Wednesday, February 29, 2012

Step by Step... Vanilla Choc Chip Mug Cake (kek microwave lagi)




Alangkah malasnya nak buat kek. Tapi ada rasa nak makan kek. Nak ajak Mr hubby pergi Secret Recipe, hujan lebat pulak kat luar rumah. Huh, susah-susah sangat, buat mug cake je lah.

Alang-alang nak buat mug cake, kita cuba buat perisa vanilla pulak lah ye. Hari tu kan dah buat Nutella Mug Cake (klik sini untuk Nutella Mug Cake). Jeng.. Jeng... Jeng... Jom kita mulakan buat Vanilla Choc Chip Mug Cake.


Bahan-bahan

7 sudu makan tepung naik sendiri
4 sudu makan gula kastor
3 sudu makan minyak (saya pakai minyak jagung)
4 sudu makan susu segar
1/4 sk garam
1/4 sk esen vanilla
1 biji telur
2 sudu makan choc chips (dan sedikit lagi extra untuk tabur last sekali)


Cara-cara

Sediakan mug saiz besar/loyang yang sesuai yang boleh tahan panas microwave. Saya guna 2 biji cawan saiz kecil. Oleh yang demikian saya bahagikan ke semua bahan di atas, sama banyak kepada kedua-dua cawan yang saya guna. Saya masukkan semua bahan ke dalam cawan kecuali telur dan choc chips. Telur tu saya kacau dulu dalam mangkuk dan saya bahagikan 50:50 untuk setiap cawan.



Lepas masukkan telur. Kacau dengan sudu atau garfu sehingga betul-betul sebati. Jangan berketul-ketul okay.

Kacau lagi

Licin dan sebati


Setelah sebati, masukkan choc chips 1 sudu makan bagi setiap cawan. Kacau sedikit supaya choc chips berselerakan masuk ke dalam adunan.



Pastu, tabur sedikit choc chips atas adunan. Tak payah kacau dah. Tujuannya nak bagi mug cake ni nampak choc chip nya.



Masukkan dalam microwave, bakar guna api paling panas. Kalau microwave tu guna high-low, gunalah yang maksimum ok. Bakar selama 3 minit. Mug Cake ini akan naik tiba-tiba.


Mug Cake sudah naik


Maka siap sudah Vanilla Choc Chip Mug Cake. Yang herannya, salah satu Mug Cake saya ni tak nampak choc chipnya. Tapi satu lagi telah memperlihatkan keindahan choc chipnya. Mudahkan? Kejap je buat kek sebenarnya:)

Yang sebelah kiri tu dah tenggelam Choc Chip nya








Monday, February 27, 2012

Step by Step... Broccoli Beef (Chinese-American Style)



Masa mula-mula belek resepi ni, saya rasa macam mustahil je nak cuba. Sebabnya, resepi ni guna `Chinese Rice Wine'. Meskipun ada bahan pengganti yang boleh digunakan, namun saya rasa berat hati nak guna bahan pengganti. Tambahan pula, bahan pengganti tersebut dikatakan tidak dapat memberikan rasa yang sama atau setara dengan `Chinese Rice Wine' tersebut.

Namun, setelah difikir dan ditimbang kemungkinan resepi ini akan gagal, saya membuat keputusan untuk cuba sahajalah. Alhamdulillah, resepi ini menjadi meskipun saya tidak tahu apakah perbezaan rasa sekiranya menggunakan Chinese rice wine tadi. FYI, saya tidak menggunakan sebarang bahan gantian, saya cuma mengeluarkan sahaja Chinese rice wine dari masakan ini.



Rasa Broccoli Beef ini sedap. Sesuai dimakan panas-panas dengan nasi. Ada rasa masin dan manis. Saya lebihkan sedikit kuahnya memandangkan Mr. Hubby dan Hasya suka masakan yang ada kuah. Sekiranya anda suka yang agak kering, anda boleh biarkan kuahnya pekat dan kering sedikit.


