Monday, December 27, 2010

Aku nak kahwin ni. Beri aku yang terbaik ya!



Affendi baru sahaja mendapat panggilan telefon daripada sahabat baiknya Muzri. Persahabatan Affendi dan Muzri bukan baru, telah mencecah hampir 18 tahun. Affendi dan Muzri bertemu semasa bersekolah di Sekolah berasrama penuh di Kuantan, Pahang. Sewaktu itu mereka sama-sama pelajar baru yang terpilih atas kecemerlangan mereka dalam UPSR.

Panggilan telefon daripada Muzri itu membawa khabaran gembira. Muzri akan bernikah dengan wanita pilihannya pada cuti Tahun Baru Cina akan datang. Antara sahabat-sahabat Affendi, Muzri agak lewat sedikit untuk naik pelamin. Maklumlah, umur Muzri kini mencecah angka 30-an. Panggilan telefon Muzri bukan sahaja mahu memberitahu berita gembira tersebut, malah Muzri ingin membeli cincin terbaik dari Kedai Emas Cintaku Cintamu, milik Affendi, untuk dihadiahkan kepada bakal isterinya. Pesan Muzri kepada Affendi, "Aku nak kahwin ni. Beri aku yang terbaik ya! Bajet aku dalam lingkungan RM10,000."
Affendi berjanji untuk bertemu dengan Muzri di Restoran Madam Kwan, Mid Valley malam itu. Sebelum pulang, Affendi memilih sebuah cincin berpermata Sapphire biru sebagai hadiah hantaran Muzri kepada bakal isterinya. Cincin tersebut berharga RM10,000. Namun sebagai tanda persahabatan dan hadiah daripada seorang rakan lama, Muzri bercadang untuk menjual cincin tersebut dengan harga RM5,000 sahaja.

Malam itu seperti yang dijanjikan mereka bertemu di Restoran Madam Kwan. Muzri teruja untuk melihat cincin yang dipilih oleh Affendi. Sebaik sahaja Affendi menunjukkan cincin tersebut, Muzri terus terpikat. Kilauan batu Sapphire membuatkan cincin tersebut nampak esklusif dan hebat. Apabila ditanya tentang harga, Affendi dengan perasaan yang amat gembira menyatakan harga cincin tersebut adalah RM5,000. Sebaik sahaja mendengar harga tersebut, air muka Muzri terus berubah.

Muzri: Hmmmm, aku prefer kalau harganya mahal sedikit daripada yang ini. Seperti yang aku beritahu, aku nak yang lebih kurang RM10,000.

Affendi: Kalau begitu, esok pagi kau singgahlah ke kedai aku. Aku akan tunjukkan cincin yang lain. Jangan bimbang, banyak lagi pilihan menarik di sana.




Kata Affendi walaupun agak terkejut dengan reaksi kawan baiknya itu. Keesokan paginya, Affendi telah bersedia dengan sebentuk cincin berpermata Canary yang tidak kurang cantiknya daripada cincin Sapphire semalam. Sebaik sahaja Muzri sampai, Affendi menunjukkan cincin tersebut kepada sahabatnya itu. Sekali lagi, Muzri terpikat dengan cincin berbatu kuning ini. Muzri bertambah gembira apabila diberitahu oleh Affendi bahawa cincin tersebut berharga RM10,000.
Malah, Muzri bertambah-tambah kegembiraannya apabila Affendi mengatakan yang dia memberi 50% potongan harga kepada Muzri sebagai tanda persahabatan dan hadiah perkahwinan sahabat baiknya itu. Justeru harga yang dikenakan adalah RM5,000! Muzri memeluk Affendi kerana berasa amat terharu. Daripada rasa tidak gembira kerana ditawarkan cincin dengan harga RM5,000, kini Muzri amat gembira kerana ditawar cincin berharga RM5,000.

Expensive is good, right? :D

Saturday, December 18, 2010

I can't have sex with you....

Irfan berasal dari Kampung Pulai, Gua Musang (maaflah pemilihan nama dan tempat sekadar figure of speech). Irfan seorang anak yang sangat sopan santun dan menghormati orang tua. Dia dibesarkan dalam suasana kampung dan tidak terdedah kepada norma-norma yang tidak sihat dalam masyarakat moden. Berpegang teguh pada agama Islam, Irfan tidak pernah minum arak ataupun keluar dating dengan mana-mana awek di sekolahnya.



Tamat SPM, Irfan berjaya mencapai keputusan perfect score 10A. Atas kecemerlangan beliau, Irfan ditawar penajaan oleh Petronas untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang Petrokimia (Bsc. Petrochemical). Irfan amat gembira kerana dia akan keluar dari Gua Musang untuk kali pertamanya dalam hidup. Sebelum ini, dia cemburu dengan kawan-kawannya yang tidak pass SPM kerana dapat berhijrah ke Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain untuk mencari pekerjaan. Ketika ini, Irfan amat berasa bangga kerana dia bukan sekadar akan ke KL (KLIA hehehe) tapi akan terbang terus ke United States.

Irfan menjejakkan kaki di Texas, Amerika Syarikat pada tanggal 7 Ogos 2005. Dia akan memulakan pengajiannya di salah sebuah universiti terkemuka di Texas pada sesi Fall 2005. Untuk tahun pertama ini, Irfan perlu tinggal di dalam kampus kerana masih bawah umur. Keesokan harinya, Irfan menghadiri sesi taklimat untuk pelajar baru. Selesai taklimat, kesemua pelajar baru di bawa menaiki bas ke Walmart untuk membeli barang-barang keperluan mereka. Inilah pertama kali Irfan membeli-belah di pasaraya yang agak besar. Dia teringat dengan Ibunya yang membeli barang-barang keperluan di kedai runcit Pak Mail di kampungnya.


Setelah mendapatkan barang-barang keperluan, Irfan beratur untuk membayar. Then, tibalah giliran Irfan. Cashier yang berada di hadapannya sungguh cantik menawan. Inilah pertama kali Irfan menatap secara langsung wajah gadis berambut blonde dan bermata biru. Jantung Irfan mula berdegup-degup. Cashier jelita itu menyapa mesra Irfan.

