Showing posts with label Life. Show all posts
Showing posts with label Life. Show all posts

Saturday, September 20, 2014

Introducing.. Rizqy Najwan (August 10, 2014)

Alhamdulillah...

I'm his..
first kiss, first love  & first friend..
So, there's this boy
He kind of stole my heart
and... 
He calls me Mama 

Hasya, Rizqy & Khayra


Pada 10 Ogos 2014, hadirnya Rizqy Najwan dalam kehidupan kami sekeluarga. maka, bertambahlah seorang lagi anggota keluarga kami. Sekarang kami berlima: Mr Hubby, saya, Hasya, Khayra + Rizqy. 




Rizqy bermaksud `Rezekiku' dan Najwan pula bermaksud `Kemenangan'. Semoga kehadiran Rizqy menganugerahkan kami sekeluarga rezeki yang murah. Semoga Rizqy, Khayra & Hasya membesar menjadi anak yang baik dan berjaya di dunia dan juga di akhirat.

selamat malam sayang

Hasya & Rizqy

p.s.: Tak dapat nak mencuba resepi-respi baru. Bz jaga baby hehehe...  

Sekian.

Thursday, May 17, 2012

Terima Kasih Hasya!

Semalam semasa saya ambil Hasya dari rumah babysitter, Hasya cakap dengan saya, "Mama, Hasya ada hadiah nak bagi Mama."

Selalunya kalau Hasya cakap begitu, sebenarnya dia tengah buat lawak. Kadang-kadang tu, dia buat reka bentul LEGO yang kononnya burger atau kek. Dan kemudiannya cakap `burger' atau `kek' itu adalah hadiah untuk saya.

Oleh yang demikian, saya tak excited pun. Saya cakap ok, nanti sampai rumah, bagilah kat saya. Then, rupa-rupanya memang ada something dia nak bagi. Jeng.. Jeng.. Jeng...

Dia nak bagi Kad Mother's Day rupa-rupanya.

Muka hadapan kad

Tengah kad (gambar bola ngan bunga?)


Belakang kad (Gambar gula2, hati ngan pokok.. hurmmm)

Baguskan sekolah-sekolah tadika sekarang ni. Meskipun kad ni takde lah cantik, tapi saya sangat happy. Ini first time saya dapat kad Mother's Day. Terima kasih Hasya. Love u so much.  

Sunday, April 8, 2012

Ayam Den Lapeh... di Pesta Hirok Pikok Negerifm

♪♬ Luruihlah jalan Payakumbuah
Babelok jalan Kayu Jati
Dima hati indak kan rusuah
Ayam den lapeh, ohoi … ayam den lapeh ♪♬

Lirik di atas adalah lirik yang biasa kita dengar bagi lagu `Ayam Den Lapeh'. Lagu ni dalam bahasa minang. Lagu ni bertambah-tambah popular apabila dinyanyikan semula oleh Anita Sarawak.`Ayam Den Lapeh' maksudnya `Ayamku lepas' atau `Ayamku terlepas'. Lirik lagu ni sebenarnya berkias kerana mesej sebenar yang nak disampaikan ialah kekasih yang dah terlepas (ada ke samakan buah hati ngan ayam? Hish!).


Namun begitu, saya bukannya nak menulis terjemahan lagu ni. Saya nak cerita tentang betapa istimewanya lagu `Ayam Den Lapeh' yang saya dengar hari ni. Di Pesta Hirok Pikok Negerifm di Paroi hari ni, lagu `Ayam Den Lapeh' tak dinyanyikan dalam bahasa Minang tetapi dalam bahasa Mandarin. Perrggghhh awesome bunyinya!


Lagu `Ayam Den Lapeh' versi Mandarin ni dinyanyikan oleh kumpulan koir yang terdiri daripada ahli kumpulan koir berketurunan Cina. Memang sungguh 1Malaysia. Selain daripada lagu `Ayam Den Lapeh', kumpulan koir ini turut menyanyikan sebuah lagu patriotik dalam bahasa Melayu.

Menteri Besar merasmikan majlis

Perasmian Hirok Pikok

Pesta Hirok Pikok yang dianjurkan oleh NEGERIfm (Radio RTM Negeri Sembilan) ini diadakan sempena Ulang Tahun ke-66 RTM. Dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan. Saya ke sini tidaklah untuk menghiburkan hati, tetapi menemani bos melihat-lihat kawasan. Kerja hujung minggu, overtime tanpa boleh claim overtime atau bahasa rasminya, `berkhidmat untuk negara'.

