Sunday, March 30, 2014

Maldives..Syurga Pulau Nan Indah... (10th Anniversary) Part 4

Bersambung dari Part 3.

Tiba di Pulau Airport (Hulhule)

Kira-kira jam 10.15 malam kami telah berada di Lapangan Terbang Ibrahim Nasir, Male. Proses mendapatkan bagasi serta di kaunter imigresen juga berjalan lancar. Kami kemudiannya terus ke kaunter No. 12 yang mana wakil dari Centara Ras Fushi menantikan ketibaan kami. 

Seterusnya kami dibawa ke arah tempat parkir bot laju yang kira-kira hanya 100 meter dari Bangunan Terminal Lapangan Terbang. Benarlah review yang saya baca sebelum ini, cuma perlu berjalan sedikit sahaja untuk menaiki bot selepas turun dari pesawat. 


Bot laju Centara

Bot laju dari Pulau Airport ke Centara Ras Fushi hanya mengambil masa selama 15 minit. Selain daripada kami berdua, terdapat 2 couples yang menaiki bot tersebut iaitu sepasang dari China dan sepasang lagi dari Indonesia. Bot laju (speed boat) ini memang laju membelah lautan. Ruginya kerana malam yang gelap menafikan kami untuk melihat pemandangan lautan membiru di luar sana.


Malam yang Gelap di Centara

Apabila bot menghampiri Centara, tidak banyak perkara yang boleh saya ceritakan. Waktu yang menjangkau ke jam 11 lebih malam menyebabkan segala-galanya tidak kelihatan indah seperti di dalam gambar. Nampaknya saya dan Mr Hubby perlu menunggu matahari muncul pada keesokan hari untuk menyaksikan keindahan sebenar syurga pulau ini. 

Ketibaan kami kemudiannya disambut mesra oleh petugas-petugas di Centara. Kami diberikan welcome drink dan sedikit penerangan mengenai resort. 

welcome drinks


Memandangkan kami sudah terlalu letih, maka sesi penerangan tidak dibuat panjang dan seterusnya kami dihantar ke Water Villa yang mana kami akan menginap selama 3 malam. 

Surprise daripada Centara

Sampai sahaja di Water Villa, ada surprise yang menunggu kami. Rupa-rupanya pihak resort telah menyediakan complimentary kek dan minuman sparkling sempena ulang tahun ke-10 perkahwinan kami. 

Kek Coklat Moist & Minuman Sparkling daripada resort

Terima kasih Centara! (So sweet kan!)



Nampaknya tidak sia-sia saya menghantar e-mel yang menyatakan bahawa kami ke Centara untuk menyambut anniversary. Yang mengembirakan juga, kami diberi sunset villa bernombor 300++ seperti yang saya request menerusi e-mel sebelum ini:)

Pagi di Centara

Pagi esoknya (14 Mac 2014), kami bangun awal untuk melihat pemandangan indah di atas Pulau Giraavaru (nama local bagi pulau resort Centara Ras Fushi). Ternyata, foto-foto menerusi laman web Centara sebelum ini tidak menipu. segala-galanya umpama mimpi.

Pemandangan dari dalam Water Villa

Di hujung beranda


Jernih air. Nampak ikan berenang dalam tu.


Tangga villa untuk turun berenang.


Burung bangau



Perut sudah terasa lapar. Kami bersiap untuk ke Ocean Restaurant. Almaklum, pakej Half Board yang kami ambil sudah dimasukkan breakfast dan dinner sekali. Saya akan sambung di Part 5 dan berkongsi pemandangan-pemandangan indah sekitar resort pula.

Bersambung di Part 5.      

Saturday, March 29, 2014

Maldives..Syurga Pulau Nan Indah... (10th Anniversary) Part 3

Bersambung dari Part 2

Saya mula menghitung hari. Apabila tahun baharu menjelma, bermakna percutian saya hanya tinggal 2 bulan lebih sahaja lagi. Apabila memasuki bulan Februari, saya makin teruja kerana akan ke Maldives pada bulan hadapan. 

Pembatalan penerbangan 

Namun, kita hanya mampu merancang, Tuhan penentu segala. Pada awal pagi 11 Februari 2014, berita yang saya baca menerusi  akhbar online memang menyentak perasaan. Pagi tersebut saya seperti tidak percaya apabila membaca tajuk berita `AirAsiaX Gantung Perkhidmatan ke Maldives Kuat Kuasa 1 Mac'. Sedangkan saya sepatutnya terbang pada 13 Mac 2014! Oh, apakah makna semua ini?

