Sunday, October 25, 2020

Cara buat Cucur Bulat-Bulat

 Assalamualaikum..




Selalunya saya buat cucur leper dan garing. Tapi, kalau nak buat cucur bulat-bulat macam bola/guli, kena guna air panas. Lepas tu kena rajin bulat-bulatkan. Resepi ni terpakai untuk segala cucur. Kalau nak manis, letak gula, kalau nak pedas, letaklah lada.


Bahan-Bahan

2 cawan tepung gandum

2 cawan air panas

sedikit bawang, cili yang dikisar

sedikit ikan bilis

garam secukup rasa


Cara-Cara

Masukkan tepung ke dalam mangkuk. Masukkan ikan bilis, bawang dan cili. 



Kemudian masukkan air panas. Kacau sebati guna sudu/senduk.




Apabila dah tak berapa panas, uli bulat-bulat adunan tu. Kalau melekat, tangan kena letak tepung. Susun elok-elok. 



Panaskan minyak dan goreng sehingga garing.


Makan panas-panas.



Sekian. 

Tuesday, October 20, 2020

Ayam Masak Kicap Resepi Atie...

 Assalamualaikum..

Hari tu, Atie (rakan sekerja) bagi saya rasa masakan `Ayam Masak Kicapnya'. Saya dah lama tak masak ayam masak kicap guna rempah. Jadi, masakan Atie rasa lain dan sedap sangat. Jadi, saya pun tanyalah dia letak apa dalam masakan tu. 

Maka, hari ni saya nak kongsi resepi `Ayam Masak Kicap' resepi Atie. 





Bahan-Bahan

Ayam (1/2 ekor) 

3 ulas bawang merah (hiris halus)

2 ulas bawah putih (hiris halus)

1 inci halia (hiris halus)

1 sb cili kering/boh (yang dikisar)

2 biji cili api (hiris halus)

1 batang kulit kayu manis

2 kuntum bunga cengkih

1 kuntum bunga lawang

1 biji buah pelaga

Kicap

sedikit serbuk kunyit dan garam untuk goreng ayam. 

garam dan gula secukup rasa


Cara-cara

Gaul ayam dengan garam dan kunyit. Goreng ayam sampai ayam masak. Angkat dan toskan.

Selepas tu, tumis cili boh, bawang merah, bawang putih, halia, kulit kayu, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga.Tumis sampai berbau harum.

Masukkan kicap. Masuk air sedikit. Selepas mendidih, masukkan ayam. Lepas tu masukkan garam dan gula secukup rasa. 


Sekian.  

Saturday, October 17, 2020

Kek Butter Jelita Roses

 Assalamualaikum..


Hari ni saya nak share cara nak buat kek butter sedap dan cantik dengan corak roses.. Resepi sebenarnya sama aje dengan Kek Butter Jelita yang saya buat sebelum ni. Cuma hari tu kek bulat. Hari ni kek petak. Saiz loyang petak ni, 9 x 9. 



Bahan-Bahan

125gm mentega
150gm gula kastor
3 biji telur
200gm tepung naik sendiri
75ml susu tin
1/2 sk esen vanilla
2 pewarna (merah dan hijau)


Cara-Cara

Putar mentega dengan gula sehingga kembang (berkrim). Masukkan telur sebiji demi sebiji. Putar lagi hingga sebati. Ayak tepung dan masukkan sedikit demi sedikit. Putar lagi. 
Campurkan susu dan esen, putar lagi hingga sebati. 



Panaskan oven 160 darjah. Masukkan adunan yang tidak berwarna ke dalam loyang. Ambil 1 sudu besar adunan. Separuh warnakan merah dan separuh lagi warnakan hijau. Bolehlah melorek bunga dengan daunnya. 



Adunan yang siap dilorek.



Bakar lebih kurang 1 jam. Bergantung kepada saiz loyang dan suhu oven masing-masing. Kalau dah cucuk, tak lekat tu maksudnya dah masak.



Sekian. 

Friday, October 16, 2020

Kuzi Ayam

 Assalamualaikum..

Sebenarnya saya tak pernah makan masakan yang bernama kuzi. Tapi, apabila Hubby kata kuzi suatu masakan yang sedap, maka haruslah saya cuba untuk masak. Tambahan pula, dah lama tak cuba masakan baru. Walaupun masakan bernama `kuzi' ini agak remeh dan renyah, namun hasilnya memang tidak mengecewakan. Fyi, kuzi ayam saya ni pekat sikit (Hubby nak pekat gini). Mohon cairkan kuah untuk kuzi sebenar.


Terbukti kuzi ayam adalah masakan yang unik dan sedap. Ada rasa kacang tapi bukan macam sambal kacang. Macam saya cakap tadilah, rasa masakan ini unik. 



