Apakah persamaan antara The Alamo dan Bukit Kepong?
PERSAMAAN TARIKH
Persamaan yang ketara adalah tanggal 23 Februari menjadi titik bersejarah dan berdarah bagi kedua-dua kawasan tersebut. Bukit Kepong, Muar menjadi `Padang Jarak Padang Tekukur' pada 23 Februari 1950. Manakala peristiwa berdarah di The Alamo, Texas berlaku pada 23 Februari 1836.
PERSAMAAN PERISTIWA
Selain daripada tarikh, persamaan seterusnya adalah kedua-dua kubu bersejarah ini dikepung oleh tentera yang lebih besar dan berlakunya pertempuran berdarah dan tragis untuk mempertahan kubu masing-masing. Di Bukit Kepong, sejumlah 200 anggota komunis mengepung dan menyerang Balai Polis Bukit Kepong bermula jam 4.15 pagi untuk menawan balai polis berkenaan. Ketika kejadian, pasukan polis terdiri daripada 25 anggota yang berjuang sehingga ke titisan darah mereka yang terakhir. Dalam kejadian, 17 anggota polis dan hampir 40 komunis terkorban.
Perang The Alamo tercetus apabila rakyat Texas mahu negara yang berasingan daripada Mexico. Mereka perjuangkan Republic of Texas. Sama senasib dengan Bukit Kepong, ramai Tentera Revolusi Texas yang terkorban kerana jumlah mereka yang jauh lebih kecil (260 tentera) daripada Tentera Mexico (2,400 orang). Tambahan pula, mereka kehabisan peluru, sama seperti yang berlaku di Bukit Kepong.
PERBEZAAN TEMPOH
Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan antara kedua-dua peristiwa iaitu daripada segi tempoh pertempuran. Bukit Kepong berjaya ditawan oleh Komunis selepas 5 jam bertarung. Manakala The Alamo mengambil masa selama 2 minggu (23 Feb-6 Mac 1836).
Ketika mengunjungi `The Alamo' di San Antonio, Texas, saya mendapati pengunjung-pengunjung yang datang rata-ratanya menghormati dan menghayati perjuangan Tentera Revolusi ini. Ketika memasuki kubu The Alamo tersebut, pengunjung yang memakai topi, akan diminta untuk menanggalkan topi yang dipakai, sebagai tanda hormat.
Bagaimanapun, saya belum pernah sampai ke Bukit Kepong sekalipun saya pernah menjejakkan kami di sekitar Muar dan Pagoh. Rasanya tidak lengkap penulisan saya ini kerana saya tidak dapat membezakan suasana hari ini antara The Alamo dan Bukit Kepong.
Mungkin Bukit Kepong perlu dijadikan tapak sejarah seperti mana yang dibuat oleh The Alamo. Kenapa kita harus mempromosikan secara besar-besar `Kota A'famosa' sedangkan perjuangan yang harus disanjung tinggi adalah perjuangan yang melibatkan pahlawan-pahlawan tanah air dalam memperjuangkan kedaulatan negara.
Sekiranya ada peluang, saya ingin sekali mengunjungi Bukit Kepong, Insyaallah.
No comments:
Post a Comment