Berikut adalah Step by Step Brocolli Beef yang saya ubah suai dari simplyrecipes:


Bahan-bahan

200 gm daging (potong nipis dan bentuk segiempat tepat)
Sebiji sayur brokoli (potong kecil-kecil)
2 sudu makan minyak masak
2 ulas bawang putih (dicincang)
1sk tepung jagung, larutkan dalam 1 sudu makan air


Untuk perapan

1sk kicap (saya pakai kicap pekat - boleh jelah pakai kicap apa)
1/2sk tepung jagung
1/8sk  serbuk lada hitam (guna yang kasar sikit)

Untuk Sos

2 sudu makan sos tiram
1 sudu makan kicap (saya guna kicap masin)
1/4 cawan chicken broth (saya guna 1/2 kiub pati ayam yang dilarutkan dalam 1/4 cwn air)
1 1/2sk gula (ini saya tambah, barulah ada rasa manis2 sikit)


Cara-cara

Kacau hingga sebati bahan-bahan perapan dalam mangkuk. Tuang ke atas daging dan perap daging selama 10 minit.



Kacau bahan-bahan sos hingga sebati dalam mangkuk.



Panaskan air dalam periuk. Tambah sedikit garam (1/2sk dah le). Rebus brokoli dalam periuk selama 2 minit. Toskan brokoli.



Panaskan minyak dalam kuali. Goreng daging yang telah diperap tadi sehingga masak. Masukkan bawang putih, biarkan 1 minit. 



Masukkan sos diikuti dengan brokoli. Kacau sesekali sehingga mendidih.  




Masukkan larutan tepung jagung, kacau sehingga pekat.



Selamat menjamu selera dengan masakan yang simple tapi sedap ini!







Thursday, February 23, 2012

Step by Step... Kek Baldu Merah (Red Velvet)

 

Dunia ini sungguh berwarna-warni. Hidup seharian kita juga penuh dengan warna-warna hidup. Adakalanya kita gembira dan dikelilingi warna-warna riang. Adakalanya juga, kita bersedih dan dilitupi dengan warna-warna kelam serta suram.

Hari ini warna merah baldu akan menjadi warna keriangan saya. Merah baldu? Kenapa pula merah baldu?

Kerana hari ini saya akan persembahkan Kek Baldu Merah atau nama omputihnya Red Velvet Cake! Like Like Like.


Red Velvet Cake ini adalah kek berwarna merah gelap, merah terang atau merah coklat. Lazimnya kek ini ditoppingkan pada permukaannya dengan vanilla icing atau cream cheese icing. Rasanya sedap sebab gabungan rasa kek coklat dan topping cream cheese.


Bahan-bahan

1/4 cwn mentega (dilembutkan pada suhu bilik)
1/4 cwn minyak canola/minyak jagung
1 1/2 cwn gula kastor
2 biji telur saiz A
1sk esen vanilla
1 cwn buttermilk (kalau tak ada, saya ajar cara buat di bawah)
1 sudu makan pewarna merah
1sk cuka masakan
2 1/4 cwn tepung gandum
3 sudu makan serbuk koko
1sk baking powder
1sk baking soda
1/4sk garam

Cara-cara Membuat Buttermilk

Kalau tak ada `buttermilk', cara membuatnya adalah:
1 sudu makan cuka putih atau perahan jus lemon
1 cwn susu segar


Cuma masukkan cuka dalam bekas sukatan 1 cup dan masukkan susu pada sukatan 1 cup tersebut. Biarkan selama 5 minit. 


Cara-cara Membuat Kek

1. FIRST BOWL: Dalam mangkuk yang besar, putar mentega, minyak dan gula sehingga berkrim.


Masukkan telur sebiji demi sebiji, putar lagi. Masukkan esen vanilla. Putar hingga sebati.


2. SECOND BOWL: Dalam mangkuk yang agak kecil, kacau sebati buttermilk, pewarna dan cuka. 


3. THIRD BOWL: Dalam mangkuk yang lain pula, ayak bersama tepung, serbuk koko, baking powder, baking soda dan garam.


Masukkan bahan-bahan THIRD BOWL sedikit-sedikit ke dalam FIRST BOWL. Putar guna mixer pada kelajuan perlahan sahaja sehingga sebati. Selang-selikan dengan bahan-bahan SECOND BOWL. tak perlu putar lama, berhenti sekadar dah sebati.