Kemudiannya, e-mel yang dihantar oleh AirAsiaX saya telitikan secara terperinci. Menurut e-mel tersebut, penerbangan kami ke Male memang dibatalkan. Namun begitu, kami punya option sama ada ingin full refund, tukar ke destinasi lain atau diberi penerbangan yang lain berdasarkan availbility. AirAsiaX juga menyatakan bahawa mereka akan menghubungi pelanggan berdasarkan tarikh penerbangan yang ditempah. Maksudnya, saya yang akan terbang lebih kurang sebulan lagi, akan dihubungi lewat sedikit berbanding dengan pelanggan yang akan terbang pada minggu pertama bulan Mac. 

Hati terasa sedih. Tapi saya tidak mahu perkembangan terbaru ini mematahkan semangat saya untuk ke pulau impian. Pilihan untuk menukar destinasi bukanlah sebuah pilihan untuk saya, kerana harga resort yang telah saya bayar adalah 3 kali ganda kosnya daripada harga tiket penerbangan. Memilih untuk diberi penerbangan lain juga terlalu berisiko. Persoalannya, adakah saya mahu menunggu (entahkan bila) AirAsiaX menghubungi saya?

Maka, jawapannya: Tidak sama sekali. Saya tidak mahu menunggu. Saya mahu membuat keputusan saya sendiri. 

Nota: AirAsia hanya menghubungi saya pada 25 Februari 2014:(

Pada pagi 11 Februari ini, laman web SriLankan Airlines seakan jammed,  mungkin ramai yang sedang melihat-lihat peluang untuk menukar ke penerbangan Sri Lanka tersebut. Tambahan pula, AirAsia menawarkan penerbangan ke Colombo dan dari Colombo boleh menempah penerbangan menerusi SriLankan Airlines.

Pilihan penerbangan lain pula ialah dengan menggunakan MAS atau Singapore Airlines. Kedua-dua penerbangan ini menawarkan harga yang hampir sama. Justeru, pastinya saya memilih untuk menaiki MAS. Tidak perlu transit (direct flight oleh MAS) dan tentunya lebih selesa berada dalam pesawat milik negara sendiri. 

Memilih MAS

Justeru, saya pilih untuk menaiki MAS dan memohon full refund dengan AirAsia. Paling menyedihkan ialah, kos percutian kami bertambah memandangkan kos penerbangan dengan MAS yang jumlahnya 2 kali ganda daripada penerbangan AirAsia:(



Memilih MAS juga bermakna kami mempunyai kira-kira 8-9 jam yang perlu dihabiskan sebelum menunggu penerbangan untuk pulang ke Kuala Lumpur pada 16 Mac 2014. Untuk memohon extended check-out time di Centara bermakna saya perlu membayar kos kira-kira RM1k untuk lanjutan sehingga jam 6 petang. Jumlah tersebut amat tidak berbaloi dan menambah kos yang sedia bertambah ini. Maka, tindakan paling tepat adalah check-out sahaja seperti perancangan awal pada 16 Mac tersebut dan check-in pula di salah satu hotel yang berdekatan dengan Pulau Airport.

Hotel Newtown Inn di Hulhumale (pulau sebelah Pulau Airport dan boleh diakses menggunakan jalan darat) kemudiannya saya pilih untuk menghabiskan masa pada hari terakhir di Maldives. Kos untuk satu malam sekitar RM150-250 (termasuk tax). Dan sebenarnya, kami tidak akan bermalam pun kerana penerbangan balik adalah pada jam 10.45 malam. Kos airport transfer pula hanya USD10 untuk seorang dan menggunakan teksi sebagai pengangkutan dari/ke lapangan terbang. 

Seterusnya Mac 2014 akhirnya tiba jua. Dan saya terus menghitung hari.  

Menanti 13 Mac 2014


Sehinggalah 8 Mac 2014 menjelma dan sekali lagi hati diduga dengan berita misteri kehilangan pesawat MH370. Namun, perancangan harus diteruskan. Tentunya kerana kami telah penat merancang dan sudah banyak cabaran yang kami hadapi.