Selalunya saya pasti akan mengambil gambar makanan yang saya makan. Puas saya check dan check lagi dan lagi di kamera saya. Dukacita dimaklumkan, memang tak ada pun gambar makanan untuk hari ni. Hmmm.. Adakah perasmian Pesta Hirok Pikok ni tak menyediakan juadah untuk tetamu?

Ada gambar pinggan, tapi mana gambar makanan?

Tetiba je teringat. Saya memang ada makan di jamuan Pesta Hirok Pikok petang tadi. Tapi masalahnya, saya segan nak amik gambar. Sebabnya, saya duduk satu meja dengan Pengarah JKKN dan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan. Saya segan sungguh nak amik gambar makanan atas meja. Takut diorang heran pula kenapa saya asyik amik gambar makanan hehehehe... Nak makan pun segan dan kena bersopan, camnerlah nak amik gambar kan....

Apa-apapun, selain daripada lagu `Ayam Den Lapeh' tadi, istimewanya Negeri Sembilan di mata saya hari ni adalah kerana hidangan pulut kuning dimakan dengan `Sambal Tumis Ikan Bilis dan Petai'. Yelah selalunya pulut kuning kita makan dengan kari ayam/daging atau pun rendang kan.

DJ Nasionalfm sedang membuat persembahan

Akhir kata, sekian dahulu daripada saya, tak dapek den nak mengepost gambo pulut kuning itu... dan, tahniah NEGERIfm atas penganjuran Pesta Hirok Pikok 2012!

Monday, March 26, 2012

Mixer Zaman Dahulu Kala...

Kalau sebut tentang mixer, macam-macam pula maknanya mixer ni. Let's focus on mixer yang kitchen appliance tu. Bahawasanya, zaman sekarang ni kita amat bertuah atas kewujudan mixer. Tambahan pula, kita mampu untuk membeli mixer sekalipun mungkin masih ramai yang belum mampu nak beli mixer KitchenAid (termasuk saya).

Kenapa saya kata `kita bertuah'? Sebabnya, zaman mak-mak kita muda dulu diorang tak pernah ada mixer pun. Zaman nenek dan moyang lagilah. Kalau pun ada jual mixer kat kedai, harganya mahal dan hanya mampu dibeli oleh golongan-golongan kaya saja seperti Nyonya Mansor.

Maka, pada setiap kali nak menyambut raya, jenuhlah Mak memukul telur, gula dan mentega menggunakan kudrat yang ada. Di plus2 dengan kederat adik-beradik yang lain yang sering kali dipaksa untuk membantu.



Sebenarnya, tetiba je saya nak tulis entry pasal mixer ni kerana saya terbelek gambar mixer zaman dulu-dulu yang saya `snap' masa saya pulang ke Sungai Petani beberapa bulan yang lalu. Mixer ini sungguh nostalgia rupanya.

Masa saya sibuk membelek-belek mixer tersebut, My Mom siap cakap yang kira `modenlah' mixer tersebut pada zaman tersebut berbanding pukul telur, gula dan mentega guna senduk. Betul juga kata My Mom nih. Mixer ni boleh pusing-pusing sebab ada pemusingnya. Wah, dah macam kayuh basikal pula.



Justeru, saya memang tabik spring dengan orang dulu-dulu kerana memang tabah untuk membaking kek, kuih atau bahulu. Bukan senang nak menghasilkan sebuah masterpiece. Maka, sayangilah ibu anda yang memang awesome kerana sanggup berpeluh-peluh dan lenguh lengan untuk menghasilkan sebiji kek di rumah. Tak macam zaman sekarang, saya banyak pembantu rumah untuk membuat step by step sebiji kek. Love My Mom very much!

Mixer KitchenAid yang menjadi pujaan hatiku


Friday, February 10, 2012

Makan Nasi Minyak di Town Hall Session... Putrajaya


Hari ni memang sibuk sangat. Mana taknya separuh hari dah dihabiskan di Town Hall Session. Oleh yang demikian, separuh hari lagi terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan kerja-kerja yang memang tak akan siap pada hari ni.

Town Hall Session? Hmmm.. Pernah dengar tak istilah ni? Kalau tak pernah, tak mengapa, saya akan terangkan. Town Hall Session atau Town Hall Meeting merupakan istilah American English yang bermaksud mesyuarat atau perjumpaan yang diadakan dalam suasana yang tidak formal.

