Showing posts with label Udang. Show all posts
Showing posts with label Udang. Show all posts

Saturday, October 8, 2016

Broccoli Shrimp Goreng Kicap

Assalamualaikum,



Hari ni memang masak simple je. Kira macam resepi campak-campak. Dan saya letak cili besar supaya pedas sikit. Jom tengok resepi.

Bahan-Bahan

I biji brokoli (potong kecil)
12 ekor udang saiz sederhana (buang kepala)
2 ulas bawang merah (hiris)
1 ulas bawang putih (hiris)
1 batang cili besar (hiris)
1sb sos tiram
2sb kicap manis
garam dan gula secukup rasa (rasa dulu takut, kalau dah cukup rasa, takyah la letak)


Cara-Cara

Panaskan 2 sudu besar minyak. Tumis bahan-bahan hiris sehingga naik bau. 

Masukkan udang. Kacau sehingga udang masak. Masukkan brokoli. 

Masukkan sos tiram dan kicap manis. Tumis seketika. Kacau-kacau selalu. Masukkan garam dan gula secukup rasa. 



Dah siap. Sedap sungguh dimakan dengan nasi putih.

Sekian.

Saturday, June 25, 2016

Resepi Shell Out kat rumah...

Assalamualaikum...



Pagi tadi tetiba je rasa rajin. Apabila rasa rajin, tetiba je rasa nak masak special sikit untuk iftar. Entah macam mana, tercetus idea untuk buat `shell out'. Shell out ni sejenis masakan pelbagai seafood berkulit/cengkerang. Katanya popular sebab ada nama restoran shell out. Entah ler... saya memang tak tahu kat mana dan bagaimana. Saya cuma tahu pasal shell out ni sebab ramai yang post foto makan pelbagai seafood ni di laman sosial.



Sebab saya tak tahu nak masak, jadi saya pun google resepi. Hati berkenan dengan resepi di Blog Mama to Eryna. Katanya ambil dari blog auntie nanirostam. 

Jadi, pagi tadi saya mencari bahan-bahan mentah yang sesuai digunakan untuk menyiput & menseafood malam ni. Hasilnya tadaa...



FYI, untuk kerang dan siput sedut, saya masak goreng kicap. Untuk ketam, udang dan sotong, saya masak ala-ala shell out ni. Sayur pula saya rebus sahaja, letak garam dan pati ayam.



FYI juga, saya ubah sikit resepi untuk hasil yang ikut suka hati saya. 


Bahan-bahan

3 ekor ketam (potong 2)
10 ekor udang saiz besar
5 ekor sotong (potong sederhana)

1kg siput sedut
1kg kerang

Bahan-Bahan rempah Shell Out

10 tangkai cili kering (potong, buang biji & rendam air panas)
bawang besar 2 biji (1 biji kisar, 1 biji lagi hiris utk tumis)
10 ulas bawang putih (8 kisar, 2 ulas cincang utk tumis)
1 inci halia (kisar)
1sk udang kering (kisar)
1 inci belacan (kisar)
1sb rempah kari
1/2 kiub pati ayam
1 batang daun kari
sedikit serbuk lada hitam
1sb sos tiram
1sk sos ikan
2sb mentega
2sb minyak masak
lemon (saya tak letak)
garam dan gula secukup rasa


Cara-cara

Saya siapkan bahan-bahan rempah dulu dengan mengisar semua bahan kisar. Selepas tu saya panaskan mentega dan minyak masak dalam kuali. Saya tumis bawang dan besar, bawang putih dan daun kari. Selepas layu sedikit dan berbau harum, masukkan bahan-bahan kisar ke dalam kuali. Tumis sehingga naik bau dan pecah minyak.



Masukkan rempah kari. Kacau lagi.



Masukkan sos tiram, sos ikan dan kiub ayam. Kemudian masukkan garam dan gula. 



Selepas tu saya tutup api. 



Bahagi tiga kuah yang dah siap tu. Sebabnya nak menggoreng ketam, udang dan sotong secara berasingan. Lepas tu goreng jelah sampai setiap bahan tu masak. 



Diingatkan sekali lagi, siput sedut dan kerang tu saya masak kicap. Saja nak bagi rasa lain sikit.



Memang heaven makan shell out ni. Kenyang melampau-lampau. Rempah dia memang sedap.




Sekian.

Wednesday, December 30, 2015

Masak Simple je.. Kacang Buncis, Udang & Telur

Assalamualaikum.. 



