Sunday, January 20, 2013

Hasya's Birthday 2013....Eggless Chocolate Cake (with Strawberry & Walnut Topping).... Part I

Semalam Hasya Irdina menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-6. Maksudnya, sudah 6 tahun Hasya menjadi penyeri hati saya dan Mr. Hubby.
 
Oleh kerana tahun ini adalah tahun akhir Hasya akan berada di Tadika, saya merancang untuk mengadakan sambutan di Tadika beliau. Justeru, cuti terpaksa saya ambil pada hari Khamis untuk memastikan saya berjaya menyiapkan sebiji kek dan juga cenderahati untuk rakan-rakan sekelas Hasya.


Saya ambil keputusan untuk buat kek coklat. Tentunya anak-anak kecil di Tadika akan lebih teruja untuk merasa kek coklat daripada kek keju. Oleh yang demikian, saya memilih  Super Moist Eggless Chocolate Cake yang mana pernah saya buat sebelum ini. Cuma kali ini saya gandakan sukatan untuk mendapatkan kek yang lebih besar. Saya juga guna loyang 10 inci. Untuk topping, saya hiaskan dengan coklat masakan, strawberry dan walnut!
 
Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum
2 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 cawan serbuk koko
4 sudu besar susu tepung 
2 1/2 cawan air sejuk (dari peti ais) 
2 cawan gula perang 
2 sudu kecil esen vanilla
1 sudu kecil chocolate emulco - optional
1/4 sudu kecil garam halus
1 cawan minyak masak sayuran atau minyak jagung atau mentega cair 
2 sudu kecil cuka atau jus lemon

 
Cara-cara (sila ke link ini untuk langkah Step by Step)

Panaskan oven pada suhu 160C. Sediakan loyang kek (saya pakai 10 inci). Griskan dengan mentega. Ayakkan tepung bersama baking powder, soda bikarbonat dan serbuk koko di dalam bekas besar. Masukkan tepung susu, garam dan gula perang. Kemudian dikacau rata-rata.

Masukkan air sejuk, minyak masak, esen vanila dan chocolate emulco. Kacau perlahan-lahan dengan whisk (saya guna mixer, tapi tak putar lama). Pastikan adunan tidak berketul. Akhir sekali masukkan cuka atau jus lemon. Terus dikacau serta merta sehingga sebati tetapi jangan terlalu lama (ini pun saya guna mixer).

Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakar selama 50 - 60 minit atau hingga cukup masak (saya ambil masa 55 minit). 
 
Nota: Masa membakar adalah berbeza bagi oven yang berlainan. Jangan panik kalau nampak kek ni lambat nak masak tengah-tengahnya. Kalau tengah-tengah tu dah tak cair (cucuk guna lidi), maka dah masak le tu.  


Sejukkan kek setelah masak. Boleh juga dihiaskan dengan topping kegemaran. Tapi biarkan kek sejuk dulu. Saya cairkan 125gm coklat masakan, 15gm mentega dan 70ml susu segar (guna api kecil atau double boil). 


Paipkan coklat masakan


Lepas tu saya tuang atas kek, saya hiaskan atas kek dengan hirisan buah strawberry dan walnut (saya hancurkan sedikit)  yang saya dah goreng tanpa minyak.



Kek dah siap, saya siapkan pula beg cenderahati (goodies bag) untuk rakan-rakan sekelas Hasya. Sebab saya tak cukup masa nak menjadi kreatif, beg ni saya beli yang dah siap je. Dalam beg ni saya masukkan snek, coklat, lolipop, mainan dan alat tulis.



Buat 35 beg

Beg yang comel

Intai isi beg

Bangun pagi-pagi Jumaat itu juga, saya sediakan sosej puff (buat) dan donut (yang ni beli) untuk dibawa ke Tadika.



FYI, sambutan hari jadi Hasya di Tadika ni dibuat pada hari Jumaat 18 Januari. Sehari sebelum hari jadi dia yang sebenar. Selamat hari Jadi Hasya!

Thursday, January 17, 2013

Step by Step... Kupang Masak Lemak

Hari ni dah 17 Januari, entry blog saya tak sampai 5 pun bulan ini. Nampaknya, saya sungguh sibuk pada bulan ini. Apabila sibuk, mulalah tak sempat nak masak. Balik lewat dan dah makan sebelum sampai ke rumah. Kalau ada bahan untuk post, masalah takde masa pula timbul. Makanya, berhabuk tak sempat dimop blog `Life is Colorful' ni.
 
Tapi hari ni saya gagahkan juga jiwa dan jari saya untuk menaip resepi `Kupang Masak Lemak'. Masakan ni bukan saya masak pagi ni, saya masak 2 minggu lepas rasanya (ingatan dah lemah sebab dah makin tua). Pagi ni adalah masa sikit nak memblogingkan diri. Sebabnya saya ambil cuti, nak buat macam-macam hari ni. Nanti esok saya beritahu projek saya hari ni (kalau jadi dan kalau saya berjaya curi masa untuk membloging).
 