Oleh kerana saya tak ada rempah kuzi, maka saya buat from scratch. Kata Hubby, rempah kuzi ada jual. Nanti saya kirim rempah kuzi ni pada kengkawan yang nak balik Kelantan. FYI, masakan ini berasal dari Kelantan.

Resepi saya ambil daripada MyResepi.

Bahan-Bahan

Bahan A- (Rempah)

1 sudu teh jintan manis

1 sudu teh jintan putih

1 sudu teh lada hitam

6 kuntum bunga cengkih

1 inci kulit kayu manis

4 biji buah pelaga (sila buang kulit dan ambil bijinya sahaja)

2 sudu makan ketumbar

1 kuntum bunga lawang


Bahan B

800 gram - 1kg ayam

sedikit saffron

2 ulas bawang putih

1 sudu besar garam

1 inci halia

Minyak sapi untuk menggoreng


Bahan C

150 gram bawang besar

20 gram kepingan badam

1/2 cawan kacang tanah

40 gram kismis

1 ketul hati ayam-rebus dahulu


Bahan D

3 hiris lengkuas

2 hiris halia

1 batang serai

1 biji limau nipis

2 ulas bawang putih

200 ml susu sejat

Sedikit saffron

1/2 cawan sos tomato

700ml air

1 1/2 sk garam

2 sk gula


Cara-Cara

Sediakan rempah-rempah (Bahan A). Basuh bersih dalam tapis. Kemudian goreng kering/sangai dalam kuali. 



Kisar rempah tadi dalam pengisar kering. Boleh juga ditumbuk hingga halus. Sebagai panduan berat rempah yang dapat ialah anggaran sebanyak 10 gram.


Bahan-bahan di B- saffron,bawang putih dan halia ditumbuk. Kemudian lumurkan pada ayam. Perap seketika. Kemudian goreng ayam menggunakan minyak sapi. Goreng separuh masak sahaja.


Semua bahan di C hendaklah digoreng. Goreng mengikut turutan-mula-mula goreng bawang besar. Kemudian diikuti badam,kacang tanah, kismis dan hati ayam. Setelah digoreng, hati ayam dipotong dadu.



Tumbuk badam bersama bawang goreng. Kacang tanah ditumbuk kasar.

Campurkan rempah di A, susu sejat, bawang besar dan badam tumbuk, limau nipis dan sos tomato dan saffron. Gaul rata di dalam sebuah bekas.

Panaskan minyak sapi. Tumiskan bawang putih, halia, lengkuas dan serai. Kemudian masukkan semua campuran di No 6. Masukkan sedikit air. Biarkan menggelegak. Masukkan garam dan gula. Kemudian masukkan ayam yang telah digoreng.




Masukkan baki air. Kemudian masukkan kacang tanah,kismis dan hati ayam. Tambahkan air lagi jika kuah terlalu pekat. Imbangkan rasa manis dan masinnya.


Kuzi ayam dah siap. Yumyum.


Sekian.

Sunday, May 31, 2020

Popia Nestum krup krap krup krap

Assalamualaikum..

Salam Syawal penuh barakah.

Tahun ni Aidilfitri memang rare. Raya yang tak boleh pergi mana-mana. Tak boleh balik kampung. Tak boleh rentas negeri. Hanya boleh raya dengan keluarga di negeri yang sama sahaja. 

Jadi, marilah kita beraya dengan keluarga yang sememangnya hidup dengan kita sehari-hari. Keluarga sebenar kita. 



Jadinya juga, pada tahun yang penuh rare ini, kami sekeluarga kecil ini, buat biskut dan kudapan raya sendiri. Salah satu kudapan yang amat memikat hati kami ialah popia nestum. 

Entry khas popia nestum ini dibuat memandangkan inilah kudapan raya pertama yang habis. Popia Nestum yang lazat dan berkrim ini hanya mampu bertahan setakat Raya yang ke-5 sahaja. Selepas itu, serbuk pun tidak nampak kelibatnya. 


Bahan-Bahan

1 bungkus kulit popia saiz besar (dalam 40 keping)
1 cawan Nestum
1/2 cawan horlicks (boleh ganti dengan susu tepung)
1/2 cawan gula
sedikit tepung gandum (bancuh dengan air) untuk  dijadikan gam popia

Minyak untuk menggoreng


Cara-Cara    

Ambil sekeping kulit popia. Gulung kulit popia tu. Gulung agak-agak. Jangan terlalu besar dan jangan pula terlalu padat. Nak cantik, pakailah lidi. Habis gulung, keluarkan lidi. 



Hujung gulungan tersebut, gam dengan bancuhan tepung. 



Setelah siap, gunting serong kecil-kecil. 



