

8 ketul drumstick (saya guna bahagian lain juga)
1 sudu besar mayonis
1 kiub ayam
1 sudu besar kicap manis
1 sudu besar sos tiram
Lada hitam secukupnya-tumbuk
2 ulas bawang putih-tumbuk
1/2cm halia-tumbuk


Cara-cara

Perap semua bahan-bahan. Biarkan  dalam peti sejuk lebih kurang sejam, lagi lama, lagi sedap.




Selepas diperap, keluarkan dari peti sejuk. Sediakan loyang untuk membakar. Boleh lapik loyang dengan aluminium foil. Susun ayam atas loyang.


Bakar ayam pada suhu 200 darjah selama 30 minit atau sehingga masak. Kalau nak hasil yang cantik, terbalikkan ayam selepas 12 minit dibakar.



Sedap dimakan begitu sahaja atau dimakan dengan nasi.



Monday, March 26, 2012

Step by Step... Sicilian Orange Cheese Cake



Cantikkan gambar kek di atas? Kalau anda rasa tak cantik pun takpe. Saya tak kecik hati pun. Sebabnya saya dah lama tau yang `beauty is in the eye of the beholder'. Maka, pada pandangan mata saya, kek saya ini sangatlah cantik :)


Kek yang cantik ini ada sejarahnya.....

Kira-kira sebulan yang lepas, Puan Nurul telah datang ke opis saya dan memberi beberapa slices Sicilian Orange Cake untuk saya rasa. Kek Oren Puan Nurul ini sungguh lazat dan terasa wangi keorenannya. Ketika menghabiskan kepingan demi kepingan kek, saya membayangkan bahawa saya akan membuat kek tersebut dalam masa terdekat.


Tiba-tiba terlintas di fikiran saya, "alangkah indahnya kalau kek ini mempunyai topping cream cheese." Terlintas pula di fikiran saya keindahan topping cream cheese Kek Chocolate Cheese Comel yang memang comel, cantik dan sedap. Tetiba juga, saya terbayang-bayang lukisan buah-buah oren di atas sebiji kek.

Maka, saya harus memberhentikan semua angan-angan ini dengan mengeluarkan mixer, loyang serta peralatan-peralatan membaking. Projek membuat `Sicilian Orange Cheese Cake' harus dimulakan.

Resepi Sicilian Orange Cake ini saya ambil dari blog Rima Singapore . Cuma, saya tidak guna topping seperti mana yang dibuat oleh Rima. Saya tukar kepada topping cream cheese.

Bahan-bahan

250gm mentega
250gm gula kastor (saya guna cuma 200gm sahaja)
4 telur saiz sederhana
1 1/2 sk parutan kulit oren
250 tepung naik sendiri (jika gunakan tepung gandum, tambah 1sk baking powder)
85ml perahan jus buah oren


Cara-cara

Putar mentega dan gula sehingga berkrim.



Masukkan telur sebiji demi sebiji dan putar lagi hingga sebati.



Masukkan parutan oren dan putar lagi. Masukkan tepung. Putar lagi biar sebati.


Masukkan jus oren. Putar sebati.


Lenserkan loyang (saya guna loyang bulat 8 inci). Panaskan oven 160 darjah. Tuang adunan ke dalam loyang. Bakar sehingga masak. Kek saya ambil masa 60 minit untuk masak. Tempoh masak bergantung kepada saiz loyang dan kepanasan oven.



NOTA: JANGAN LUPA AMBIL 3 SUDU MAKAN ADUNAN UNTUK MEMBUAT TOPPING.

Apabila kek masak. Biar kek sejuk sedikit pada suhu bilik. Kek saya naik cantik, jadi saya potong sedikit bahagian atasnya. Tapi jangan dibuang, sebab enak dimakan begitu sahaja.


Potong sikit atasnya

Bahan-bahan Topping

250gm cream cheese
60gm gula kastor
sebiji telur saiz besar
1/2sk esen vanila



Putar cream cheese dan gula hingga berkrim. Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi hingga sebati. Ambil sedikit (1 sudu makan) adunan cream cheese untuk membuat topping.



