Saturday, March 9, 2013

Step by Step... Sambal Tumis Kerang

Kerang. Cockle. Satu rumah saya suka makan kerang. Masak apa pun memang sedap. Mr. Hubby memang suka sangat makan kerang. Hasya pun sama. Khayra je yang belum lagi tahu nikmatnya makan kerang.
 
Selalunya kalau beli kerang, memang rebus je lah. Tapi kali ni nak masak sambal. Ini gara-gara jumpa kerang sederhana gemuk di pasar malam. Terfikir akan nikmatnya kalau makan sambal tumis kerang menggunakan kerang yang gemuk-gemuk.


 
 

Walau bagaimanapun, memang kena banyak bersabar masa nak menyediakan kerang ni. Mana taknya, selepas balik dari pasar malam tu, kenalah cuci kerang tu. Kena buang lumpur-lumpur pada cengkerangnya. Selepas tu barulah kerang tu direbus. Saya rebus agak-agak dah masak je iaitu sehingga ada kerang yang terbuka cengkerangnya sendiri.
 
Seterusnya, operasi mengopek cengkerang kerang untuk keluarkan isinya. Perrggghh, memang penat. Kepada sesiapa yang simpan kuku panjang, tak payahlah kopek kulit kerang ni kerana kuku anda yang cantik menawan tu akan jadi buruk. Jari pun rasa pedih-pedih. Belum lagi rasa gatal-gatal sebab kena air rebusan kerang tu.
 
Atas segala cabaran, sambal tumis kerang ini memang sangat sedap dimakan. Berbaloi-baloi.
 
 
Bahan-bahan
 
1kg kerang (direbus, ambil isi)
20 tangkai cili kering (potong, rendam, tos) - kisar
8 ulas bawang merah kecil - kisar
2 ulas bawang putih - kisar
1cm halia - kisar
1cm belacan - kisar
1 batang serai - kisar
 
1sb pati asam jawa
1sb sos tiram
3 helai daun limau purut - saiz kecil (hiris kecil)
garam dan gula secukup rasa
 
 
Cara-cara
 
Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar sehingga pecah minyak atau sambal masak.


 
 
Masukkan air asam jawa, sos tiram, garam dan gula (gula lebih sikit pun takpe). Kacau sebati. Masukkan kerang. Kacau sehingga sambal agak kering.


 
 
Masukkan hirisan daun limau purut, kacau sebentar. Tutup api.


 
 
Boleh dihidang dan dimakan dengan nasi putih.


 
 
Saya makan dengan nasi lemak.


 
 
Sekian.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...