Keluarkan loyang bulat 9 inci. Lenserkan dengan sedikit mentega.  Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Saya ambil sedikit untuk bakar dalam ramekin kecil. 


Panaskan oven 170 darjah, bakar selama 20-30 minit atau sehingga kek masak. 


Setelah kek masak, biarkan kek sejuk pada suhu bilik, sebelum diletak topping.



Mari buat topping. Saya akan buat Cream Cheese Frosting.

1/4 cwn mentega (dilembutkan pada suhu bilik)
250gm cream cheese
2 cawan gula aising
1/4 cwn susu segar
1sk esen vanilla

Cara-cara

Dalam mangkuk yang agak besar, putar mentega dan krim keju sehingga berkrim. Sedikit demi sedikit masukkan gula, susu dan esen. Putar sehingga berkrim dan sebati. 



Menyiapkan kek

Letak salah satu bahagian kek atas alas kek. Sapukan frosting cream.


Tangkupkan bahagian yang satu lagi. Sapukan frosting cream selebihnya pada kek.

Tadikan saya ada bakar kek dalam ramekin kecil. Ambil sedikit, hancurkan dan tabur atas kek. Sejukkan kek selama 4-5 jam. Barulah sedap dimakan.


Kek ini saya buat untuk hari jadi Cik Zanariah. Cik Zana ni sangat sibuk orangnya. Meskipun kami dah bersedia nak nyanyi lagu happy birthday, tapi Cik Zana masih juga sibuk melayan telefon. Hehehe... 



Selamat Hari Jadi Cik Zana! Semoga dimurahkan rezeki dan bahagia selalu! 



Tuesday, February 21, 2012

Step by Step... Ikan Kembung Goreng Berlada

Minggu lepas memang minggu sibuk. Minggu ni pulak minggu super sibuk. Saya memang super-duper sibuk. Nak masak pun tak larat. Penat yang teramat. Sekarang ni dah mula sedar kenapa projek nak tulis blog asyik bertangguh je dulu-dulu. Rupa-rupanya saya ni memang sentiasa bertugas di tempat huru-hara dan super-duper kesibukannya.

Walau bagaimanapun, kadang-kala tu saya kena curi masa juga. Kalau dapur tak berasap, hati tak seronok juga. Tambah-tambah pula kalau ada stok bahan mentah dalam peti sejuk. Kalau ada stok ikan atau daging, rasa macam nak masak segera. Ikan atau daging kalau simpan lama-lama khasiatnya akan hilang. Rasanya pun akan jadi kurang ummmpphh...


Oleh kerana saya penat, maka saya kena masak simple je. malam ni saya masak Ikan Kembung Goreng Berlada. Masakan ni sesuai sekiranya di rumah anda kurang rempah-ratus dan cuma ada cili kering dan bawang merah sahaja. Tapi kalau rumah takde stok garam, baik beli nasi bungkus kat kedai je la ye hehehehe...

Bahan-bahan

3 ekor ikan kembung (saya beli saiz sederhana)
15 tangkai cili kering (dipotong, direndam air panas, dibuang biji)
6 ulas bawang merah
1cm belacan
1/2 sk pati asam jawa (saya guna yang ADABI)
garam dan gula secukup rasa untuk sambal.


Cara-cara

Kisar cili kering, belacan dan bawang.



Belah bahagian belakang ikan. Masukkan satu sudu kecil sambal kisar ke bahagian yang belah tadi.




Panaskan minyak agak banyak dalam kuali. Goreng ikan sehingga ikan masak/garing. Angkat dan toskan ke dalam pinggan hidangan.



Panaskan minyak (boleh guna minyak ikan tadipun, kalau banyak gunalah separuh sahaja), tumis bahan-bahan kisar sehingga agak kering dan naik bau. Masukkan asam jawa. Tambah garam dan gula. Gula letaklah dalam 2 sudu kecil dan tambah lagi kalau suka pedas-pedas manis.




Tutup api. Tuang sambal tadi atas ikan. Bau sambal ikan semerbak satu rumah. Mana taknya, ada belacan kan....





