Thursday, March 13, 2014

Doa untuk MH370.. Apa pun berlaku, MAS tetap di hatiku...

Assalamualaikum...

Hari ini masuk hari ke-6 kehilangan pesawat MH370.




Entry ini saya tulis untuk menyatakan betapa istimewanya MAS di hati saya. Saya pasti, Syarikat Penerbangan Nasional ini sangat istimewa di hati jutaan lagi rakyat Malaysia.

Syarikat Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines) bukan semata-mata sebuah syarikat penerbangan. Kepada rakyat Malaysia, MAS sebenarnya memberi makna yang lebih daripada itu. MAS adalah lambang kebanggaan kita semua. 

Saya berkata begitu, tanpa bias. Tanpa berpaksikan kepada menyokong atau membangkang mana-mana parti politik. Bangganya saya pada MAS kerana saya adalah rakyat Malaysia. Saya bangga kerana kita ada kapal terbang kita sendiri. Mempunyai kapal terbang sendiri memberi makna yang sungguh mendalam dan besar bagi kepada sesebuah negara. Kita punya sayap untuk terbang dengan bangga ke seluruh pelusuk dunia. Bermakna juga, kita berkemampuan untuk terbang di awan biru dengan bangga dan bermaruah menggunakan pesawat kita sendiri. 

Mungkin ada pula orang yang akan berkata bahawa negara lain juga punya kapal terbang sendiri. Namun, orang-orang itu mungkin lupa bahawa MAS punya kredibiliti tinggi yang menempatkan ia sebagai salah satu penerbangan berprestij di muka bumi ini. Terbang bersama MAS sering jadi pilihan ramai orang, tidak kira bangsa, latar belakang dan kewarganegaraan mereka. MH adalah untuk Malaysian Hospitality. 

Saya pernah berpeluang beberapa kali menaiki pesawat MAS untuk ke luar negara. Apabila ditanya oleh rakan-rakan yang datang dari region yang sama, saya dengan bangganya akan menjawab yang saya menaiki pesawat MAS. Lebih tepat lagi, penerbangan direct dari Kuala Lumpur. Mereka akan kagum dan berasa saya sungguh bertuah kerana kebanyakkan mereka terpaksa bertukar pesawat dan mengangkut bagasi mereka semasa pertukaran pesawat tersebut.

Juga semasa penerbangan pulang, rakan-rakan dari region yang sama ini akan berasa susah hati sekiranya bagasi mereka terlebih berat. Mereka bimbang sekiranya terpaksa membuang barang atau dikenakan caj yang mahal kerana penerbangan mereka melibatkan lebih daripada 1 pesawat. Sedangkan saya hanya tersenyum dan masih berbangga dengan direct flight yang terus ke Kuala Lumpur. 

Apabila pada awal tahun ini, MAS menghentikan penerbangan ke Los Angeles (LAX), saya berasa agak sedih dan terkilan. Bukan kerana apa, hanya kerana kita kehilangan sayap untuk terbang direct ke Amerika Syarikat. Sedikit terkesan di hati saya apabila teringat betapa bangganya saya menaiki pesawat MAS semasa terbang ke LAX pada tahun 2009.

Maka, apabila MH370 masih tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini, ianya seperti kita kehilangan sebuah kebanggaan. Malah, maruah kita dicalar-calar apabila terlalu banyak pihak sewenang-wenangnya membuat pelbagai spekulasi. Setiap pesawat MAS yang terbang bebas itu adalah maruah negara dan kebanggaan kita seluruh rakyat Malaysia. Umpama seekor burung yang terbang bebas di angkasa raya. Justeru, kehilangannya adalah kesedihan untuk kita semua.




Akhir kata, saya dengan rendah diri, berdoa supaya MH370 dapat ditemui. Supaya maruah negara dan bangsa dapat dikembalikan.  Supaya kita terus berdiri kukuh dan disegani oleh dunia. 

Apa-apapun verdictnya nanti, sekelumitpun saya tidak akan pandang rendah kepada MAS, kerana saya adalah anak jati Malaysia. Penerbangan bersama MH akan tetap jadi pilihan hati saya untuk selamanya.

wassalam.   

1 comment:

sYaFiNaS said...

semoga penumpang dan anak kapal semua dalam keadaan sihat...dan semoga Allah beri petunjuk di mana kapal tu berada...amin