Cashier: Hi, how you doing?

Irfan: Hmm doing well, thanks.

Bertambah laju degupan jantung Irfan. Terdetik dalam hati Irfan, "Sudahlah cantik, sopan-santun pula si mata biru ini." Irfan sempat membaca tag nama yang dipakai oleh si cantik itu yang tertulis "Victoria". Dan terdetik pula dalam hati Irfan, "Sedap pula namanya..."

Satu demi satu barangan yang dibeli oleh Irfan discan harganya oleh Victoria. Senyuman Victoria tidak lekang daripada bibir. Irfan sangat terpesona namun malu-malu untuk memandang Victoria. Tiba-tiba lamunannya disentak oleh suara halus gadis itu.

Cashier: It's $34.56. Do you need sack?

Hah, nak jawab apa ni! Irfan mula gelabah. Dia mula teringat dengan ibu bapanya di kampung. Segala pesanan orang tuanya dan ustaz di sekolah mula berlegar-legar di kepalanya.

Irfan: I'm sorry. I can't have "sex" with you. I'm muslim.

Kata Irfan dengan nada yang serba-salah. Victoria merenung kehairanan. Hahaha...

Cashier: I mean "sacks" to put your stuff.

Then, makin tersipu-sipu malulah Irfan apabila Victoria menunjukkan bungkusan-bungkusan kertas untuk mengisi barang-barangnya. Walla!

Irfan sungguh malu dengan kejadian tersebut. Petang itu dia ke sebuah restoran berdekatan untuk menikmati makan malam. Dia ditemani oleh seorang pelajar baru dari Uganda. Setelah duduk di meja makan, mereka disapa mesra oleh waitress yang berambut pendek brunett yang cantik. Kali ini, Irfan tidak mahu merenung gadis cantik tersebut.


Waitress: Anything to drink?
Irfan: Just some water for me.
Pelajar Uganda: Water for me too.
Waitress: Are you ready to order?
Irfan: Yes, what do you have? What's your specialty?
Waitress: We have Texas Steak.
Irfan: I'm sorry. I don't eat meat.
Waitress: Oh, how about Bourbon Chicken?
Irfan: I don't eat chicken either.
Waitress: Are you vegetarian?
Irfan: No, I'm Malaysian. (jawab Irfan dengan bangganya...)

Maka, waitress itupun amatlah hairan dengan klasifikasi manusia yang baru didengarnya. Hahaha, just for fun. Kredit untuk Encik Azi yang menceritakan kisah benar ini kepada saya (saya olahkan semula menggunakan kaedah suka-suki sayalah nak cerita apa).

Friday, December 10, 2010

Hello, rokok saya tobacco free!


Malam ni Zul, Amir, dan Nathan bercadang untuk makan malam di Restoran Kari Kepala Ikan No. 1 di Butterworth. Tepat jam 8.30 malam, ketiga-tiga rakan sekerja itu telah duduk bersembang di salah sebuah meja di restoran tersebut. Macam-macam topik yang disembangkan. Daripada sukan hinggalah ke topik awek-awek cun di pejabat mereka. Sambil menikmati kari kepala ikan yang paling lazat di bandar tersebut, perbualan mereka terus rancak dengan topik berkaitan politik tanah air.

Selesai meratah lebihan isi pada kepala ikan, Zul mengeluarkan sesuatu daripada poket seluarnya. Kelihatannya seperti sebatang rokok. Zul kemudiannya menyedut dan menghembuskan asap rokok tersebut beberapa kali, dan dia kemudian ditegur oleh pelayan restoran tersebut.

Pelayan: Maaf Encik, dalam restoran ni tak boleh merokok.
Zul: Saya tidak merokok.
Pelayan: Maaf Encik (dengan lembut dan sopan), saya baru je lihat Encik merokok tadi.
Zul: Hello, rokok saya (sambil mengeluarkan benda yang dihisap tadi), tobacco free!

Maka, dengan kebingungan (kerana tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh Zul) dan kurang kecerdikan, pelayan tersebut tersipu-sipu meninggalkan Zul dan rakan-rakan.

Huh, apa pulak "Rokok tobacco free" ini? Ada ke rokok tanpa tembakau?

Justeru, bagi mengelakkan anda terperangkap dalam situasi begini, hari ini saya ingin memperkenalkan rokok tanpa tembakau yang popularitinya semakin mencanak-canak di United States. Tidaklah saya berniat untuk mengadakan iklan atau promosi percuma untuk rokok alaf baru ini, sekadar untuk berkongsi pengetahuan cetek saya ini supaya kita saling ingat-mengingati.. hihihi...


 
Rokok alaf baru ini merupakan rokok elektrik yang dicipta bagi individu yang ingin berhenti merokok. Almaklum, rokok tradisional (ada yg guna perkataan rokok analog!) mengandungi tembakau dan boleh menyebabkan pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser paru-paru dan kanser tekak.

 



Lain-lain perkara yang bagus: Semenjak Zul menghisap vapor cigarette, dia tak perlu keluar daripada pejabatnya untuk menghisap rokok. Bau badan Zul juga semakin wangi dan tidak berbau seperti seorang perokok tegar (you know what I mean!). Zul tidak lagi menyebabkan orang lain kurang senang kerana asyik menghembuskan asap rokok yang berkepul-kepul. Zul juga dengan mudah boleh mengecas rokok vapornya dengan mudah kerana dia dibekalkan dengan wall charger dan USB charger. Zul berasa lebih yakin terhadap dirinya kerana bau badannya semakin wangi tambahan pula selepas memakai perfume Burberry.

Istilah bagi rokok elektrik ini adalah Vapor Cigarette. Penghisap rokok ini kononnya akan merasai kenikmatan yang sama seperti mana menghisap rokok analog. Vapor Cigarette mempunyai bentuk seakan rokok biasa, bau yang sama, dan rasa yang sama. Apa yang tidak sama adalah ia dicipta tanpa tembakau (dah ulang banyak kali fakta ni). Oleh kerana vapor cigarette ini tidak mengandungi tembakau, maka ia bolehlah dihisap ditempat-tempat yang ada signage "dilarang merokok." Itulah sebabnya Zul selamba saja menghisap vapor cigarette ini di restoran kari kepala ikan.