13 Mac 2014

Akhirnya 13 Mac 2014 tiba jua. Sepanjang perjalanan ke KLIA diiringi dengan kualiti udara yang agak buruk ekoran beberapa kebakaran hutan di sekitar Dengkil. 

Pemandangan berjerubu di KLIA


Namun, kesibukan di KLIA menyebabkan kami berasa lega sedikit meskipun negara masih dilanda kesuraman atas kehilangan MH370 yang masih belum dirungkai penyelesaiannya. 



Setelah check-in dan mendapat tiket, kami memasuki ruang berlepas luar negeri. Alhamdulillah segala-galanya berjalan dengan lancar.



Sementara menunggu waktu penerbangan, kami makan malam di Burger King. 



Dan penerbangan MH177 malam itu berlepas pada masa yang ditetapkan. Kami terbang di angkasa merentasi Lautan Hindi. Perjalanan memakan masa kira-kira 4 jam lebih. 

Makan lagi atas pesawat

Sebelum pesawat mendarat di Male, kami diberi borang imigresen yang perlu diisi. Tertarik sungguh membaca senarai barang-barang yang diharam untuk dibawa masuk ke Maldives. 

Jangan bawa alkohol atau pork. Di Male memang diharamkan masuk. 

FYI juga, tak perlu bersusah-payah untuk memohon visa kerana pelancong luar diberikan `visa on arrival'. Jadi, cuma pastikan pasport Malaysia anda tidak mati tarikh okey. 

Part 4 saya akan ceritakan kisah seterusnya.

Bersambung di Part 4.

Maldives..Syurga Pulau Nan Indah... (10th Anniversary) Part 2

Bersambung dari Part I.

Memilih Resort

Setelah 2-3 hari membaca review, berfikir dan memilih-milih resort yang berkenan di hati, akhirnya senarai yang panjang, berjaya saya dipendekkan kepada 5 resort. 

Langkah seterusnya, saya cuba membuat simulasi pembelian menerusi beberapa laman web seperti AirAsiaGo dan Agoda. Saya cuba melihat berapakah perbezaan dari segi kos dan promosi di antara satu laman web dengan laman web yang lain. Laman web Tripadvisor juga banyak membantu untuk saya mengeliminatedkan pilihan. Terutamanya bagi resort-resort yang mendapat lebih banyak maklum balas negatif daripada yang positif. 

Menerusi Agoda pula, saya mudah untuk melihat informasi tambahan mengenai return airport transfer yang diwajibkan oleh resort-resort di Maldives. Kalau yang jauh dan terpaksa guna Seaplane tu, memanglah tak mampu untuk saya pergi.  

Hasil pemerhatian, saya mendapati, pembelian di laman web AirAsiaGo adalah lebih murah (slightly) daripada laman web yang lain. Malah, sekiranya anda mendaftar sebagai ahli kad BIG (AirAsia punya loyalty card), anda akan dapat tambahan diskaun sekitar 5%. Saya juga mengeliminatedkan pilihan yang di luar Male Atoll. Akhirnya pencarian saya tertumpu kepada satu resort sahaja. resort ini nampak indah dan bersesuaian dengan bajet yang saya ada. 

Pilihan saya ialah Centara Ras Fushi Resort & Spa Maldives <3

Keindahan Centara Ras Fushi Maldives


Kenapa Centara Ras Fushi?

Entahlah kenapa Centara Ras Fushi yang jadi pilihan. Saya susah sebenarnya nak menerangkan jawapan yang paling tepat mengenai pilihan ini. Berkemungkinan disebabkan faktor kos, website Centara Ras Fushi yang menarik serta lokasi resort ini yang berada di North Male. Di bawah saya senaraikan serba-sedikit kenapa saya pilih Centara Ras Fushi:

1. Review - Hotel ini bertaraf 4 bintang. Mendapat review `Cemerlang' di beberapa laman web termasuk Tripadvisor, Agoda.

2. Lokasi - Resort terletak di North Male. Jarak ke lapangan terbang (Pulau Hulhule) cuma 15 minit menggunakan speed boat. Harga return airport transfer adalah USD86 seorang.  