Dah siap gunting semua, barulah panaskan minyak dan goreng sehingga garing.




Toskan popia yang dah digoreng tu supaya takdelah berminyak-minyak sangat.



Nestum, horlicks dan gula tu, kisar sehingga halus. 



Selepas tu, gaul adunan nestum dengan popia sehingga sebati. 



Itu aje. Simpan dalam bekas kedap udara. Krup krap krup krap ketika dimakan.

Sekian. 

Saturday, May 30, 2020

Kek Butter Jelita Moist

Assalamualaikum..

Salam Syawal penuh kemenangan.



Hari ini saya nak berkongsi resepi Kek Butter yang cantik jelita. Dahlah cantik jelita, rasanya sedap dan moist pula. Saya buat untuk 1 Syawal hari tu. Baru sempat nak berkongsi. 

Kek Butter ni memang jelita sangat dan menjadi penghias meja makan. 




Bahan-Bahan

125gm mentega
150gm gula kastor
3 biji telur
200gm tepung naik sendiri
75ml susu tin
1/2 sk esen vanilla
4 pewarna pilihan (1/4 sk bagi setiap warna)


Cara-Cara

Putar mentega dengan gula sehingga kembang (berkrim). Masukkan telur sebiji demi sebiji. Putar lagi hingga sebati. Ayak tepung dan masukkan sedikit demi sedikit. Putar lagi.



Campurkan susu dan esen, putar lagi hingga sebati. 



Adunan akan gebu seperti ini:




Ambil 4 senduk adunan. Setiap senduk masukkan dalam mangkuk berbeza dan letak 4 pewarna berlainan. Gaul sebati setiap adunan.



Panaskan oven 160 darjah. Masukkan adunan yang tidak berwarna ke dalam loyang. Manakala adunan 4 warna tadi bolek tompok-tompokkan seperti di bawah:

 

Lorekkan mengikut kreativiti.


Hasil lorekan

Bakar lebih kurang 1 jam. Bergantung kepada saiz loyang dan suhu oven masing-masing. Kalau dah cucuk, tak lekat tu maksudnya dah masak.

Tambah gula manik untuk lebih jelita


Alhamdulillah, Kek Butter saya sangat jelita.



Monday, May 25, 2020

Rendang Arnab.. Juadah Aidilfitri 2020

Assalamualaikum..

Salam Syawal 2020.

Tahun ni raya memang rare. Takde siapapun boleh rentas negeri. Jadi, kami sekeluarga raya di Selangor sahaja. Walau pun sederhana, alhamdulillah kami ok2 sahaja. Bahagia dan gembira walaupun sederhana.



Pada tahun yang rare ini, saya kongsikan resepi `rendang arnab' buat pembaca semua. Kebetulan ada seller jual daging arnab online. Jadi, saya beli seekor. Saya pesan kat seller tu, tolong potong arnab tu sekali (tentunya buang bulu terus). 

Bukannya apa, seram juga kalau dapat arnab tu dengan berbulu macam bugs bunny. Lagi satu hal, manalah saya tahu macam mana nak potong arnab...

FYI, daging arnab agak tebal berbanding daging ayam. Rasanya sedap. Alhamdulillah rakyat dalam rumah ni semuanya makan daging arnab. Mungkin sebab sedap dibuat rendang. Mungkin sebab memang sedap sangat daging arnab ni.


Bahan-Bahan

Seekor arnab (lebih kurang 1kg dipotong-potong)
18 tangkai Cili kering (rendam air panas, potong dan kisar)
8 ulas bawang merah (kisar)
3 ulas bawang putih (kisar)
1 inci halia (kisar)
1 inci lengkuas (kisar)
2 batang serai (kisar)
1 helai daun kunyit (kisar)
1 sk biji ketumbar (kisar)

5 sudu makan minyak masak
Santan daripada sebiji kelapa
1 sudu makan asam jawa (ambil jusnya)
1 sudu makan kerisik
1 sudu besar gula melaka
3 helai daun limau purut (hiris halus)
garam secukup rasa


Cara-Cara

Panaskan minyak dalam kuali/periuk besar. Tumis bahan-bahan kisar sehingga naik minyak. 



Masukkan air asam jawa. Masukkan arnab. Gaul-gaul sesekali sehingga arnab masak. 




Masukkan santan. Gaul lagi sehingga kuah agak pekat. 




Masukkan kerisik. Masukkan garam dan gula melaka. Jika suka pekat, masak sehingga kepekatan yang disukai. Gaul lagi dan masukkan daun limau purut.




Rendang dah siap. Boleh dihidang panas-panas. 



Memang sedap dan boleh buat lagi. Alhamdulillah. Salam Aidilfitri 2020. 

Sekian.