Vapor cigarette juga bukan produk yang membakar, terbakar, atau dibakar (tidak mengandungi carcinogens). Sebatang vapor cigarette adalah terdiri daripada tiga bahagian iaitu cartridges (langsung tak sama ngan cartridge printer), atomizer, dan bateri (rechargeable). Kalau nak menghisap rokok ni kena sambungkan ketiga-tiga bahagian tersebut. Cartridge tersebut mengandungi air (air tu la yg jadi asap), propylene glycol (ada pilihan diganti dengan vegetable glycerin), nikotin (hahaha mcm rokok betul) dan bau seolah-olah tembakau yang akan menghantar isyarat ke otak penghisap iaitu, "aku sedang merokok." Justeru, bagi perokok-perokok tegar, tidak perlulah mereka berhempas-pulas untuk berhenti merokok kerana mereka boleh memilih cara yang lebih selamat iaitu menghisap rokok vapor.

Anda tentu fikir rokok vapor ini sangat mahal. Namun berdasarkan perbandingan yang dibuat di kebanyakan laman-laman web yang mempromosikan teknologi baru ini, rokok ini sebenarnya menjimatkan separuh daripada peruntukan bulanan anda untuk membeli rokok analog. Testimoni (tanpa kajian saintifik ye) daripada kawan sekelas saya (yang menghisap rokok vapor), dia berjaya mengurangkan perbelanjaannya dan dapat menggunakan duit berlebihan tersebut untuk menyambung pengajiannya di peringkat sarjana.

Perisa pula ada macam-macam. Kalah perisa aiskrim Baskin Robbins. Contoh-contoh perisa (e-juice/e-liquid) rokok vapor ini adalah: Vanilla, Coffee, Cherry, Chocolate, Peppermint, Cowboy Tobacco (seperti rasa rokok Marlboro), Apple, Grape, Peach, Strawberry, Blueberry, Fruit Mix, Coca-Cola (hah!), dan Variety Pack.

Sunday, December 5, 2010

Iklan ada, barang takde? Apa cerita ni!

Pada musim perayaan krismas ni, barangan yang paling popular dan mendapat sambutan hangat di pasaran adalah mainan. Ini kerana inilah masanya kanak-kanak di seluruh dunia (yang menyambut Krismas) akan merengek-rengek (nagging factor) meminta ibu bapa dan sanak-saudara terdekat mereka supaya membelikan mainan yang mereka gemari.


Sejak awal November lagi iklan barangan mainan mula diputarkan berulang kali menerusi kaca televisyen. Saya pasti, ini adalah taktik lazim di seluruh dunia. Di United States, pengeluar-pengeluar produk mainan seperti Hasbro, Mattel, Lego, Fisher Price bersaing hebat untuk memasarkan barangan mereka. Kerana saya manusia biasa, saya amatlah tertarik hati dengan produk keluaran Lego.

Saya menyimpan hasrat untuk membeli produk Lego di bawah tema Harry Potter. Namun ketika itu, saya sedang mengira-ngira perbelanjaan untuk bershopping sempena Black Friday, justeru saya tangguhkan dahulu hajat untuk membeli Lego tersebut.


Setelah seminggu jualan Sale sempena Jumaat yang hitam dan mengetahui baki duit yang saya ada, saya kembali menggoogle Lego Harry Potter yang menjadi idaman hati. Apa yang memeranjatkan kebanyakkan laman web tertulis "Out of Stock!" Hah! yang lebih mengejutkan lagi, terdapat beberapa laman web yang masih mempunyai stok namun menjual produk tersebut dengan harga yang hampir dua kali ganda daripada harga asal!



Terkedu saya melihat barangan yang ingin sekali saya beli tapi telah menjadi begitu mahal sekali. Di laman web Lego sendiri, stok memang sudah tidak ada, jika mahu menempahpun harus menunggu sehingga awal Januari. Hah, Watdefish?!


Nampaknya pengeluar barangan mainan memang menggunakan taktik yang amat bijak untuk menjual produk mereka. Hmmm, mungkinkah kerana filem terbaru Harry Potter and the Deathly Hallows baru sahaja menemui penonton di pawagam?


Namun, ada kemungkinan yang produk tersebut tidak dipasarkan dengan cukup di pasaran. Maka permintaan melebihi pengeluaran.


Saya teringat dengan satu cerita yang amat menarik, ceritanya begini: Peter mula berasa hairan kerana dua tahun berturut-turut dia terserempak dengan John (jiran sebelah rumahnya) di sebuah kedai mainan terkemuka di bandar tempat mereka tinggal. Kehairanan Peter adalah berdasarkan dua faktor:


1. Faktor masa iaitu dua tahun berturut-turut mereka terserempak pada seminggu selepas perayaan Krismas.


2. Mereka membeli barangan mainan yang sama!


Peter menganggap kejadian tersebut secara kebetulan dan dengan berseloroh dia menceritakan kejadian aneh tersebut kepada kawan baiknya, Michael yang merupakan seorang pakar pemasaran. Sambil ketawa, Michael bertanya kepada Peter:


Michael: Adakah kamu berjaya membeli hadiah krismas yang dimahukan oleh anak kamu?
Peter: Tidak pada awalnya kerana mainan itu tidak ada stok di pasaran.
Michael: Adakah kamu terserempak dengan jiran kamu ketika kamu membeli mainan tersebut selepas Krismas?
Peter: Bagaimana kamu tahu?
Michael: Apa yang berlaku kepada kamu bukan secara kebetulan. Itu adalah satu taktik yang dirancang oleh syarikat pengeluar mainan. Sebelum Krismas, mereka akan mengeluarkan iklan secara besar-besaran mengenai produk sasaran mereka. Justeru, anak-anak akan tertarik dan merengek-rengek minta dibelikan mainan yang diiklankan. Namun, produk tersebut, akan dikeluarkan sedikit sahaja menyebabkan ia tidak cukup di pasaran. Ini bertujuan untuk mengelak berlakunya pasaran yang lembap selepas perayaan Krismas. Maka, ibu bapa terpaksa membeli mainan lain yang setara harga dengan produk yang tidak berjaya mereka beli. Selepas perayaan Krismas, produk tersebut akan berada semula di pusat membeli-belah. Apabila kanak-kanak melihat produk tersebut, mereka akan berkata, "Papa dah janji nak belikan" Oleh itu, ibu bapa pasti tidak sampai hati untuk menolak permintaan anak mereka dan akan membelikan mainan tersebut untuk anak mereka.