3. Kos - Untuk bermalam di resort ini masih dalam lingkungan bajet kami. Terdapat 2 jenis penginapan yang ditawarkan iaitu Water Villa dan Beach Villa. Harga satu malam di Water Villa hampir 4 kali ganda daripada harga di Beach Villa. Oleh kerana saya berjaya menjimatkan sedikit kos untuk penerbangan dan airport transfer, nampaknya kami mampu untuk bermalam di Water Villa. Menginap di Water Villa bermakna, bangun pagi sahaja, anda boleh terus turun tangga villa dan berenang hehehe :D

Water Villa di Centara


4. Pakej Half Board - Ini juga antara faktor yang menarik hati. Resort ini menawarkan pakej Half Board (breakfast & dinner) yang sudah dimasukkan siap-siap dalam harga penginapan. kalau saya memilih resort 4 bintang yang lain, kebanyakannya tidak diinclusivekan dengan breakfast + dinner. Jadi, ini adalah satu kelebihan dan penjimatan untuk pengunjung di Centara Ras Fushi. Pakej Half Board ini juga boleh di upgrade ke all inclusive. Nanti saya ceritakan lebih lanjut di siri yang seterusnya. 

5. Privacy - Resort ini memang sesuai sangat untuk honeymooners & couples. Sebabnya, resort ini tidak menerima pengunjung di bawah 12 tahun! Maka, di sekitar resort, anda akan lihat couple, couple & couple! Jadi, semua orang akan buat hal sendiri dan menikmati percutian dengan aman dan damai. Jauh sekali nak dengar bunyi bayi menangis atau budak-budak yang buat perangai. Wow factor ni!

6. Peralatan Aktiviti Air - Resort menyediakan anda snorkeling equipment secara percuma. Anda juga boleh menggunakan kayak dan pedal boat juga dengan percuma. 

7. Restoran - Ada beberapa pilihan restoran. Yang mana Ocean Restaurant merupakan restoran utama di sini. Selain itu, ada restoran Itali `La Brezza', restoran Thai `Suan Bua' dan restoran Arab `Al-Khaimah'. 

8. WiFi - Free WiFi di seluruh kawasan resort ini. Takdelah susah hati kalau ada Internet kan? hehehe.

Kesimpulannya, daripada ratusan foto-foto yang saya lihat, Centara Ras Fushi berada dalam kelasnya yang tersendiri. Pantai yang cantik, pasir putih bersinar dan pemandangan yang indah. privacy yang ditawarkan juga amat mengujakan. 

Membuat tempahan

Seterusnya, saya menempah untuk menginap 3 malam di resort + pakej Half Board yang ditawarkan. 



Hati memang berbunga-bunga walaupun poket sudah kosong kerana semua pembelian dibuat secara bayaran terus (guna kad kredit). Almaklum, kalau tak bayar kad kredit, jenuhlah nak berhutang beribu-ribu yang pastinya menjamin bayaran bunga yang tinggi pada setiap bulan. Tapi hati tetap berbunga-bunga itu kerana sesungguhnya saya tidak sabar menanti 13 Mac 2014 (yang mana ketika itu perlu tunggu lagi 3 bulan) untuk memijak pasiran pantai di pulau nan indah, Maldives.

Peta Centara


Seterusnya, saya menghubungi khidmat pelanggan di Centara (by e-mail) untuk memberitahu itinerary flight saya dari Kuala Lumpur ke Male. Menerusi e-mail yang sama, saya juga memohon supaya dipertimbangkan Water Villa bernombor 300 ke atas yang mempunyai pemandangan yang lebih cantik (pengaruh review di Tripadvisor). Tidak lupa juga saya nyatakan bahawa saya akan menyambut ulang tahun ke-10 perkahwinan pada 13 Mac tersebut dan kami memerlukan pemandangan Villa yang indah untuk meraikan sambutan yang istimewa ini. Saya juga request untuk diberikan sunset villa (banyak permintaan sebab takut dia bagi yang tak best hehehe). 

FYI, rangkaian resort Centara dimiliki oleh businessman Thailand. Resort ini juga terkenal dengan SPA nya yang bertaraf international gitu.  

Nampaknya semua perkara penting telah diselesaikan dalam bulan Disember 2013 lagi. Part 3 nanti saya akan ceritakan permulaan perjalanan ke Maldives. 

Bersambung di Part 3

Friday, March 28, 2014

Maldives..Syurga Pulau Nan Indah... (10th Anniversary) Part I



Pulau terumbu karang yang indah di Maldives


Maldives yang terkenal sebagai syurga kepulauan terumbu karang dunia, menjadi pilihan hati untuk percutian tahun ini. Pulau-pulau indah di Maldives sememangnya jadi pilihan ramai pasangan untuk berbulan madu dan menyambut ulang tahun perkahwinan. Keindahan pulau dengan suasana romantik akan mengindahkan lagi perhubungan. 