3 sudu makan adunan kek yang diketepikan tadi, kalerkan dengan warna oren. Kalau takde warna oren, guna pewarna merah + pewarna kuning. Manakala 1 sudu makan adunan cream cheese, warnakan dengan warna hijau.

Tuangkan adunan cream cheese atas kek tadi. Dan mulakan melukis pada topping. Saya piping bulatan-bulatan macam buah oren guna adunan kek. Manakala corak hjau tu saya tarik-tarik guna putik kapas.



Panaskan oven 170 darjah, bakar kaedah water bath selama 40 minit.


Dah siap Sicilian Orange Cheese Cake saya yang sangat menawan hati. Sedap tau. Harum manis macam Orange Sunkist. Jangan lupa sejukkan dalam peti sejuk dulu baru dikeluarkan dari loyang. Kalau tak, kek anda akan jatuh berderai.

Wah, mcm nak Chinese New Year



Mixer Zaman Dahulu Kala...

Kalau sebut tentang mixer, macam-macam pula maknanya mixer ni. Let's focus on mixer yang kitchen appliance tu. Bahawasanya, zaman sekarang ni kita amat bertuah atas kewujudan mixer. Tambahan pula, kita mampu untuk membeli mixer sekalipun mungkin masih ramai yang belum mampu nak beli mixer KitchenAid (termasuk saya).

Kenapa saya kata `kita bertuah'? Sebabnya, zaman mak-mak kita muda dulu diorang tak pernah ada mixer pun. Zaman nenek dan moyang lagilah. Kalau pun ada jual mixer kat kedai, harganya mahal dan hanya mampu dibeli oleh golongan-golongan kaya saja seperti Nyonya Mansor.

Maka, pada setiap kali nak menyambut raya, jenuhlah Mak memukul telur, gula dan mentega menggunakan kudrat yang ada. Di plus2 dengan kederat adik-beradik yang lain yang sering kali dipaksa untuk membantu.



Sebenarnya, tetiba je saya nak tulis entry pasal mixer ni kerana saya terbelek gambar mixer zaman dulu-dulu yang saya `snap' masa saya pulang ke Sungai Petani beberapa bulan yang lalu. Mixer ini sungguh nostalgia rupanya.

Masa saya sibuk membelek-belek mixer tersebut, My Mom siap cakap yang kira `modenlah' mixer tersebut pada zaman tersebut berbanding pukul telur, gula dan mentega guna senduk. Betul juga kata My Mom nih. Mixer ni boleh pusing-pusing sebab ada pemusingnya. Wah, dah macam kayuh basikal pula.



Justeru, saya memang tabik spring dengan orang dulu-dulu kerana memang tabah untuk membaking kek, kuih atau bahulu. Bukan senang nak menghasilkan sebuah masterpiece. Maka, sayangilah ibu anda yang memang awesome kerana sanggup berpeluh-peluh dan lenguh lengan untuk menghasilkan sebiji kek di rumah. Tak macam zaman sekarang, saya banyak pembantu rumah untuk membuat step by step sebiji kek. Love My Mom very much!

Mixer KitchenAid yang menjadi pujaan hatiku


Sunday, March 25, 2012

Step by Step... Sardin Tumis Pedas



Kalau makan lauk sardin di gerai-gerai, saya selalunya akan berasa kecewa. Ini kerana, lazimnya lauk sardin tersebut cair dan tak bermaya. Saya tak la kata yang saya pandai masak, tapi masakan sardin yang saya masak memang lebih ummpphh dan bermaya daripada yang dijual di gerai-gerai. Walau bagaimanapun, (disclaimer) itu adalah pengalaman saya, mungkin gerai yang berdekatan dengan opis anda memang pandai masak sardin hehehehe...



Maka, hari ni saya nak masak sardin. Sardin tumis pedas ni sesuai dimakan dengan roti dan nasi ataupun nasi lemak. Cuma, kalau nak dimakan dengan roti, tak perlulah letak kentang.