Hari ni saya nak share resepi sangat simple tapi sedap. Sesuai untuk orang malas dan tak berapa ada masa (macam saya). Disarankan, gunalah udang saiz besar untuk rasa yang lebih wow.

Bahan-bahan

5-6 ekor udang saiz besar
2 biji telur ayam (kacau dalam mangkuk)
2 ulas bawang merah (hiris)
1 ulas bawang putih (hiris)
1 batang cili merah (hiris)
15 - 20 batang kacang buncis (potong pendek dan serong)
Garam dan serbuk perisa secukup rasa


Cara-cara 

Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan hiris sehingga berbau wangi. 



Masukkan udang dan kacau sehingga udang masak.



Masukkan kacang, kacau lagi. Goreng kacang tu ikut kadar yang disukai. Kalau suka makan lembik, goreng le lama sikit. 



Masukkan telur, kacau. Masukkan garam dan serbuk perisa. 



Senang kan?

Sekian. 

Tuesday, June 23, 2015

Asam Rebus Udang (Cepat dimasak, sedap dimakan)

Assalamualaikum...



Saya guna udang harimau, jadi, memang sedap rasa masakan ni. Rasa masam, manis dan pedas-pedas sikit. Yang penting amat mudah disediakan dan cepat dimasak. 



Bahan-bahan

3 ekor udang harimau (boleh guna udang lain pun)
3 ulas bawang merah (tumbuk)
1 ulas bawang putih (tumbuk)
4 ulas cili padi (hiris)
Sebatang serai (ketuk)
1 keping asam keping
Garam secukup rasa
Sedikit serbuk perisa kalau suka


Cara-cara

Panaskan air dalam kuali/periuk sehingga mendidih. Masukkan serai dan asam keping. 



Masukkan bawang yang telah ditumbuk. Biarkan seketika.



Masukkan cili padi. Selepas itu baru masukkan udang. Kacau sesekali sehingga udang masak. Masukkan garam secukup rasa. Boleh masukkan serbuk perisa, kalau suka.




Kalau udang dah masak, maka dah masak ler asam rebus udang ni. Cepat kan?



Sekian.

Tuesday, May 19, 2015

Udang Harimau di Pasar Basah KK

Assalamualaikum...

Kalau anda ke Kota Kinabalu (KK) dan ada sedikit semangat rajin, maka berkunjunglah ke pasar. Pasar? Ya, pasar.

Ada apa di pasar basah KK?

Jawapan: Ada banyakkkk makanan laut yang fresh!

Contoh?

Jawapan: Udang.

Udang je? Kat KL pun ada udang.

Jawapan: Udang harimau. Lobster juga. Kat KL memang le ada, tapi harganya... Hmmm.. Gigit jari jelah!

Persoalan seterusnya, besar sangat ke udang-udang di pasar basah KK ni? Jeng.. Jeng... Jeng.. Tengok foto kat bawah ye...

udang berbelang-belang

Pukul berapa datuk harimau?

Ada pelbagai lagi pilihan selera.




Makanan-makanan laut ni memang fresh. Pasar ni tepi pantai je... Nelayan bawak turun dan terus boleh jual.

Pemandangan dari pasar.



Untuk bawa pulang (naik flight) kena minta dibungkus. Kat pasar tu ada perkhidmatan bungkusan.


Kotak-kotak kami


Inilah rupa pasar basah KK... Dekat je dengan pasar Filipina. 



Ini pula rupa udang harimau yang dimasak kari... FYI resepinya, ikut jelah arahan kat belakang serbuk kari Babas (untuk ikan & udang).




Sekian. 



Saturday, October 25, 2014

Tauhu Goreng Kicap dengan Udang

Assalamualaikum.



Kepada sesiapa yang suka makan tauhu, bolehlah cuba masak Tauhu Goreng Kicap dengan Udang. Masakan ni memang senang dan sedap rasanya. Sesuai untuk dimasak kalau ada terasa sedikit malas. Sebabnya, masakan ni sudah dikira lauk yang lengkap, sebab dah ada kuah (sekalipun hanya kuah kicap), tauhu dan udang. Kalau terajin sikit, boleh goreng ayam, ikan atau pun telur. Dah sedap sangat dah tu.. 

Oleh kerana masakan ni simple, maka tak le saya post foto step-by-step.. Anda juga boleh tambah bahan ikut kretiviti contohnya tambah lobak merah. 