 

Monday, February 20, 2012

Step by Step.. Nasi Briyani Kambing



Hari tu kan saya dah kongsi cara nak masak Nasi Briyani Ayam (klik sini untuk Briyani Ayam) . Kali ni, mari kita buat Nasi Briyani Kambing pula. Sedap tau Nasi Briyani Kambing. Tapi, kalau anda tak suka makan kambing, maka anda akan rasa tak sedaplah nasi briyani ni.

Masa kat US, selalu juga saya beli dan masak daging kambing. Sebabnya, daging kambing halal lebih senang didapati daripada daging lembu halal. Daging kambing halal dari Australia ada dijual di Sam's Club.



Kat KL ni pun tak susah nak cari daging kambing. Saya beli kat Giant je. Ada jual kat tempat daging-daging frozen. Kalau tak silap, datang dari Australia juga ni. Harganya pun biasa-biasa je. Lebih kurang harga ayam juga. Dagingnya pun lembut. Jom kita mulakan. Kali ni masak 2 cawan nasi je sebab untuk makan anak-beranak je. Inipun banyak portionnya, cukup untuk lunch dan dinner sekali.


Bahan-bahan (untuk 2-4 orang)


Nasi
2 cawan beras basmathi (saya pakai yang super panjang)
1 batang kulit kayu manis (saiz kecil je)
2 sudu makan minyak sapi
1 biji buah pelaga
sekuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
secubit jintan manis
5 biji lada hitam (yang sebiji-sebiji)
1sk garam

Kambing
300-400gm daging kambing (potong kiub besar-besar sikit - saya beli yang dah dipotong dan ada tulang sikit)
 
 
1/3 kotak rempah Shan (sekotak 60gm, pakai le 20gm tapi kalau memang suka super pedas, boleh tambah sedikit lagi)
1/2 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
1/2 cm halia
1 tangkai daun kari
1 cawan air
garam secukup rasa
minyak untuk menumis

1 tangkai daun ketumbar (cilantro)
Pewarna merah dan kuning
 
 
Cara-cara

Basuh beras dan kemudian sukat air seperti nak masak nasi. Letak semua bahan-bahan kecuali minyak sapi je letak 1 sudu makan dulu (1 sudu makan lagi letak kemudian).
 
 
Masak nasi seperti biasa (guna rice cooker). Apabila nasi masak, masukkan 1 sudu makan minyak sapi lagi, gaulkan sebati.
 
 
 
Masak kambing pulak: Kisar bawang besar, bawang putih dan halia (kalau nak cincang pun boleh). Panaskan minyak dalam kuali yang agak besar. Tumis bahan-bahan kisar hingga berwarna perang dan naik bau. Masukkan rempah Shan, kambing dan air. Biarkan kambing masak dan air kering. Kacau sekali-sekala. Kalau tak berapa masin kena letak garam, tapi selalunya rempah ni memang dah masin.
 
Sebelum kering

Dah kering
 
Setelah kambing masak dan agak kering, tutup api. Potong daun ketumbar kecil-kecil.
 
 
 
Sediakan bekas/loyang sederhana besar yang boleh dibakar dalam oven. Mula-mula letak 1/3 nasi dalam bekas.
 
 
 
Lepas tu letak 1/2 kambing. Tabur 1/2 daun ketumbar dan letak beberapa titik pewarna di sekitar permukaan.
 
 
 
Kemudian, letak 1/3 lagi bahagian nasi. Letak 1/2 lagi ayam dan 1/2 lagi ketumbar (dah abis tau kambing n daun). Letak lagi beberapa titik pewarna.
 

 

Akhir sekali letak 1/3 nasi (bahagian terakhir nasi). Dah abis pun.
 
 
 
Panaskan oven suhu 160-170 darjah. Masukkan bekas tadi selama 20-30 minit. Tutup permukaan bekas dengan aluminium foil.
 
 
 
Keluarkan nasi dari oven dan gaul-gaulkan guna senduk supaya sekata dan sebati.
 
 
 
Dah siap. Tambah telur rebus hehehe :)