Apabila sesi Town Hall ini dibuat (contohnya di US), semua orang yang tinggal dalam komuniti bandar tersebut dijemput hadir. mereka yang hadir ini boleh menyuarakan pendapat mereka dan mendengar penjelasan daripada Pihak Berkuasa mengenai sesuatu perkara.

Walau bagaimanapun, Town Hall Session yang saya hadiri hari ini bukanlah sesama komuniti penduduk kawasan bandar sebaliknya komuniti di bawah Kementerian yang sama. Town Hall Session ini adalah bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN).



Pagi ini saya bertolak ke Putrajaya dari rumah kerana Sesi Town Hall ini diadakan di Kementerian. Meskipun saya sedar bahawa jarak dari rumah saya agak dekat dengan Putrajaya, namun hari ini saya telah sedar bahawa jalan ke Putrajaya sangat menyenangkan dan tidak sesak. Selain daripada itu, saya juga sedar bahawa Putrajaya adalah sebuah bandar yang sangat cantik. Bertuah sungguh Kementerian, Jabatan dan Agensi yang berada di bandar pintar ini.





FYI, semua Kementerian kini berada di Putrajaya kecuali Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kerja Raya. FYI juga, saya tidak bertugas di Putrajaya kerana Jabatan saya tidak begitu relevan untuk berada jauh dari Kuala Lumpur.


Town Hall Session with KSN ini berlangsung dengan jayanya. Sebenarnya ramai warga KPKK yang ingin menyuarakan pendapat, namun kekangan masa menjadi penghalang. Daripada balasan jawapan yang diutarakan oleh Tan Sri KSN, beliau memang terlihat sebagai seorang yang sangat bijak.

Akhir kata, banyak ilmu yang saya dapat daripada sesi ini dan saya juga dapat makan Nasi Minyak dengan Ayam Masak Merah. 




Monday, February 6, 2012

Rendang Itik Negeri Sembilan (Dengan Daun Puding!)

Rendang Itik Nogori!


Pagi ni baru larat nak membloging. Semalam, sangat penat dan sangat kenyang sebab balik rumah My Dad kat Paroi NS. Sangat penat sebab dari pagi sampai ke petang suhu di Paroi agak panas, bebudak pun macam tak berapa selesa. Sangat kenyang sebab semalam kami dijamu dengan Rendang Itik Negeri Sembilan!

Kepada kengkawan yang tak pernah makan rendang itik, anda sangatlah rugi kerana anda tidak pernah merasa daging itik yang sedap. Daging itik adalah berbeza dengan ayam kerana itik lebih banyak `dark meat' daripada `white meat'. Untuk kategori poultry (ayam, itik, turkey), `dark meat' contohnya di bahagian peha ayam. Manakala `white meat' contohnya di bahagian dada. Pembentukan `dark meat' berikutan anggota-anggota tersebut banyak digunakan/digerakkan dan terbinanya otot-otot.

Terms ini anda harus tahu terutamanya kalau anda ke negara Barat. Kalau nak beli ayam bahagian peha, kita akan sebut `dark meat' dan bukannya `drumsticks'. (Disclaimer: Saya ambil US sebagai contoh, kalau kat Argentina sebut lain, itu saya tak tau okeh). Menurut wikipedia: birds which use their chest muscles for sustained flight (such as geese and ducks) have dark meat throughout their bodies. Kesimpulannya, keseluruhan anggota badan itik adalah `dark meat'. Oleh itu, kepada pemakan daging ayam/itik (poultry) yang suka bahagian tulang-temulang, anda pasti akan jatuh cinta dengan daging itik.


In d making

Taruk daun puding

Hampir kering

Berbalik semula kepada Rendang Itik Nogori tadi, rasa masakan ini memang marvellous. Meskipun pedas tapi kami terus laju menyuap nasi dan rendang itik ke dalam mulut. Pedas dan panas, pergghh memang mencabar dan tercabar. Istimewanya lagi kerana rendang itik ini dimasak dengan daun puding. Saya tidak pernah jumpa masakan di negeri lain yang guna daun puding kecuali di Negeri Sembilan nilah. Kalau saya silap, sila betulkan saya. Apabila ditambah dalam rendang, rasanya terus jadi 2 kali sedap.



