Sunday, June 2, 2013

Perjalanan ke Sulawesi Utara.. `Si Tou Timou Tumou Tou' Part II

Bersambung dari Part I.

Malam pertama di Kota Manado, tidur saya terganggu kira-kira jam 5.30 pagi. Ini kerana pancaran matahari telah mula menerangi kota seawal pagi ini. Melihat pagi yang semakin cerah sedangkan waktu masih belum mencecah jam 6 pagi, saya mula berasa sedikit gusar. Bimbang sekiranya saya tersilap menjangka waktu dan menyebabkan saya mungkin akan terlewat bangun. Maka, saya membuat panggilan ke front desk untuk memastikan waktu tempatan dan saya mendapat pengesahan bahawa tidak ada perbezaan masa antara Kuala Lumpur dengan Manado.

Pagi ini persidangan belum bermula. Sebaliknya, saya dan Kumaran harus menghadiri Bengkel Pra-Persidangan. Saya akan menghadiri Bengkel Etika Media, manakala Kumaran akan menghadiri Bengkel Cabaran Radio. Kedua-dua bengkel ini diadakan di Novotel Hotel. Justeru, dari Swiss Belhotel, kami menaiki bas untuk ke bengkel ini. Dari hotel penginapan ke Novotel mengambil masa kira-kira 25 minit.


Dewan Persidangan di Novotel


Bengkel 4 sesi yang saya hadiri disampaikan oleh Dr. Venkat Iyer, seorang peguam dan pesuruhjaya undang-undang di United Kingdom.



Dr. Venkat Iyer


Kami berhenti rehat (coffee break) jam 10.30 pagi. Melihat hidangan kuih-muih tempatan, saya mengambil sebiji karipap untuk merasa keenakan karipap Manado. Rupa-rupanya kuih yang saya sangkakan karipap ini, tidak ada kari pun dalam intinya. Yang ada cuma sayur-mayur dan suun. 

Puff Sayur?


Bengkel disambung semula selepas rehat selama 30 minit. Rehat seterusnya pula ialah pada jam 12.30 tengah hari. Lauk Udang Mentega yang lazat berjaya menebus rasa kekecewaan saya yang makan puff sayur pagi tadi.

Sedap


Sesi yang panjang sehingga melewati jam 5 petang ini berakhir dengan jayanya. Sebagaimananya awalnya siang di sini, sebegitu juga awalnya malam. Jam 6 keadaan sekitar sudah mula gelap. Kami bergegas pulang menaiki bas ke Swiss Bel kerana jam 7.30 malam nanti, kami akan menghadiri majlis makan malam di rumah Gabenor Sulawesi Utara.

Jam 7.30 malam kami telah berada di rumah Gabenor Sulawesi Utara, SH Sarundajang. Malam ini, Dr. Nawiyah juga ada bersama-sama saya dan Kumaran. Majlis dimulakan dengan beberapa ucapan alu-aluan dan persembahan kebudayaan tradisional Manado.

Ucapan Gabenor



Hati tertarik dan kagum melihat persembahan Tarian Maengket. Tarian tradisi puak Minahasa (penduduk majoriti di Sulawesi Utara) merupakan gabungan, tarian, nyanyian dan pukulan gendang.

Tarian Maengket



Sebelum pulang, kami bertiga sempat melihat-lihat dan bergambar dalam rumah gabenor. 

Dalam Rumah Gabenor

Saya bersama Kumaran dan Dr. Nawiyah



Majlis makan malam ini berakhir sekitar jam 9 malam. Dan kami pulang ke hotel dalam keadaan yang letih dan tak cukup rehat. Esok persidangan akan bermula.


Bersambung di Part III

2 comments:

emma marini said...

Eah..bestnya dapat jalan ke tempat orang...

weezana said...

alhamdulillah Emma.. tak pernah terfikirpun nak ke Manado ni.