Kisahnya begini. Ada dua orang adik-beradik lelaki yatim piatu sangat pandai menjahit. Kedua-duanya bekerja makan gaji sebagai Pembantu Tadbir N17 di Jabatan kerajaan. Untuk mencapai cita-cita mereka menjadi usahawan yang berjaya, mereka pun sepakat untuk berhenti kerja dan membuka kedai jahit di pekan kecil di kampung halaman mereka iaitu di Bagan Lalang, Sepang.
Yang sulung bernama Fadli, yang bongsu bernama Zulkifli (kedua-dua bukan nama sebenar hehehe). Fadli dan Zul sangat gembira kerana berjaya membuka sebuah kedai jahit kecil yang menawarkan tempahan jahitan untuk pakaian lelaki. Sebulan, dua bulan, dan 6 bulan berlalu...
Nampaknya kedai jahit adik-beradik ini yang diberi nama "Kamilah Bintang", masih belum berjaya mendapat pulangan modal. Hutang bank semakin bertambah dan dua beradik ini mula risau kerana bayangan gulung tikar sentiasa bermain dalam fikiran mereka.
Satu hari, Zulkifli mendapat satu ilham. Dia sedar bahawa pelanggan yang masuk ke kedai mereka sering kali ragu-ragu untuk menempah pakaian di kedai mereka. Ini adalah kerana harga kain dan tempahan yang mereka kenakan agak mahal namun kedai mereka masih belum ada nama untuk diyakini oleh pelanggan-pelanggan yang berpoket tebal. Tidaklah sehebat Bernard Chandran atau Butik Lord's Tailor, tak perlu susah-payah nak meyakinkan pelanggan. Justeru, Zulkifli mencadangkan abangnya bermain teknik, "Saya pekak". Begini caranya:
Apabila datang pelanggan ke kedai itu, Zul akan ke bahagian hadapan kedai untuk melayan pelanggan. Sebaliknya Fadli akan berpura-pura sibuk di bahagian belakang kedai. Dan dialog akan berlaku seperti di bawah:
Pelanggan: Berapa harga kain ini semeter?
Zul: Oh, kain ini baru sampai. Nanti saya tanya abang saya dulu. Fadli! kain black silk satin ini berapa semeter?! (sambil menjerit ke arah Fadli)
Fadli: Semeter RM300! (menjerit semula kepada Zul)
Zul: Apa? RM200?! (menjerit dan buat-buat tak dengar)
Fadli: RM300! (jerit semula dengan lebih kuat)
Zul: RM200?
Fadli: RM300 la!
Zul: Oh, RM200. Betullah tu.
Maka, sering kali pelanggan yang terkena dengan taktik "Zul pekak" ini akan cepat-cepat bersetuju dengan harga yang ditawarkan oleh Zul. Dan pelanggan tersebut akan cepat-cepat membuat tempahan, membayar dan meninggalkan kedai, sebelum (kononnya) Fadli akan menyedari Zul melakukan kesilapan. Atau sebelum Zul sendiri menyedari "kesilapan" yang telah dibuat.
Kenapa? Kerana prinsipnya expensive=good bargain.
Muahahahahaha...... :D
1 comment:
hahaha... bagus betul teknik tu...
Post a Comment