Daun puding ni memang popular dan cuma ada dijual di Negeri Sembilan (mungkin ada la kat negeri lain, tapi susah nak cari). Justeru, saya pun ajaklah Mr. Hubby pergi ke Pasar Tani Paroi yang kebetulan dibuka pada setiap Ahad. Pasar tani ni betul-betul kat kawasan Stadium Paroi. Niat di hati nak beli daun puding.



Sempat je berposing

Saya pun beli seikat, baru singgit harga dia.



Maka, saya perlu cuba buat Rendang Nogori dengan air tangan sendiri. My NS Mom ada bagi buku `Resepi Lauk-Pauk Tradisional Negeri Sembilan'. Bagus buku ni sebab ada macam-macam resepi tradisi yang eden tak pornah dongar pun.



Akhir kata, saya nak defrostkan ayam dulu. Tengah hari nanti my BFF nak datang umah. :)

Wednesday, February 1, 2012

Selamat Hari Wilayah! (tahniah kerana menjadi warga kerja KL yang tabah!)

Bendera WP


Selamat Hari Wilayah kepada semua penduduk dan pekerja yang berada dalam lingkungan 3 Wilayah Persekutuan di Malaysia iaitu W.P. Kuala Lumpur, W.P. Labuan dan W. P. Putrajaya. Hari ini (1 Februari 2012) saya dan Mr. Hubby cuti. Walau bagaimanapun, Hasya tidak bercuti kerana rumah kami di negeri Selangor. Maka hari ini saya dan Mr. Hubby akan berdating berdua sahaja hehehe...

Setiap negeri di Malaya ini ada hari cuti umum yang tersendiri iaitu pada Hari Keputeraan sultan masing-masing. Jadi, sempena hari jadi siapakah Hari Wilayah 1 Februari ini? Adakah sempena hari jadi saya?

Jawapannya: Bukan sempena hari jadi saya kerana hari jadi saya bukan pada 1 Februari. Tarikh 1 Februari bersempena tarikh Kuala Lumpur yang ditubuhkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Pada tarikh yang sama juga, Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai ibu negara Malaysia. Labuan menjadi WP pada 16 April 1984. Manakala Putrajaya menjadi ahli baru WP pada 1 Februari 2001.


WP Labuan

WP Putrajaya

WP KL

Maka, apabila julung-julung kalinya saya dan seluruh warga kerja WP dapat bercuti pada hari yang negeri-negeri lain tidak bercuti, kami (mewakili warga kerja WP) amat gembira sekali. Ini kerana pada hari ini, kami tidak perlu berasak-asak dan bersemput-semput di atas jalan raya. Seperti sudah menjadi kelaziman dan amalan harian bagi kami warga kerja WP untuk memeriahkan jalan raya pada setiap pagi dan setiap petang. Seolah-olah kami sedang berlumba-lumba untuk meraikan karnival Jom Heboh atau yang setara dengannya.


Wajah NPE pada 31 Januari 2012

Pada pagi-pagi yang hujan, kami terpaksa menempuhi cabaran yang lebih getir. `Lewat' ke pejabat sudah menjadi sinonim meskipun telah membayar ratusan dan puluhan RM untuk membayar tol. Kami warga kerja KL berhabis wang untuk petrol dan tol. Namun, tol-tol memasuki KL selalu tidak mesra kepada kami. Contohnya NPE yang menyebabkan kami rasa pembaziran RM1.60 semasa melewati tol Pantai Dalam.

Maka, dengan riang dan rianya sekali lagi saya ucapkan `Selamat Menyambut Hari Wilayah' berbanggalah kerana menjadi salah seorang warga kerja WP yang tabah!


Tuesday, January 24, 2012

Sepanjang Jalan ke Utara Tanah Air....



Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Utara tanah air sememangnya amat mencabar semasa musim perayaan. Sekiranya pada hari-hari biasa, perjalanan ke Sungai Petani hanya memakan masa 4 jam, namun pada musim perayaan tempoh perjalanan akan menjadi 2 kali ganda ataupun lebih.

Itulah cabaran yang terpaksa kami sekeluarga dan beribu-ribu keluarga lain tempuhi untuk merentasi Lebuhraya Utara-Selatan setiap kali musim perayaan. Tidak kiralah musim tersebut adalah perayaan Aidilfitri, Deepavalli atau Tahun Baharu Cina, kerana kita rakyat Malaysia maka kita 1Malaysia. Semua orang akan berpusu-pusu untuk pulang ke kampung tanpa mengira apa jua perayaan.