Jadi, patutkah saya beli Lego tadi? Hmmmm....

Thursday, December 2, 2010

Mari berdialog dgn speaker MLM



Cuaca yang panas hari ini menyebabkan kemeja yang dipakai oleh Suhaimi dibasahi peluh. Nasib Suhaimi kurang baik kerana kereta Proton Wiranya breakdown pagi tadi. Justeru, dia terpaksa menunggu bas di perhentian bas Jalan Silang yang sibuk untuk pulang ke rumahnya di Desa Petaling.
 
Tiba-tiba dia disapa oleh seorang pemuda dalam lingkungan umur lewat 20-an. Pemuda tersebut berperawakan menarik dan berpakaian pejabat yang kemas. Dia mengenalkan dirinya sebagai Ramli. Sekeping business card dihulur kepada Suhaimi. Tertera pada kad tersebut, "Aku Kaya Konsortium, Ramli Misbah, Speaker."

Ramli mengajak Suhaimi ke restoran mamak berdekatan untuk penerangan lanjut mengenai Aku Kaya Konsortium. Disebabkan bas No. 5 yang ditunggu oleh Suhaimi masih tidak menunjukkan kelibat, Suhaimi bersetuju untuk mengikut Ramli. Tambahan pula, tekak Suhaimi mula kering dan perlu dibasahkan dengan teh ais.
 
Sebaik sahaja duduk di meja 4 segi di Restoran Mamak Corner, Ramli memulakan jarumnya:

Ramli: Bro boleh order apa-apa saja yang bro mau. Saya akan bayar.

Suhaimi: Orait. Mamak, teh ais dan roti telur satu.

Mamak: Wokeh.
 
Ramli: Bro keje mana bro?

Suhaimi: Keje biasa-biasa je, kat Kementerian Wanita.

Ramli: Ha, sesuai sangat tu. Ramai ahli kami yang sebelum ni kerja ngan gomen dah berhenti kerja sebab nak serius dalam AK Konsortium. Dalam masa 15 hari bro, dorang ambil keputusan untuk berhenti kerja.

Suhaimi: Wah, ye ke? Macam menarik tu.

Ramli: Memang menarik bro. Bro boleh pilih antara pelan dalan AKK ni: Bronze, Silver, Gold, dan Platinum. Bro, boleh dapat 4,788 sehari. Saya ulang, SEHARI 4,788 kalau ikut plan ni. Maksudnya (sambil menggunakan kalkulator dan menunjukkan angka kiraannya) dalam sebulan, bro boleh dapat 143,640! Pulak tu, bro akan dibekalkan dengan produk-produk kesihatan kami yang nilainya melebihi RM5000. Modal yang dikeluarkan tak sebanyak itupun bro. Bro tak rugi apa-apa!

Suhaimi: Interesting. Ada kena buat apa-apa ke?

Ramli: Bro, perlu cari dua orang kengkawan, ahli keluarga ke, untuk join bisnes ni. Kengkawan tu pulak, cari 2 orang lagi untuk join.

Suhaimi: Tak salah ke, tak ambil duit orang ke?

Ramli: Saya tak suka ambil2 duit orang nih. Wal aqmalu bin niyyat... kalau niat nak ambik duit orang, jadi macam tu la. Kalau niat kita nak bantu orang, maka kita akan bantu orang.

Suhaimi: Macam mana nak join? Saya ni banyak hutang.

Ramli: Hah, memang tepat sekali. Bisnes ni memang untuk melangsaikan hutang. Join bisnes ni, semua hutang boleh settle.

Suhaimi: Berapa modal nak start?

Ramli: Bro nak yang cepat ke, nak yang lambat? Nak yang susah ke nak yang senang? Kalau bro serius, saya lagilah serius. Kalau bro nak pulangan cepat, saya pun nak yang cepat juga. Kita ni sama Melayu bro, saudara seagama, macam adik-beradik.. macam nilah, berapa yang bro ada untuk mula?Kita tengok berapa budget bro, dan saya suggestkan plan mana yang sesuai untuk bro. kalau macam yang saya terangkan tadi iaitu SEHARI dapat 4,788 tu dan SEBULAN 143,640 tu, bro hanya perlukan modal 3,268. Modal tupun dah termasuk 38 ringgit duit pendaftaran ahli. Tak ke berbaloi tu bro!

Suhaimi: Hmmmm...Memang nak kena cari orang ke? Saya ni malas betul kalau kena cari orang.

Ramli: Bro, dalam dunia ni, semua bisnes kena cari customer. Takde bisnespun yang tak payah cari customer. Betul tak bro? (pause) Nak tau sebab apa bro? (pause lagi) Sebabnya dalam dunia ni cuma manusia je pandai pakai duit, kalau penghuni kat zoo pun pandai pakai duit, takyahlah susah2, kita cari je potential customer kat zoo hehehehe, betul tak bro?

Suhaimi: Betul jugak tu.

Ramli: Tapi dalam skim "AK Konsortium" ni, ramai orang akan cari kita bro.

Suhaimi: Ada fixed income ke?

Ramli: Fixed income tu apa bro? AKK ni takdenyer fixed2 ni.. lagi ramai bro cari org join, lagi takterfixed income bro.

Suhaimi: Boleh percaya ke?

Ramli: Huh, jangan percaya bro. Sebab kalau bro tak percayapun saya tak miskin. Tapi, kalau percayapun saya tak kaya. saya dah dapat, bro jer yang belum dapat. Saya dah buat, apa yang orang kaya buat, bro belum lagi. Pantang dalam AKK, jangan mengharap, jangan tunggu sampai esok, dan jangan bertangguh!