Bahan-bahan

Setin sardin (saya guna Ayam Brand 230gm)
10 tangkai cili kering (dipotong, rendam air panas, dibuang biji, tos)
sebiji bawang merah saiz besar (kalau guna saiz kecil dalam 4-5 ulas)
2 ulas bawang putih
1/2 sk pati asam jawa
garam secukup rasa

sebiji kentang saiz kecil (potong 8 atau 16)
garam dan serbuk kunyit secukupnya untuk menggoreng kentang
1cm halia

Nota: Kalau suka boleh tambah sebiji tomato (belah 4) dan masukkan selepas masuk asam jawa.

Cara-cara

Gaul kentang dengan garam dan kunyit. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng kentang sehingga masak. angkat, tos dan ketepikan.



Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih dan halia.



Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar. Kacau sehingga bahan kisar masak atau pecah minyak. Masukkan asam jawa. Kacau seketika.



Masukkan sardin. Kacau sebati.



Masukkan kentang. Kacau lagi seminit dua. Dah siap pun.



Sardin tumis pedas ni sesuai sangat kalau makan dengan nasi atau jadi sambal nasi lemak. Kaw gitu....





Saturday, March 24, 2012

Step by Step.. Puyuh Goreng Halia Berkicap

Sebenarnya saya nak masak sotong percik hari ni. Ini gara-gara terpengaruh dengan gambar Sotong Percik Puan Nora Ali di Facebook beliau. Malangnya, semalam saya tak sempat ke pasar malam. Ini pula gara-gara asyik buat 5S kat opis. Akibatnya pukul 9 malam baru nak balik rumah. Tokey jual sotong pun dah packing barang nak balik rumah.

Apabila terpaksa rela membuat 5S di opis, maksudnya waktu berkerja terpaksa ditambah setiap hari. Mana taknya, 5S ni seumpama pertambahan satu lagi beban tugas pada setiap individu. Bukan sekadar pertambahan 20 minit setiap hari (ye la 10 minit 5S kan, waktu datang dan sebelum pulang). Sehubungan itu, blog saya ni kekadang bernyawa kekadang tidak. Mana taknya juga, saya ni bukan sahaja tak sempat nak masak, malah tak sempat nak makan pun.

Walau bagaimanapun, yang positifnya, opis tetiba je jadi bertambah bersih dan teratur. Kalau persekitaran dah bersih, selepas ini boleh bersihkan hati, minda dan perkara-perkara lain yang lebih global.




Maka hari ini kita masak `Puyuh Goreng Halia Berkicap' memandangkan dalam peti sejuk cuma ada puyuh, ayam dan daging sahaja sebagai pilihan.

Bahan-bahan

4 ekor puyuh (dipotong 4 setiap ekor)
Garam dan serbuk kunyit secukupnya

2 ulas bawang merah saiz besar atau 7 ulas bawang merah saiz kecil.
2 ulas bawang putih.
2 inci halia
1 batang cili merah
1/4 cawan kicap manis
1/2 sk garam


Cara-cara

Gaul puyuh dengan garam dan kunyit secukupnya. Kalau nak lagi sedap, perap selama sejam. Kalau nak goreng terus pun boleh je.



Panaskan minyak yang agak banyak dalam kuali (kalau deep fry lagi bagus). Goreng puyuh sehingga masak, kalau suka garing boleh sampai garing.



Angkat, tos dan ketepikan.



Hiris nipis bawang merah, bawang putih, halia dan lada merah. Panaskan 3 sudu besar minyak minyak  (boleh guna minyak puyuh tadi) dan tumis bahan-bahan hirisan sehingga kekuningan dan naik bau.



Masukkan kicap dan goreng sebati selama 5 minit. Tambah garam. Kalau suka lebih manis, boleh tambah sedikit gula. Kalau guna kicap masin, memang kena tambah 2 sudu besar gula.


Masukkan puyuh yang dah digoreng tadi. Gaul hingga sebati. Boleh tutup api dan hidang.





Sedap sangat. Kunyah punya kunyah, tak perasan dah termakan 2 ekor puyuh. Yum Yum...




