Tuesday, January 24, 2012

Sepanjang Jalan ke Utara Tanah Air....



Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Utara tanah air sememangnya amat mencabar semasa musim perayaan. Sekiranya pada hari-hari biasa, perjalanan ke Sungai Petani hanya memakan masa 4 jam, namun pada musim perayaan tempoh perjalanan akan menjadi 2 kali ganda ataupun lebih.

Itulah cabaran yang terpaksa kami sekeluarga dan beribu-ribu keluarga lain tempuhi untuk merentasi Lebuhraya Utara-Selatan setiap kali musim perayaan. Tidak kiralah musim tersebut adalah perayaan Aidilfitri, Deepavalli atau Tahun Baharu Cina, kerana kita rakyat Malaysia maka kita 1Malaysia. Semua orang akan berpusu-pusu untuk pulang ke kampung tanpa mengira apa jua perayaan.

Pada cuti perayaan CNY 2012, kami sekeluarga bertolak dari KL ke SP pada pagi Sabtu 21 Januari 2012. Kononnya nak lari sedikit daripada kesesakan jalan raya, maka kami mengelak untuk berada di atas jalan raya pada malam 20 Januari.



Sangkaan kami amat meleset kerana kami terpaksa menempuhi kesesakan jalan raya yang amat teruk iaitu dari Bukit Lanjan ke Slim River. Tidak cukup dengan itu, hujan yang turun sepanjang jalan dari Bukit Tagar ke Juru melambatkan perjalanan kami. Akibatnya, kami berada di atas Lebuhraya PLUS selama 8 jam setengah iaitu dari jam 10 pagi hingga ke jam 6.30 petang.



Mujurlah, kesesakan tidak berlaku di Kuala Kangsar kerana pastinya keadaan akan menjadi amat teruk berikutan faktor muka bumi yang bergunung-ganang. Perjalanan kami melalui Terowong Menora adalah lancar.

Setiap kali pulang ke Sungai Petani, saat melalui Terowong Menora merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh Hasya. Dia akan teruja dan memberitahu Mr. Hubby, "Papa, tunnel!"



FYI, terowong ini terletak di Banjaran Keledang, Perak. Terowong ini mula beroperasi pada tahun 1986. Terowong sepanjang 800 meter ini mempunyai  2 terowong (sebelah menyebelah).



Akhir kata, saya cadangkan supaya lebuhraya baru dibuka bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di lebuhraya plus. Dengan kepesatan penduduk yang semakin meningkat setiap tahun, nampaknya jalan-jalan raya di seluruh negara semakin senak dan sendat untuk menampung jutaan kenderaan yang tidak pernah menurun jumlahnya.

Saya pasti, semua orang akan gembira jika kita dapat pulang ke kampung dengan hanya menekan brek atau menukar gear seminimum mungkin pada sepanjang perjalanan untuk bertemu insan tersayang.

Friday, January 20, 2012

Step by Step.. Colorful Checkerboard Cake (untuk birthday Hasya)



Pada 19 Januari 5 tahun yang lalu, Hasya telah hadir dalam hidup kami. Hasya sangat comel dan menjadi puteri hati kami berdua.

Hasya

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, semalam puteri sulung kami menyambut ulang tahun yang ke-5.



Meskipun saya dan Mr. Hubby amat penat kerana banyak tugas yang perlu disiapkan di pejabat, namun kami usahakan satu sambutan hari jadi yang simple untuk Hasya. Kesibukan juga mengekang kami daripada menjemput tetamu datang ke rumah.



Saya buatkan Colorful Checkerboard Cake untuk Hasya. Resepi kek ini saya olah semula daripada resipi kek di belakang kotak Checkerboard Cake Pan Set oleh Wilton.


Terus terang saya katakan, buat kek ini memang remeh dan mencabar. Sangat penat! Sebabnya, kena berhati-hati terutamanya semasa nak paipkan adunan ke dalam loyang. Kalau tak berhati-hati, nanti warnanya akan bercampur2 tak tentu hala. Seperkara lagi, sebenarnya saya buat 4 warna, tapi warna ungu dan merah jambu jadi hampir sama pula. Jom lah kita tengok cara saya menyediakan Kek Dam Warna-warni untuk Cik Hasya Irdina.