Suhaimi: Bajet takdelah bulan ni.

Ramli: Tiap-tiap bulanpun memang banyak pakai duit bro. Patutnya kita yang control duit, bukan kita jadi hamba duit.

Suhaimi: Saya memang berminat, tapi saya memang takde modal.

Ramli: Erm... ini bukan soal duit bro, masalahnya NAK ke TAK. Duit boleh cari kalau NAK. Setiap masalah, ada penyelesaiannya. Minat tu minat jugalah bro, tapi bro ni serius ke tak?

Suhaimi: AKK tak carikan modal ke untuk pelanggan?

Ramli: Bro, macam orang memancing juga, kita tak bagi kail, kita tak bagi pancing. Kita cuma ajar orang bagaimana cara memancing yang betul dan nak dapatkan ikan yang besar-besar. Kalau bro boleh cari modal, bisnes ni memang sesuailah dengan bro sebab bro boleh menggunakan akal dengan bijak bagaimana nak dapat modal.

Suhaimi: Saya nak fikir dululah.

Ramli: Bro, banyak-banyak soklanpun tak guna bro. kalau tak join, bro takkan tahu faedahnya. Lagipun, bro join ke, bro tak join ke, takkan buat saya miskin atau kaya. Jangan tunggu peluang, tapi carilah peluang. Ni, peluang dah ada depan mata, sama ada bro nak amik atau tidak saja.

Suhaimi: Macam nilah. Bagi saya tempoh 2 hari, saya nak uruskan personal loan dulu. Nanti saya call awak bila loan saya dah lulus.

Ramli: Syabas bro. Hah, satu lagi hal bro. Ramai orang nak kaya tapi salah tempat bertanya. Nak main bola tapi tanya dengan Tiger Wood. Nak main golf pulak tanya dengan David Beckham. Adehhh, balik tanya bini, tanya kengkawan. Confirm la dapat maklumat salah. Kalau nak berjaya, kena dengar cakap orang yang dah berjaya bro.

Suhaimi: Insyaallah, saya akan contact awak nanti.

Ramli: Alhamdulillah bro. Siapa lagi yang nak tolong orang Melayu, kalau bukan orang melayu kan? Call ye nanti bro, jangan tambahkan orang munafik di muka bumi ni. Assalamualaikum bro. Jumpa lagi.

Suhaimi: Waalaikumsalam.

 
Teknik:

1. misdirection (orang tanya lain, jawab lain)

2. provoke (untuk buka minda pelanggan)

3. answer "YES"

Wallaweh, poor suhaimi...

(saya adaptasi cerita ni daripada info dalam blog Aidid Mu'addib)

Thursday, November 25, 2010

Anjing kamu sangat comel, tapi...



Hari ini kita bercerita pasal topik anjing. Mula-mula kita belajar sikit pasal hukum pegang anjing. Menurut pandangan mazhab Shafie, kalau sentuhan biasa (anjing kering, saya pun kering), maka tidaklah saya perlu samak. Walau bagaimanapun, jikalau saya terkena jilatan anjing (aiseh), perlulah saya menyamak dengan basuhan 7 kali termasuk satu basuhan dengan tanah (Hadith Riwayat Al-Bukhari I/44 dan Muslim I/234).


Maka, jika anda ke luar negara yang mana agama Islam bukan agama dominan, anda akan melihat anjing sebagai haiwan peliharaan yang sangat digemari oleh penduduk di negara tersebut.


Saya pernah tinggal 3 bulan di Tokyo, Jepun dan 2 tahun di United States. Di Jepun, penduduknya memang sangat sukakan anjing. Setiap hari, amat mudah sekali untuk terserempak dengan orang ramai yang membawa anjing mereka berjalan-jalan. Bermacam-macam saiz anjing, ada yang besar sungguh, dan ada yang lebih kecil daripada kucing. Anjing-anjing mereka ini dijaga rapi, dihantar ke pusat grooming untuk dimandikan, dimanicure pedicure dan dipakaikan pakaian yang cantik. Perempuan-perempuan cantik, kebanyakkannya memelihara anjing comel yang bersaiz kecil.


Di United States, jarang pula saya bertemu dengan anjing yang bersaiz kecil. Kebanyakkannya bersaiz sederhana dan besar. Kalau saya ke farmer's market atau ke taman-taman, banyak sekali tuan-tuan anjing yang membawa anjing mereka bersiar-siar. Malah, ada juga yang membawa anjing mereka untuk ke bank. Bagi yang cacat penglihatan, anjing mereka (anjing pembantu) pun turut sama naik bas bersama tuan mereka.


Justeru, amatlah sukar untuk saya mengelak daripada bertemu dengan anjing di Unites States kerana anjing ada di mana-mana hehehehe....


Saya sedar bahawa saya boleh menyamak sekiranya saya terkena air liur anjing tersebut. Anjing-anjing di sini selalunya manja2 dan suka sekali nak menjilat sesiapa yang lalu disebelah mereka. Masalahnya, saya tak kuasa nak menggali tanah dan saya malas nak menyusahkan diri untuk mencari tanah memandangkan saya tinggal di apartment. Tambahan pula, saya kadang-kala tu malas nak menerangkan kepada kawan-kawan yang mempunyai latar-belakang berbeza mengenai proses samak yang perlu saya lalui sekiranya saya dijilat anjing (they might think, I'm kinda freak!)


Akhirnya saya dapat idea:


Tuan anjing: Hello, selamat pagi. Apa khabar? (selepas diterjemah)
Saya: Hello, selamat pagi. Baik. Kamu apa khabar?
Tuan anjing: Saya juga baik.
Saya: Anjing kamu sangat cantik.
Tuan anjing: Terima kasih. Dia juga sangat jinak.
Saya: Ya, saya pasti tentang itu. Tapi...
Tuan anjing: Tak perlu takut, dia tak akan gigit kamu.
Saya: Oh, anjing kamu sangat cantik, tapi saya alergik terhadap bulu anjing.
Tuan anjing: Oh, kasihan kamu. (katanya sambil cuba menjauhkan anjingnya daripada saya).


