Thursday, April 23, 2020

Ayam Betutu Bali

Assalamualaikum...

Ini post pertama tahun 2020. 

Meskipun tahun 2020 ini ada banyak cabaran yang unik. Namun, resepi yang satu ini membuatkan saya benar-benar dan benar ingin berkongsi diblog ini. Sebab paling utama, supaya mudah saya merujuk resepi yang amat memikat hati ini. 

Pertama kali merasa keenakan `Ayam Bertutu Bali' adalah semasa menginap di sebuah Villa Indah di Ubud, Bali. Saya tertanya-tanya resepi lazat tersebut. Ibu Dayu (housekeeper villa) menjanjikan untuk memberi resepi masakan tersebut. Malangnya kami terputus hubungan dek kerana wasap Ibu Dayu yang tidak berfungsi dan musim pandemik Covid19 yang membataskan perhubungan semua insan di muka bumi ini.



Maka, saya cuba untuk menggoggle resepi `Ayam Bertutu Bali'. Hasil carian google, semua resepi adalah dalam bahasa indonesia. Namun, keenakan masakan ini membuatkan saya mahu juga mencuba. Saya rindu dengan masakan Ibu Dayu. Malah, tidak mungkin saya akan dapat kembali ke Bali dalam masa terdekat ini. Mahu tak mahu, saya harus kuatkan semangat untuk mencuba juga. 

Cabaran pertama adalah untuk menterjemah bahan-bahan dalam hasil carian google tersebut. Bukan mudah rupa-rupanya. Meskipun, sudah diterjemah, masih mengelirukan juga. Maka terpaksa lihat foto bahan-bahan yang dimaksudkan. 

Maka, terhasillah resepi di bawah:

Bahan-Bahan

Ayam seekor (Saya guna quarter leg chicken sahaja)
2 sudu makan minyak masak
Air secukupnya
Garam dan gula secukupnya

Bahan ditumbuk



1/2 sudu makan ketumbar
2 biji buah keras
1 inci kunyit
7 biji cili padi
1 sudu kecil belacan
1 sudu kecil lada hitam


Bahan dikisar



100gm bawang merah
4 ulas bawang putih
3cm lengkuas
3cm halia tua
3cm halia muda
1cm kunyit
10 biji cili padi (kalau takut pedas kurangkan sedikit)
2 batang serai

Nota: Saya lupa beli kunyit hidup, jadi saya ganti dengan kunyit serbuk.



Cara-Cara

Panaskan minyak masak dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumbuk dahulu dan kemudiannya masukkan bahan-bahan kisar sehingga berbau harum dan masak.





Masukkan ayam. Masukkan air sehingga menenggelamkan ayam. Kacau rata. 




Tutup kuali sehingga ayam masak. Biar rempah-rempah meresap dalam ayam dengan sebati. Sesekali kacau bagi mengelak ayam melekat. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Pastikan masakan ini ada rasa masin. Kemudian buka tutup dan biarkan masakan kering sedikit.



Maka, terhasillah `Ayam Bertutu Bali' yang hampir sama dengan masakan sajian Ibu Dayu di Ubud. Meskipun mungkin tidak selazat air tangan Ibu Dayu, saya amat gembira kerana dapat menyediakan juadah yang hampir dapat meniru `Ayam Betutu Bali' Ibu Dayu dan pastinya mengembirakan hati Mr. Hubby yang juga rindukan masakan ini.



Akhir kata, blog ini adalah buku resepi dalam talian saya. Semoga kita semua sama-sama berkongsi manfaatnya.

Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak 2020. Sekian.  




  

1 comment:

michelle said...

IONQQ**COM
agen terbesar dan terpercaya di indonesia
segera daftar dan bergabung bersama kami.
Whatshapp : +85515373217 :-* (f)