Persoalan seterusnya, adakah kami mampu untuk terbang ke negara terkecil di Benua Asia ini? Bagi menjawab persoalan tersebut, dua perkara penting harus saya pastikan iaitu kos penerbangan dan kos penginapan. 

Seawal Disember 2013 lagi saya telah mencari-cari penerbangan yang bersesuaian untuk terbang ke Maldives. Setelah berkira-kira antara MAS, AirAsia dan Singapore Airlines saya mengambil keputusan untuk memilih penerbangan dengan AirAsia. Sebabnya, AA menawarkan penerbangan dengan kos yang sekali ganda lebih murah dari MAS dan SIA. Waktu penerbangan juga amat sesuai dengan jadual check-in/check-out di kebanyakkan resort.  

Justeru, tiket penerbangan untuk 2 orang ke Male, Maldives pada 13 Mac 2014 saya beli dari website AA.




Hati terasa amat gembira kerana dapat membeli tiket penerbangan yang sekali ganda lebih murah dari website MAS dan SIA. Maka, peruntukan yang berbaki boleh saya peruntukkan dalam pemilihan resort yang lebih cantik dan lebih menarik. 

Setelah mendapat itinerary tiket yang dibeli, langkah seterusnya adalah pemilihan resort. Rupa-rupanya pemilihan resort bukanlah perkara yang mudah. Ini kerana Maldives mempunyai 1190 pulau dan lebih daripada 80 pulau dijadikan resort-resort pelancongan. Sesi memilih menjadi semakin sukar apabila banyak faktor memainkan peranan. Semestinya, sekali lagi faktor kos memainkan peranan yang sangat penting. 

Beberapa hari juga saya memaksa diri untuk membaca dan membaca mengenai review resort-resort di Maldives ini untuk membuat pilihan yang tepat.  Ketika ini saya menyedari bahawa kurangnya rakyat Malaysia yang menulis mengenai pengalaman bercuti di Kepulauan Maldives. Atas sebab ini jugalah saya niatkan dalam hati untuk menulis informasi dan pengalaman yang saya tahu supaya dapat jadi panduan kepada pembaca-pembaca yang lain untuk membuka langkah anda ke kepulauan impian ini. Malaysia Boleh kan?

Untuk siri pertama ini, saya tuliskan beberapa tips yang perlu diambil kira dalam memilih resort. Pulau-pulau di Maldives sememangnya teramat indah. Namun, harus diingat terdapat pelbagai pro & cons dalam memilih resort yang menawan hati. Antara faktor-faktor yang wajar diambil berat adalah seperti di bawah:

1. Pulau-pulau = Maldives mempunyai 1190. Cuma 200 pulau sahaja mempunyai penduduk. Lebih 80 pulau dijadikan resort pelancongan. Pulau-pulau kecil ni terbina di atas terumbu-terumbu karang yang membentuk kepulauan terumbu karang (atoll). Ada 26 atolls di seluruh Maldives. Pulau terpenting ialah Male (ibu negara). Male mempunyai 3 pulau utama yang berdekatan iaitu Male (Bandar), Hulhule (Pulau Airport) dan Hulhumale (artificial island sebelah airport island).    

2. Matawang = Ruffiya (Rf) ialah matawang Maldives. Namun, jangan bazirkan matawang RM kita untuk menukar kepada Rf. Sebelum terbang ke Maldives, tukarkan RM anda kepada USD. Matawang USD yang merupakan matawang yang digunakan di semua resort. Sebenarnya, anda hampir tidak perlu menyediakan wang tunai semasa berada di resort-resort kerana mereka lebih menghargai kad kredit yang anda ada. Semasa berada dalam resort, segala-galanya boleh dibeli menggunakan kad kredit. Anda hanya memerlukan RF sekiranya anda ke kedai-kedai kecil dan ingin menaiki bas di sekitar Male.

Nota: Naik feri dan makan di restoran (sekitar Male) juga boleh menggunakan USD. Cuma anda kena ada duit kecil kerana jika anda ingin baki, Maldivian akan memulangkan baki duit anda dengan matawang Rf.   