Berkesan sungguh taktik ini. maka hidup saya aman tanpa diganggu oleh anjing. Walaupun sebenarnya saya tak alergik... :D

Wednesday, November 24, 2010

Bukan saya, tapi mereka!

Hari ini hari Rabu. Cik Tipah baru pulang dari pejabat. Cik Tipah bercadang hendak ke pusat membeli-belah. niat di hati ingin membeli kasut tumit tinggi yang baru.


Sampai sahaja di Pusat Beli-belah, Cik Tipah terus menuju ke butik kasut Bincci. Tiba-tiba datang seorang pemuda cute yang kelihatan seperti mahasiswa awal 20-an menegur Cik Tipah. Bermulalah dialog seperti di bawah:


Pemuda cute: Cik, saya sedang membuat soal-selidik kepenggunaan. Bolehkah Cik jawab sedikit sahaja soalan untuk kajian saya ni?
Cik Tipah: Aaaa, bolehlah apa soalannya?
Pemuda cute: Adakah Cik selalu melihat iklan-iklan jualan murah?
Cik Tipah: Ya, memang banyak iklan jualan murah di TV dan akhbar.
Pemuda cute: Adakah iklan-iklan tersebut berjaya mempengaruhi Cik untuk membeli barangan yang diiklankan?
Cik Tipah: Tidak. Kalau saya rasa tak perlu, saya tak akan beli.
Pemuda cute: Adakah iklan tersebut akan mendorong Cik untuk ke pusat beli-belah yang menawarkan jualan murah tersebut?
Cik Tipah: Tidak semestinya.
Pemuda cute: Pada pendapat Cik, adakah orang lain akan terpengaruh dengan iklan tersebut?
Cik Tipah: Tentu sekali! Itulah sebabnya setiap kali ada sale, semua orang berpusu-pusu ke shopping complex!


Itulah jawapan Cik Tipah dengan bangganya. Apakah yang mendorong Cik Tipah merasakan dia tak dipengaruh sedangkan orang lain adalah terpengaruh. Adakah jawapan Cik Tipah itu kerana pemuda yang menyoalnya terlalu "cute"?


Sebenarnya, ini berlaku bukan hanya pada Cik Tipah seorang... perkara ini telah terbukti oleh "third person effect" iaitu sesuatu perkara itu tidak memberi kesan kepada saya, tetapi memberi kesan kepada mereka. Dan ini adalah salah satu contoh. Akibatnya, Cik Tipah yang tak perasan tadi sebenarnya tergolong sama dalam kumpulan "mereka".... :P

Tuesday, November 23, 2010

Mahal tu mesti bagus! (ahaks!)

Hari ini kita sambung cerita tentang stereotype expensive=good.

Kisahnya begini. Ada dua orang adik-beradik lelaki yatim piatu sangat pandai menjahit. Kedua-duanya bekerja makan gaji sebagai Pembantu Tadbir N17 di Jabatan kerajaan. Untuk mencapai cita-cita mereka menjadi usahawan yang berjaya, mereka pun sepakat untuk berhenti kerja dan membuka kedai jahit di pekan kecil di kampung halaman mereka iaitu di Bagan Lalang, Sepang.

Yang sulung bernama Fadli, yang bongsu bernama Zulkifli (kedua-dua bukan nama sebenar hehehe). Fadli dan Zul sangat gembira kerana berjaya membuka sebuah kedai jahit kecil yang menawarkan tempahan jahitan untuk pakaian lelaki. Sebulan, dua bulan, dan 6 bulan berlalu...

Nampaknya kedai jahit adik-beradik ini yang diberi nama "Kamilah Bintang", masih belum berjaya mendapat pulangan modal. Hutang bank semakin bertambah dan dua beradik ini mula risau kerana bayangan gulung tikar sentiasa bermain dalam fikiran mereka.

Satu hari, Zulkifli mendapat satu ilham. Dia sedar bahawa pelanggan yang masuk ke kedai mereka sering kali ragu-ragu untuk menempah pakaian di kedai mereka. Ini adalah kerana harga kain dan tempahan yang mereka kenakan agak mahal namun kedai mereka masih belum ada nama untuk diyakini oleh pelanggan-pelanggan yang berpoket tebal. Tidaklah sehebat Bernard Chandran atau Butik Lord's Tailor, tak perlu susah-payah nak meyakinkan pelanggan. Justeru, Zulkifli mencadangkan abangnya bermain teknik, "Saya pekak". Begini caranya:

Apabila datang pelanggan ke kedai itu, Zul akan ke bahagian hadapan kedai untuk melayan pelanggan. Sebaliknya Fadli akan berpura-pura sibuk di bahagian belakang kedai. Dan dialog akan berlaku seperti di bawah:

Pelanggan: Berapa harga kain ini semeter?
Zul: Oh, kain ini baru sampai. Nanti saya tanya abang saya dulu. Fadli! kain black silk satin ini berapa semeter?! (sambil menjerit ke arah Fadli)
Fadli: Semeter RM300! (menjerit semula kepada Zul)
Zul: Apa? RM200?! (menjerit dan buat-buat tak dengar)
Fadli: RM300! (jerit semula dengan lebih kuat)
Zul: RM200?
Fadli: RM300 la!
Zul: Oh, RM200. Betullah tu.

Maka, sering kali pelanggan yang terkena dengan taktik "Zul pekak" ini akan cepat-cepat bersetuju dengan harga yang ditawarkan oleh Zul. Dan pelanggan tersebut akan cepat-cepat membuat tempahan, membayar dan meninggalkan kedai, sebelum (kononnya) Fadli akan menyedari Zul melakukan kesilapan. Atau sebelum Zul sendiri menyedari "kesilapan" yang telah dibuat.

Kenapa? Kerana prinsipnya expensive=good bargain.

Muahahahahaha...... :D

Sunday, November 21, 2010

Sedap dilihat, tak boleh dimakan!

Malam ini Sofian ada job jam 8 malam. Sebagai photographer freelance, sudah menjadi perkara biasa bagi Sofian untuk bekerja tidak mengira masa. Kali ini Sofian diberi job oleh sebuah syarikat produksi program masakan yang paling hot di Malaysia iaitu Syarikat Untung Selalu Sdn Bhd, yang menerbitkan program masakan "Oven Kita".