Thursday, March 22, 2012

Comics! (Edisi Mari Berhibur)

Hari ni saya nak tunjuk bakat saya buat comics. Harap anda semua terhibur. Lawak ni saya kutip daripada kursus yang saya hadiri baru-baru ini.



Tuesday, March 20, 2012

Step by Step... Super Moist Eggless Chocolate Cake

Sejak hobi mengekek ni, saya selalu kehabisan telur ayam. Kalau buat kek lapis, kurang-kurang guna 10 biji telur ayam. Jadi, apabila jumpa resepi yang tak pakai telur, rasa teruja nak cuba. Lebih-lebih lagi resepi dari dapur Dayang Jack ini tak pakai mentega tapi hasilnya super moist.




Suspense jugalah buat kek ni. Bukan sebab apa, sebabnya saya macam tak caya je boleh buat kek yang sedap tanpa letak telur. FYI, kek ini sangat mudah dibuat. Kejap je preparationnya. Masaknya pun tak lama, kiranya tak banyak songeh. Saya juga buat separuh adunan sahaja daripada resepi Dayang Jack. Cukuplah kan, kami ni 3 orang je kat rumah ni. Lagipun takut tak jadi, kang Mr. Hubby buat muka masam pula sebab terpaksa jadi DBKL.

Kebetulan pula, 2 hari lepas saya ada beli buah strawberry di Pasaraya Giant. Strawberry ni diimport dari Korea. Rasanya manis tak macam strawberry di Cameron Highlands yang menyebabkan muka saya berkerut-kerut semasa menguyahnya. Tapi tak setanding dengan strawberry US lah yang bersaiz besar, manis dan sedap yang amat!


Jadi, saya buat topping kek ni menggunakan coklat cair, buah strawberry dan kepingan badam. Wah, laku sungguh kek ini. Hasya dah makan 3 potong tau. Saya bawa 2 slices ke opis pun Hasya dah jeling-jeling. Hahahaha, selalu dia tak berapa minat dengan kek-kek yang saya buat. Makan sikit je, tapi yang ni memang persembahannya menggoda kot..

Bahan-bahan (kalau nak kek yang lebih tebal, sila gandakan sukatan)


1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
1/2 cawan serbuk koko
2 sudu besar susu tepung
1 1/4 cawan air sejuk (dari peti ais)
1 cawan gula perang
1 sudu kecil esen vanilla
1/2 sudu kecil coffee emulco atau chocolate emulco - optional
1/8 sudu kecil garam halus
1/2 cawan minyak masak sayuran atau minyak jagung atau mentega cair
1 sudu kecil cuka atau jus lemon

Cara-cara
Panaskan oven pada suhu 160C. Sediakan loyang kek (saya pakai 9 inci, sila guna yang lebih kecil untuk kek yang tinggi). Griskan dengan mentega. Jika ingin menggunakan paper cup pun boleh juga.
Ayakkan tepung bersama baking powder, soda bikarbonat dan serbuk koko di dalam bekas besar. Masukkan tepung susu, garam dan gula perang. Kemudian dikacau rata-rata.

Masukkan air sejuk, minyak masak, esen vanila dan coffee emulco/chocolate emulco. Kacau perlahan-lahan dengan whisk (saya guna mixer, tapi tak putar lama). Pastikan adunan tidak berketul.


Akhir sekali masukkan cuka atau jus lemon. Terus dikacau serta merta sehingga sebati tetapi jangan terlalu lama (ini pun saya guna mixer).



Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakar selama 25-30 minit atau hingga cukup masak. 




Sejukkan kek setelah masak. Boleh juga dihiaskan dengan topping kegemaran. Tapi biarkan kek sejuk dulu.



Saya cairkan 125gm coklat masakan, 15gm mentega dan 70ml susu segar (guna api kecil atau double boil). Lepas tu saya tuang atas kek, saya hiaskan atas kek dengan hirisan buah strawberry dan kepingan badam yang saya dah goreng tanpa minyak.



Cantik tak kek saya? Bukan sahaja cantik tau, rasanya pun sungguh SUPER MOIST!