Wednesday, March 2, 2011

Sekeping Hati



Aku punya sekeping hati
Kerana setiap manusia ada sekeping hati
Yang bukan hanya menyimpan glikogen
Atau mensintesis protein plasma
Malah hatiku ini menghasilkan hempedu
Yang berfungsi untuk sistem penghadaman



Sungguh banyak fungsi hatiku ini
Menerima darah dari arteri hati
Menerima darah dari vena portal hepar
Hatiku ini juga kebal
Punya sistem imunologis yang menapis antigen
Mengawal atur metabolisme karbohidrat
Menguraikan molekul hemoglobin




Namun hati manusiaku ini ada kekurangan
kerana tak dapat menahan banyak kesakitan
Hati kami sering berasa sakit hati, iri hati, mengambil hati
patah hati, busuk hati, makan hati, murah hati, bengkak hati
kecil hati, besar hati, ada hati, lembut hati
Yang menyakitkan banyak hati
Yang mengecewakan banyak hati
Yang menyinggung perasaan banyak hati


Memanglah rambut itu sama hitam
Namun hati kita berlainan penyakitnya
Bukankah sepatutnya
"Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah?"




Wahai si pemunya hati
Janganlah berbusuk hati
Kerana aku akan patah hati
Janganlah kamu iri hati
Kerana aku akan makan hati
Janganlah kamu sakit hati
Kerana aku akan berkecil hati


Rezeki Tuhan sama-sama dikongsi
Segala-galanya bukanlah hakiki
Jangan bongkak, jangan ada penyakit hati
Kerana bila Allah Menghendaki, maka "Jadilah"
Dan juga kerana: Semua manusia punya sekeping hati....