Sampai sahaja di studio program Oven Kita, Sofian menyiapkan alat-alatannya untuk memulakan photography makanan. Gambar pertama yang harus diambil adalah gambar "burger tropicana" yang menampilkan bun roti yang sangat lembut dan lazat. Bagi mencantikkan lagi gambar burger tersebut, Sofian menggunakan gam untuk menambahkan lagi bijan-bijan pada burger tersebut. Waterproof spray juga disembur pada bun roti untuk mengelakkan bun tersebut menyerap minyak daging burger atau lembapan daripada sayuran.


Dan, inilah hasil burger SEMPURNA untuk program Oven Kita.
 

 
Seterusnya, Sofian perlu mengambil foto ayam panggang "Rosemary". Beberapa pekerja produksi program dilihat mencuci ayam mentah tersebut dengan cecair pencuci pinggan untuk menghilangkan lemak-lemak yang berlebihan.




Selepas ayam tersebut dipanggang, Sofian mendapati warna ayam Rosemary tersebut terlalu pudar dan kurang menarik. Sofian kemudiannya menyapu pewarna makanan berwarna coklat bagi menaikkan lagi warna ayam panggang tersebut. Mana-mana bahagian yang nampak takde tone tu, Sofian bakar guna blow torch sahaja.

 

Dan hasilnya sungguh menarik.
 

Akhir sekali Sofian perlu mengambil gambar pencuci mulut iaitu ais krim "sedondon berdansa". Mengambil foto ais krim adalah antara tugas yang paling mencabar kerana ais krim sangat cepat cair. Lampu studio yang panas akan mempercepatkan proses ketidaksedondonan ais krim tersebut untuk berdansa. Jadi Sofian pun memintak tenaga kerja Oven Kita untuk melenyek mashed potato.


Mashed Potato tu kemudiannya ditambah tiga pewarna berlainan untuk menghasilkan efek ala-ala neopolitan. Maka nampak saling tak ubah seperti ais krim sedondon berdansa. Dan hasilnya adalah seperti di bawah:
 

Sofian tak heranpun dengan produk-produk yang menggunakan iklan yang sungguh menarik memancing potential customers. Selalunya iklan makanan, produknya akan nampak besar, lazat, gebu, dan tak ada cacat-celanya. Hmmm, apabila dibeli, hasilnya sangat mendukacitakan. Kadang-kala tu penyek, kecik (saiz hanyalah ilusi), warna pudar, senang kata: tak samapun macam dalam iklan!


Sofian rasa dia tak akan tertipu. Tapi dia tahu, ada Tipah yang akan tertipu... hehehe...

Saturday, November 20, 2010

Tipah yang selalu tertipu



Sudah beberapa kali Tipah bertukar pakaian. Tipah hendak keluar ke Giant, Shah Alam tapi Tipah masih belum berjaya menemui pakaian yang sesuai. Dua tiga bulan kebelakangan ini berat badan Tipah semakin bertambah. Inilah yang menyebabkan Tipah kurang selesa memakai beberapa blouse dan t-shirt saiz "M" nya yang dirasakan semakin ketat dan menampakkan bentuk perutnya. Tipah sendiri tak mengerti bagaimana berat badannya boleh naik begitu cepat.

Tipah bukannya berpendidikan rendah. Tipah ada degree. Tipah celik IT. Tipah pernah terbaca dalam wikipedia bahawa 10 tahun lepas CUMA 3 juta rakyat Malaysia yang ada masalah obesiti. Tipah juga tahu seramai 1.2 juta daripada rakyat Malaysia yang obes itu ada penyakit diabetes. Oleh kerana itu, Tipah tak naklah makan benda manis-manis ni. Tipah jarang nak minum teh tarik di kedai selepas Tipah terbaca yang teh tarik sangat tinggi kandungan gulanya.

Tipah mana ada makan makanan mamak yang tinggi kolestrol ni. Tipah juga tak beli makanan pasar malam yang bergoreng. Tipah pernah tengok penjaja di pasar malam menggoreng ayam menggunakan minyak yang sama berkali-kali. Tipah, jauhi semua makanan bermutu rendah tu. Tipah amal pemakanan sihat. Tipah makan mengikut diet seimbang.


Tipah suka sangat McDonalds, seimbang gitu. Tipah selalu makan di McDonalds. Melainkan kalau Tipah baru dapat gaji, Tipah akan makan di tempat-tempat popular. Mahal sikitpun tak apa, sebab "sekali-sekala" kata Tipah. Bulan lepas Tipah makan di Otarian restoran sebab Tipah teruja tengok iklannya yang membayangkan betapa popularnya makanan di restoran ni. Tak naklah Tipah ketinggalan, takut-takut kalau kengkawan Tipah semua dah rasa makanan ni, tinggal Tipah sorang je tertinggal ketapi. Tambahan pula, sekarang ni zaman facebook. Nanti fb Tipah takde pula gambar makan kat restoran Otarian nih.

 
Tipah juga suka memasak. Masakan yang paling Tipah suka adalah membuat pencuci mulut yang lazat dan berkhasiat. Tipah selalunya menggabungkan bahan-bahan yang berkhasiat terutamanya bijirin sarapan. Kadang-kala tu Tipah letakkan quaker oats untuk memastikan dessert Tipah sentiasa sihat untuk dimakan.


Tipah juga seorang yang gemar berjimat-cermat. Kalau ada promosi makanan, Tipah tidak ketinggalan untuk membelinya. Contohnya kalau Pizza Hut buat promosi Pizza besar pada harga Pizza saiz sederhana. Lagipun, pizza tu makanan yang dibakar bukan bergoreng, apa salahnya makan lebih sedikit.


Tipah juga ada kerjaya yang bagus. Badan makin naik, Tipah risau juga. Hmmm susah-susah Tipah boleh beli produk untuk kuruskan badan kot. ada banyak promosi di internet dan majalah. Bukannya susahpun, tak payah kurang makan atau bersenam, Tipah cuma perlu minum teh je.