 
Bahan-bahan

227gm mentega/marjerin
2 cawan gula
3 biji telur
2sk esen vanilla
4 cwn tepung gandum ayak dgn 1sk garam dan 1 sudu makan baking powder
2 cawan susu segar
Pewarna (suka hati anda nak warna apa)

sedikit strawberry filling dan 200ml whipping cream

Cara-cara

Putar mentega dan gula sehingga kembang dan berkrim.



Masukkan telur satu persatu dan esen vanilla. Putar lagi.



Masukkan bahan-bahan yang diayak sedikit demi sedikit berselang-seli dengan susu. Pukul sebati.





Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian mengikut berapa warna yang anda mahu. Saya buat 4 warna: kuning, merah jambu, ungu (nampak macam pink juga!) dan hijau epal.



Letakkan pembahagi adunan (jenama wilton) dalam salah satu loyang. Tuangkan adunan dengan berhati-hati dan mengikut kreativiti (tuang adunan separuh paras loyang sahaja). Saya paip adunan bagi mengelakkan comot di merata tempat.




Cabutkan pembahagi adunan dengan berhati-hati, bersihkan dan ulang langkah yang sama pada loyang kedua dan ketiga.




Panaskan oven 170 darjah dan bakar adunan selama 20 ke 25 minit atau sehingga masak.



Setelah masak, keluarkan dari oven dan biarkan sejuk.



Setelah kek sejuk, Putar whipping cream sehingga kental.



Sapukan strawberry filling pada permukaan kek pertama dan kemudian sapukan sedikit cream.



Cantumkan dengan kek kedua dan ulang langkah yang sama. 



Pada permukaan kek ketiga, sapukan lebihan whipping cream. Saya taburkan sedikit coklat urai berwarna pink kuning untuk nampak cantik.




 
Sempena ulang tahun kelahiran Hasya, kami juga hadiahkan seutas jam tangan Barbie dan beg comel Minnie Mouse.




Akhir kata, sepanjang 5 tahun ini, Hasya sentiasa comel membesar di hadapan kami. Semoga Hasya akan cemerlang dan bahagia dalam hidup, amin.


6 bulan

Setahun 1/2

2 tahun
  
2 tahun 1/2
3 tahun

4 tahun

 

Thursday, January 19, 2012

Nasi Berlauk di Bangunan Sultan Abdul Samad

Pagi ini adalah pagi yang indah.

Matahari sekadar memancarkan sinar pagi dengan lembut, sayu dan tenang. Pagi ini juga lalu lintas agak tenang.


Pagi ini saya ada mesyuarat di Bangunan Sultan Abdul Samad.  Setelah 3 tahun pulang bertugas di Ibu Negara, ini adalah pertama kali saya akan bermesyuarat di Bangunan ini. Inipun secara kebetulan kerana menggantikan salah sorang bos yang sedang bercuti (Nota: Saya ni pegawai kecik je).



Bangunan ini menyambut saya dengan penuh sejarah dan nostalgia. Selain daripada sejarahnya yang tersendiri, saya juga ada berkongsi kenangan di bangunan ini. Di sinilah tempat saya mengangkat sumpah memasuki perkhidmatan awam, 8 tahun yang lalu.

Fakta sejarahnya, Bangunan Sultan Abdul Samad ini mula dibina pada tahun 1894 dan dinamakan sempena nama Sultan Selangor iaitu Sultan Abdul Samad. Bangunan ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan sejak tahun 2007.



Reka bentuk dan binaannya berbentuk `Soracenic’ berasaskan seni bina Moghul dan Moorish. Tingkap dan pintunya berbentuk melengkung seperti masjid-masjid di Cardova dan Mesir.

Nasi Berlauk


Bangunan ini juga menyambut saya dengan juadah yang sangat menarik iaitu Nasi Berlauk.  `Nasi Berlauk di Bangunan Sultan Abdul Samad', fakta ini sangat mengujakan.



Pada pandangan pertama, saya menyangka nasi yang dihidangkan ini adalah nasi dagang. Walau bagaimanapun kekhilafan saya ini ditegur oleh rakan yang duduk di sebelah saya. Kata beliau, "Ini bukan nasi dagang, ini nasi berlauk."


Nasi berlauk ini diiring pula dengan kuih koci dan kuih cek mek molek. Gabungan yang membuka selera dan sesuai untuk dimakan pada waktu brunch.


Kuih-muih


Seterusnya apabila pengerusi memulakan mesyuarat dengan dialek pantai timur yang begitu pekat, maka terserlahlah persoalan mengenai pemilihan menu yang menyambut kehadiran saya ke sini.