Pada cuti perayaan CNY 2012, kami sekeluarga bertolak dari KL ke SP pada pagi Sabtu 21 Januari 2012. Kononnya nak lari sedikit daripada kesesakan jalan raya, maka kami mengelak untuk berada di atas jalan raya pada malam 20 Januari.



Sangkaan kami amat meleset kerana kami terpaksa menempuhi kesesakan jalan raya yang amat teruk iaitu dari Bukit Lanjan ke Slim River. Tidak cukup dengan itu, hujan yang turun sepanjang jalan dari Bukit Tagar ke Juru melambatkan perjalanan kami. Akibatnya, kami berada di atas Lebuhraya PLUS selama 8 jam setengah iaitu dari jam 10 pagi hingga ke jam 6.30 petang.



Mujurlah, kesesakan tidak berlaku di Kuala Kangsar kerana pastinya keadaan akan menjadi amat teruk berikutan faktor muka bumi yang bergunung-ganang. Perjalanan kami melalui Terowong Menora adalah lancar.

Setiap kali pulang ke Sungai Petani, saat melalui Terowong Menora merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh Hasya. Dia akan teruja dan memberitahu Mr. Hubby, "Papa, tunnel!"



FYI, terowong ini terletak di Banjaran Keledang, Perak. Terowong ini mula beroperasi pada tahun 1986. Terowong sepanjang 800 meter ini mempunyai  2 terowong (sebelah menyebelah).



Akhir kata, saya cadangkan supaya lebuhraya baru dibuka bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di lebuhraya plus. Dengan kepesatan penduduk yang semakin meningkat setiap tahun, nampaknya jalan-jalan raya di seluruh negara semakin senak dan sendat untuk menampung jutaan kenderaan yang tidak pernah menurun jumlahnya.

Saya pasti, semua orang akan gembira jika kita dapat pulang ke kampung dengan hanya menekan brek atau menukar gear seminimum mungkin pada sepanjang perjalanan untuk bertemu insan tersayang.

Thursday, January 19, 2012

Nasi Berlauk di Bangunan Sultan Abdul Samad

Pagi ini adalah pagi yang indah.

Matahari sekadar memancarkan sinar pagi dengan lembut, sayu dan tenang. Pagi ini juga lalu lintas agak tenang.


Pagi ini saya ada mesyuarat di Bangunan Sultan Abdul Samad.  Setelah 3 tahun pulang bertugas di Ibu Negara, ini adalah pertama kali saya akan bermesyuarat di Bangunan ini. Inipun secara kebetulan kerana menggantikan salah sorang bos yang sedang bercuti (Nota: Saya ni pegawai kecik je).



Bangunan ini menyambut saya dengan penuh sejarah dan nostalgia. Selain daripada sejarahnya yang tersendiri, saya juga ada berkongsi kenangan di bangunan ini. Di sinilah tempat saya mengangkat sumpah memasuki perkhidmatan awam, 8 tahun yang lalu.

Fakta sejarahnya, Bangunan Sultan Abdul Samad ini mula dibina pada tahun 1894 dan dinamakan sempena nama Sultan Selangor iaitu Sultan Abdul Samad. Bangunan ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan sejak tahun 2007.



Reka bentuk dan binaannya berbentuk `Soracenic’ berasaskan seni bina Moghul dan Moorish. Tingkap dan pintunya berbentuk melengkung seperti masjid-masjid di Cardova dan Mesir.

Nasi Berlauk


Bangunan ini juga menyambut saya dengan juadah yang sangat menarik iaitu Nasi Berlauk.  `Nasi Berlauk di Bangunan Sultan Abdul Samad', fakta ini sangat mengujakan.



Pada pandangan pertama, saya menyangka nasi yang dihidangkan ini adalah nasi dagang. Walau bagaimanapun kekhilafan saya ini ditegur oleh rakan yang duduk di sebelah saya. Kata beliau, "Ini bukan nasi dagang, ini nasi berlauk."


Nasi berlauk ini diiring pula dengan kuih koci dan kuih cek mek molek. Gabungan yang membuka selera dan sesuai untuk dimakan pada waktu brunch.


Kuih-muih


Seterusnya apabila pengerusi memulakan mesyuarat dengan dialek pantai timur yang begitu pekat, maka terserlahlah persoalan mengenai pemilihan menu yang menyambut kehadiran saya ke sini.




Akhir kata, sambil makan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana menyambut saya dengan penuh nostalgia dan pilihan makanan yang sedap.