Takpun, Tipah dah berkira-kira duit simpanan ASB Tipah untuk beli gelang tungsten. Khabarnya gelang tersebut boleh seimbangkan berat badan Tipah. Tipah kena tepon agent gelang tulah. Mungkin pejabat dorang dah buka lepas cuti raya haji ni. Semoga Tipah berjaya dalam proses mengurangkan berat badannya! Adios!

Wednesday, November 17, 2010

Surat yang amat sedih



Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua warga dunia yang beragama Islam. Hari ini saya ingin persembahkan sebuah surat yang semua orang patut belajar menulisnya. Surat ini untuk menyampaikan berita-berita yang menyedihkan. Begini bunyi surat tersebut:


Kehadapan ayahanda dan bonda tercinta,

Apa khabar ayahanda dan bonda? Anakanda berharap dan sentiasa berdoa supaya ayahanda dan bonda sentiasa sihat walafiat. Alhamdullillah, anakanda ketika ini sihat setelah mengharungi pelbagai dugaan dalam hidup.

Seperti yang ayahanda dan bonda maklum, telah 6 bulan anakanda bertarung usaha di menara gading ini. Nampaknya bukan mudah untuk mengejar cita-cita anakanda untuk menjadi seorang ahli sains. Tambahan pula, selepas sebulan anakanda berada di USM Penang ini, blok kampus kediaman anakanda mengalami kebakaran yang agak serius. Kebakaran tersebut berlaku jam 11 malam. Nasib baik anakanda belum tidur lagi pada waktu itu dan segera anakanda cuba mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri.

Dalam keadaan kelam-kabut, panas, dan jeritan penghuni kampus, anakanda cuba keluar daripada bangunan tersebut menerusi tingkap bilik anakanda. Ketika cuba melompat ke bawah (bilik anakanda di tingkat 2), kaki anakanda disambar api. Syukur ada seorang pemuda yang menghulurkan bantuan segera kepada anakanda. Dia menghantar anakanda ke hospital berdekatan. Kedua-dua belah kaki anakanda melecur teruk akibat kejadian. Pemuda tersebut amat baik hati dan menemani anakanda setiap hari sehinggalah anakanda mampu berjalan semula tanpa bantuan.

Kami akhirnya sama-sama jatuh cinta. Malah, pemuda tadi mempelawa anakanda untuk menumpang di Apartmentnya yang terletak di Sungai Dua. Bonda, ayahanda, kerana rasa cinta yang mendalam antara anakanda dan si dia, kami telah membuat keputusan untuk bernikah. Justeru, anakanda mohon untuk membawa pulang si dia untuk bertemu dengan ayahanda dan bonda pada cuti semester yang bermula minggu depan.

Untuk pengetahuan ayahanda dan bonda, pemuda buah hati anakanda itu tidak bekerja dan baru dibuang oleh USM kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Kami juga menghadapi masalah kewangan yang teruk dan anakanda terpaksa menyara kehidupan kami berdua menggunakan duit PTPTN yang anakanda dapat.

Anakanda juga berharap ayahanda dan bonda jangan terkejut dan masih dapat menerima anakanda kerana anakanda sedang hamil 3 bulan hasil perhubungan dengan si dia. Anakanda masih belum membuat sebarang ujian darah yang anakanda rasakan amat perlu memandangkan pasangan anakanda ini positif dadah. Walau bagaimanapun, anakanda amat menyayangi si dia.

Sekarang, anakanda nak memberitahu informasi yang up-to-date kepada ayahanda dan bonda tercinta. Anakanda nak beritahu yang tiada kebakaran berlaku, anakanda tak melecur, tak masuk hospital, tak mengandung, tak bersedudukan dan tidak ada teman lelaki. Yang sebenarnya, anakanda nak sampaikan bahawasanya anakanda mendapat D untuk kertas "chemistry" dan F untuk kertas "maths".. Anakanda akan pulang pada minggu hadapan. Harap dapat terima anakanda seadanya.


Anakanda tercinta,
Liana


Liana menggunakan perceptual contrast untuk menyampaikan berita yang dia fail dalam kertas chemistry dan maths. Liana mungkin gagal dalam kertas kimianya namun patut diberi "A" untuk psychology. Teori: Cerita yang sangat buruk-buruk dulu, baru sampaikan berita yang sedih tu... enjoy....

Monday, November 15, 2010

Jangan Buka Aib Orang, Jangan Dedah Aib Sendiri



Semalam sebelum tertidur, terbaca pula cerita si Uncle Seeker yang membuat pendedahan panas di blognya tentang cinta shhhh antara dia dan bekas Permaisuri Aisyah. Pendapat saya mudah: biar apapun alasan yang diberikan oleh Uncle Seeker, dia telah buka aib orang dan dedah aib sendiri.

Tidaklah saya hendak menjadi ustazah pada hari ini. sekadar ingat-mengingati kita sesama manusia. Kita punya maruah, ada hati, ada perasaan. Yang paling penting, kita tidak hidup keseorangan di muka bumi ini, tetapi kita ada keluarga, ada kawan, ada kenalan, ada saudara-mara, malah ada musuh.

Perlukah untuk kita membuka aib orang dan mendedahkan aib sendiri?

"Sesiapa yang menutupi (kesalahan) seorang muslim maka Allah menutupinya di dunia dan diakhirat" (Shahih Sunan Ibn Majah, hadis 2078).

Bagaimana pula mendedahkan aib sendiri?

Contohnya: Saya pernah minum arak di Zouk, KL.

Everyone has a secret!

Tidak boleh mendedahkan aib sendiri kerana seolah-olah kita bermegah dengan dosa yang pernah kita lakukan. Malah, orang yang mendengar tentang aib kita itu, akan memandang rendah terhadap diri individu tersebut. Percayalah, aib yang kita lakukan bukan menyebabkan kita dipandang tinggi, tetapi menyebabkan kita dipandang hina.

Think carefully about the people to whom you want to reveal your secret. The biggest mistake a person can make is to simply blurt their hidden truth. The second biggest mistake is to make it a big production.

Yang malu adalah diri sendiri.....