Akhir kata, sambil makan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana menyambut saya dengan penuh nostalgia dan pilihan makanan yang sedap.


Wednesday, January 18, 2012

Step by Step... Pandan Slice Cheese Cake


Ramai pulak yang sambut birthday bulan Januari ni. Officemates saya, 2 orang yang sambut birthday mereka minggu ni.

Seperti yang saya post menerusi entry sebelum ini, saya buatkan Slice Cheese Cake untuk Syida. Hari ini 18 Januari 2012 adalah hari jadi Puan Azizah dan saya buatkan Pandan Slice Cheese Cake untuk Kak Zah.

Gebu dan menggiurkan

Kek ni lebih kurang sama je dengan Slice Cheese Cake hari tu. Bezanya, ada penambahan perisa pandan dan ada sedikit rasa coklat.

Saya juga menderhaka sedikit daripada cara-cara yang Ros Jintanmanis ajar. Sebabnya, saya ni kekadang malas, jadi saya buat apa yang saya fikirkan senang. Tambahan pula weekdays, penat tau sebab malam-malam kena buat kek hehehehe....

Kepada yang suka perisa pandan, wajarlah cuba kek ni sebab lemak-lemak pandan je rasa dia.


Bahan-bahan

4 keping slices cheese (cheese keping yang diapit pada burger)
200 ml susu segar
70 gram butter atau marjerin
80 gram tepung gandum (diayak dahulu)
70 gram gula
4 biji telur saiz M
beberapa titik esen pandan
beberapa titk pewarna hijau
1 sudu kecil serbuk koko



Cara-cara

Carikkan slice cheese kecil-kecil dan campurkan dengan susu segar, kemudian masukkan dalam periuk, gunakan api perlahan dan biarkan slice cheese tadi cair. Kacau sentiasa (saya guna kaedah double boil).


Masukkan butter serta separuh bahagian gula dan kacau hingga larut, tutup api dan sejukkan sebentar (saya tak letak gula, gula saya pukul dengan putih telur)


Asingkan putih telur dan kuning telur. Pukul putih telur bersama baki gula (saya taruk semua gula) hingga menjadi meringue. Meringue pastikan betul-betul kental, terbalikkan bowl dan meringue takkan jatuh.


Pukul sampai bertanduk


Dalam bekas lain pukul kuning telur hingga kembang dan masukkan kedalam adunan cheese tadi, masukkan tepung sedikit demi sedikit dan pukul lagi, pastikan adunan tidak berketul.




Akhir sekali campurkan meringue sedikit demi sedikit ke dalam adunan tadi (saya tuang je semua) dan berberapa titik esen pandan dan perwarna hijau (saya tak letak pewarna cuma esen pandan sahaja), gunakan cara kaup balik supaya adunan rata. Glis acuan kek dengan marjerin dan alaskan dengan kertas.







Ambil dua sudu besar adunan dan masukkan serbuk koko, ketepikan, curah adunan hijau ke dalam acuan kek (saya guna acuan 9 inci) dan akhir sekali curahkan pulak adunan coklat di atas permukaan adunan hijau tadi, lorekkan dengan garpu atau lidi.




Tuang dalam loyang


Lorek suka-suki hati


Bakar pada suhu 170 darjah selama 20 minit dan turunkan suhu 140 darjah selama 40 minit, gunakan acuan kek bulat atau petak berukuran 18cm dan letakkan sedikit air di bawah dulang pembakar, cara bain marie, untuk dapatkan tekstur kek yang tidak terlalu kering.

Nota: Saya bakar kaedah bain-marie selama 50 minit pada suhu 160 darjah sebab saya malas nak adjust time.




Yay! Dah Siap!


Saya tambahkan parutan coklat untuk kemewahan berganda.


Tada!


Majlis Hari Jadi Puan Zah berlangsung dengan jayanya.




Wah3x.. beratur tunggu kek :)


Kebetulan pula our boss bagi Cokelat yang sungguh cantik untuk santapan kami.


Coklat Menggoda...


Boss juga bagi coklat Patchi yang sangat mengujakan kami semua.


Patchi in the house!


Lagi... (Perghh, ada lagi...) Kami lunch makan Pizza Dominos.. nyum..nyum..nyum... Selamat Hari Jadi Kak Zah!


Chicken Perfection


Extravaganza


Aloha Chicken


Prawn Passion


The End.