Tiba-tiba saya rasa ingin menulis tentang surat layang. Sebelum saya tulis lebih panjang, saya nak menyatakan pendirian saya tentang surat layang yang mana sedaya-upaya saya akan cuba untuk mengelak daripada menulis sepucuk surat layang.
Mengapa saya tidak mahu menulis surat layang? Pertamanya, kerana saya percaya "what goes around comes around". Saya tidak mahu orang lain membuat surat layang mengenai saya atau perkara-perkara yang saya "mungkin" terajui satu masa nanti. Saya lebih suka jika mana-mana individu mengemukakan ketidakpuasan hati mereka dengan menggunakan saluran yang betul. Justeru, saya akan sediakan saluran supaya perkara-perkara berbangkit akan dapat didengar.
Yang mana boleh diperbaiki, apa salahnya kita ambil perhatian kerana tidak rugi mendengar aduan orang lain. Orang yang tidak menerima aduan itu adalah orang yang bodoh sombong dan terlupa untuk muhasabahkan dirinya sendiri.
Maka, Kenapa Surat Layang? Jawapannya cukup mudah. Pada pendapat saya, surat layang dilayangkan oleh penulisnya kerana 2 perkara utama: 1. Tiada saluran dan 2. Faktor keselamatan.
Saya tidaklah mahu menyokong orang-orang yang menulis surat layang (seperti sebab-sebab yang telah saya nyatakan). Tetapi tidaklah pula saya mahu "membenci" orang-orang yang menulis surat layang tadi. Ini bergantung kepada keadaan dan punca individu ini menulis surat tersebut.
Tiadanya saluran memang menjadi faktor utama. Pihak-pihak tertentu kadang-kala boleh menjawab, "Siapa kata tidak ada saluran? Kita ada saluran!" Tapi berkesankah saluran-saluran tersebut? Terjaminkah keselamatan dan kerahsiaan identiti individu yang menulis?
Terus-terang pendapat saya: TIDAK BERKESAN DAN TIDAK TERJAMIN. Janganlah marah pula dengan pendapat saya kerana ini pendapat peribadi. Lagipun, ini blog saya, jadi suka hati saya nak tulis apa hehehe... Oleh kerana itu, saya berpendapat, sudahlah aduan yang dibuat tidak berkesan (menggunakan saluran-saluran yang ada sekarang), malah boleh menyebabkan keselamatan tidak terjamin.
Kenapa tidak berkesan? Ketidakkeberkesanan ini disebabkan: si penerima aduan (selalunya spesis super-duper Durian) akan merujuk semula kepada "durian-durian" yang kita kaitkan dalam aduan. Oleh kerana si Mentimun yang tulis aduan, maka jawapan "durian" tentunya lebih dipercayai. Maka, tak ada apalah yang berlaku. Yang berlaku, kesannya kepada si Mentimun tadi. Di sinilah akan berlakunya faktor-faktor keselamatan yang tak terjamin. Kesian Mentimun, akan terdedah kepada kemungkinan dikenakan saman fitnah (kononnya aduan yang dinyatakan tak benar) dan mentimun mungkin akan diugut untuk tidak dinaik pangkat, ditukarkan ke kawasan Hulu Tembeling dan sebagainya.
Maka, Kenapa Surat Layang?
Supaya individu yang menulis dapat menulis dengan tenang. Dapat menulis tanpa rasa terancam. Dapat menulis sebagai mentimun yang tidak diugut untuk ditukarkan ke kawasan-kawasan pedalaman. Dapatlah juga meluahkan perasaan dalam hati dan jiwa.
Tajamnya pena, lebih tajam daripada mata pedang.. itulah yang durian-durian takut dengan Surat Layang. Tapi harus diingat, berkemungkinan juga isi surat layang ini penuh dengan fitnah, dzan, syak dan pandangan serong. Justeru, saluran amatlah penting untuk mengelak kewujudan surat berbentuk layang ini.
Sekian. Saya menulis sebagai salah seorang mentimun di bumi Allah swt....
No comments:
Post a Comment