Bahan-bahan

Tiga keping tauhu keras (potong 6 bagi setiap keping)
5-6 ekor udang
sedikit daun kucai (hiris)
2 ulas bawang merah (hiris)
1 ulas bawang putih (cincang)
1cm halia (hiris)
1 batang lada merah (hiris)
3sb kicap manis
 1sb sos tiram
sedikit air (ikut naik kuah cair atau pun tidak)
sedikit lada sulah
1/2sk gula
garam secukup rasa

garam dan serbuk kunyit untuk digaul dengan tauhu


Cara-cara

Gaul tauhu dengan garam dan serbuk kunyit. Goreng tauhu tapi tak perlu sampai garing. Ketepikan.

Panaskan 2sb minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan lada merah sehingga naik bau. Masukkan kicap, sos tiram dan udang. Kalau suka kuah banyak, tambahlah sedikit air. Kacau sehingga udang masak. Masukkan lada sulah dan gula serta garam secukup rasa. Akhir sekali masukkan tauhu dan daun kucai. Kacau sekata.



Dah siap, senang je kan.

Sekian. 

Monday, July 1, 2013

Sambal Goreng Udang.. ala2 sambal goreng jawa

Suka makan sambal goreng jawa tak? Kalau anda suka, mesti anda akan suka dengan resepi hari ni. Saya telah menambah nilai resepi sambal goreng jawa menjadi Sambal Goreng Udang.. Perghhh memang sedap tau. Tambahan pula, saya guna udang saiz agak besar untuk menu masakan ini. Yum yum....




Bahan-bahan asas yang digunakan adalah berdasarkan resipi sambal goreng jawa. Cumanya saya tak letak kacang panjang/kacang buncis. Kebetulan takde stok kacang dalam rumah. Masakan ni juga walaupun ada sedikit renyah tapi sebenarnya mudah je. Cuma yang renyahnya adalah kena kisar cili kering. Almaklum rumah saya ni memang tak pernah ada stok cili boh. Memang selalu kisar sendiri cili. Jom la tengok resepi ni.

Bahan-bahan

7-8 ekor udang saiz besar
5 biji bawang merah (hiris)
2 ulas bawang putih (hiris)
1 batang serai (titik)
1 cili merah (hiris)
4 tangkai cili kering (buang biji dan kisar) - atau 1sb cili boh
1sb sos tiram
1sk asam jawa (ambil patinya)
1sb kicap manis
Tempe secukupnya - potong(pakai sepeket)
Fucuk tauhu kering dan soo hon secukupnya (rendam dan potong) -pakai je sepeket 
garam secukup rasa


Cara-cara

Panaskan 3sb minyak dan goreng tempe - tak perlu garing. Angkat dan ketepikan.




Gunakan minyak yang sama, tumis bawang merah, bawang putih dan serai sehingga layu dan naik bau.




Masukkan cili kisar, air asam jawa dan sos tiram.




Masukkan cili merah dan udang. Masukkan garam secukup rasa. Biarkan seketika sehingga udang hampir masak.




Masukkan fucuk dan sohon. Masukkan tempe. Masukkan kicap manis. Kacau sebati. 




Dah siap dan hidangkan. 




Sangat sedap dimakan dengan nasi putih.

Sekian.

Saturday, June 15, 2013

Sambal Tumis Telur Puyuh & Udang



Hari ni nak masak telur puyuh dan nak masak udang juga. Nak masak dua-dua. Jadi kita masak masakan gabungan, Sambal Tumis Telur Puyuh & Udang. 

Telu Puyuh memang sedap dimakan. Masalahnya cuma satu, malas nak kopek kulitnya. Renyah sikitlah sebab kecik-kecikkan. Pastu kulit telur tu melekat-lekat di jari hehehe. Tapi, nak makan punya pasal, kenalah jadi rajin. Jom-jom mari masak.

Bahan-bahan

20 biji telur puyuh - direbus dan dikopek kulit.




6 ekor udang -saiz besar

Bahan kisar
12 tangkai cili kering - gunting, buang biji, rendam dan tos
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1cm belacan

Bahan lain
2sk asam jawa. Ambil airnya.
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara

Panaskan minyak dalam kuali. Goreng seketika (balik-balikkan) telur puyuh yang telah dikopek kulitnya. Tujuan supaya mendapat telur yang garing permukaannya. Angkat dan ketepikan.




Menggunakan minyak yang sama, tumis bahan-bahan kisar sehingga masak dan pecah minyak.




Masukkan air asam jawa. Masukkan udang dan kacau sehingga udang masak.




Masukkan telur dan kacau sebati.




Masuk garam dan gula secukupnya. Biar rasanya ada manis-manis sikit.




Dah siap pun. Boleh dihidang dan dimakan dengan nasi putih.




Sekian.