3. Kos penginapan = Range harga amat jauh. Anda boleh dapat hotel termurah pada sekitar RM200 dan paling mahal lebih RM10 ribu. Hotel yang murah hanya terdapat di Male sahaja. Manakala semua hotel yang berada di pulau-pulau pelancongan lain melebihi RM500 satu malam.

4. Lokasi =   Penerbangan dari Malaysia akan tiba di Lapangan Terbang Ibrahim Nasir yang terletak di Hulhule (Pulau Airport). Daripada Hulhule, anda akan menggunakan pengangkutan (airport transfer) yang disediakan oleh hotel (wajib gunakan). Di sini perlu timbangkan faktor jarak lokasi pulau resort yang anda pilih dengan Hulhule. Lagi jauh pulau yang anda pilih dari pulau airport, tentunya pulau tersebut lebih privacy dan indah. Namun, lagi jauh, maka lagi mahal dan mengambil masa yang lebih untuk sampai. Airport transfer dari airport menggunakan 3 jenis pengangkutan iaitu bot laju (speed boat), seaplane atau teksi/van. 

Nota: Seaplane malam tak jalan. Kalau flight anda sampai lewat petang, sila book hotel di Male dan naik seaplane keesokan harinya. Kalau hotel guna speed boat, pastikan ia beroperasi 24 jam. Kalau tak, kena book hotel di Male juga. 

5. Kos airport transfer = Lagi jauh resort anda dengan pulau airport, bermakna lagi mahal return transfer yang terpaksa anda bayar. Bagi pulau-pulau yang jauh jaraknya untuk menaiki bot laju, anda akan ditawarkan transfer menggunakan seaplane. FYI, paling murah kos untuk seaplane adalah USD300 seorang. Malah ada resort yang akan mencecah kos seaplane sebanyak USD1k seorang (RM3400 okeh!). Itu baru kos seaplane. Justeru, marhaen seperti saya, haruslah mencari resort-resort di sekitar Male (boleh diakses dengan speed boat). Dua bahagian Male yang menawarkan resort yang cantik-cantik adalah di North Male dan South Male. Kos speed boat juga berdasarkan jarak dengan Hulhule.  


Atoll yang atas tu North Male & yang bawah tu South Male.


6. Penduduk dan bahasa = Penduduk Maldives dikenali sebagai Maldivian. Populasi penduduk cuma 340 ribu orang. Hampir 70 ribu orang tinggal di Male. Bahasa pertuturan ialah bahasa Dhivehi. Namun, anda tak perlu bersusah payah untuk belajar Dhivehi kerana anda boleh gunakan sahaja bahasa Inggeris.  Agama rasmi ialah Islam dan rakyat Maldivian perlu menganut agama Islam. Agama lain tidak boleh disebarkan di negara ini. Perkara ini termaktub dalam Perlembagaan Maldives 1997. 

7. Penerbangan & Perbezaaan Waktu = Terdapat beberapa pilihan penerbangan dari Kuala Lumpur. Anda boleh memilih untuk menaiki MAS (direct flight), Singapore Airlines, AirAsia (ke Colombo) atau SriLankan Airways. Penerbangan mengambil masa selama 4 jam lebih. Perbezaan waktu pula adalah lebih kurang 3 jam iaitu waktu di Malaysia awal dari waktu di Maldives.  

8. Barang-barang Perlu = Jangan lupa bawa losyen pelindung UV. Sila sapukan pada keseluruhan kulit yang terdedah kepada cahaya matahari. Kalau anda tak sapu, kulit anda akan terbakar dan menggelupas. Suhu agak panas di Maldives, cumanya anda tak rasa sangat kepanasan tersebut. Sebabnya, angin pantai yang sentiasa bertiup menghambus ke pipi dan kulit anda. Selain daripada itu, bawalah topi dan shades. Kelengkapan yang sangat perlu yang lain ialah baju mandi dan selipar. Tak perlu bawa kasut tinggi, menyusahkan saja nak jalan atas pasir. 

9. Elektrik = Power socket sama macam di Malaysia. Menggunakan plug 3 pin. Jadi tak perlu bawa adapter. Boleh pakai apa-apa charger yang anda pakai di Malaysia. 

Seterusnya, saya akan sambung di Part II yang mana saya akan ceritakan resort pilihan saya dan sebab-sebabnya.

Bersambung di Part II