 
 
Berbalik pada cerita kupang, masa di US dulu saya suka sangat beli kupang (mussel) yang dijual di Walmart. Sebabnya, kupang tu dah dimasak dan tinggal nak menambah perisanya mengikut kegemaran masing-masing. Selalunya juga, saya akan masak lemak. Idea ini datang selepas saya makan tengah hari di rumah Kak Normy. Kupang Masak Lemak yang dimasak oleh Kak Normy memang sedap sangat dan penuh dengan ciri-ciri keMelayuan.
 

 
 
Jom lihat resepi. FYI, saya pakai kupang sejuk beku je sebab saya jumpa paket kupang ni di Cold Storage. Jauh tau kupang ni datang, dari Chile.


 
 
Nota: Kalau tak suka pedas, kurangkan cili. Hasya memang suka sangat masakan ni.
 
 
Bahan-bahan (saya guna bahan-bahan yang simple)
 
1 paket Kupang sejuk Beku - 450gm kupang (bersihkan)
Sekotak santan - 250ml
sebatang cili merah - kisar
2 batang cili padi - kisar (tak payah letak kalau tak suka pedas)
3 ulas bawang merah kecil (kisar)
sedikit serbuk kunyit
garam secukup rasa
 
Cara-cara
 
Panaskan santan dalam periuk. Masukkan cili dan bawang kisar.

 
 
Masukkan serbuk kunyit, sedikit sahaja, agak-agak sehingga warnanya kuning cair (pandai-pandailah, jangan sampai kuning pekat sangat).

 
 
Kena selalu kacau. Apabila mendidih masukkan kupang. Masukkan garam secukup rasa. Biarkan mendidih sekali lagi.


 
 
Dah siap pun. Memang senang resepi ni. Sesuai untuk insan-insan yang tak berapa ada masa seperti saya. Selamat mencuba!


 
 

Thursday, January 3, 2013

Step by Step.. Burger Daging (letak cili padi!)

Burger yang dijual di tepi jalan memang sedap dimakan. Burger yang dijual di McD, KFC, Carl's Jr, A&W dan Marrybrown pun sedap sangat dimakan. Tapi, hari ni saya buat burger di rumah (home-made lagi!). Ini gara-gara permintaan Mr. Hubby nak makan burger yang dagingnya tebal (lebih tebal daripada quarter pounder McD) dan apabila digigit terasa kepedasan cilinya.


 
 
Maka, cili yang sesuai adalah cili padi. Wow, cili padi dalam daging burger!
 
Sebenarnya (once upon a time), masa kami road trip di US dulu, kami ada singgah makan tengah hari di Indianapolis. Restoran Pakistan yang kami pilih tu ada buat burger yang sangat lazat. Tak tahulah dia guna lada apa (mungkin jalapeno), tapi apabila digigit, memang terasa kepedasan ladanya. Jadi, Mr. Hubby teringin nak makan burger yang pedas seperti yang kami makan di Indianapolis.


 
 
Maka, saya pilih cili padi kerana saya tak jumpa jalapeno di pasar raya dan pasar malam hehehehe... Marilah cuba resepi ni. Kalau tak suka pedas, tak perlu letak pun cili padi. Cuma tambah sikit lagi sukatan untuk lada hitam. Burger-burger biasa tu pakai lada hitam je pun.
 
Bahan-bahan
 
200gm daging kisar
1/2 biji bawang merah saiz agak besar (kalau bawang tu besar sangat, guna 1/3 jelah)
2 ulas cili padi (boleh guna 3 atau 4 untuk lebih pedas)
1/4sk lada hitam kisar
1/4sk oregano flakes
1/4sk parsley flakes
2sb serbuk roti
1sk olive oil
 
Cara-cara
 
Kisar/tumbuk bawang dan cili padi.


 
 
Gaul hingga sebati semua bahan dengan daging.



 
 
Bentukkan daging. Kalau suka tebal, dapatlah dua keping je. Kalau suka nipis, boleh dapat 4 keping.

daging yang tebal
 
 
Masukkan dalam bekas dan biar dalam peti sejuk dalam sejam dua. Kalau nak biar lebih lama pun ok je.
 
Panaskan sedikit minyak dalam kuali leper dan goreng daging burger hingga masak. Api jangan besar sangat nanti burger tak masak tengah. Saya tutup kuali seketika untuk memastikan daging masak hingga ke tengah.


 
Sudah siap

 
Nota: Untuk roti burger, anda boleh beli roti dah siap di kedai atau boleh buat bun sendiri. Saya guna resepi bun ni. Boleh dapat 12 bun (saya sebenarnya buat 10 bun kari daging dan buat 2 bun kosong untuk buat bun burger). Cuma saya tambah bijan atas bun supaya sesuai jadi bun burger. Cara tambah bijan atas bun, cuma glis dengan sedikit air dan tabur je bijan atas permukaan bun.


 
 
Bun tu belah dua. Boleh sapukan mentega pada bun dan lepas tu letaklah sos, mayonis dan keju cheddar.


 
 
Sila letak Salad, tomato dan bawang jika suka dan untuk menambah keindahan burger anda. Saya memang tak makan sayur-mayur ni, jadi membazir untuk comel-comelkan burger hehehe..


Tebalkan?
 
 
Sekian.
 
 


Tuesday, January 1, 2013

Aiskrim Vanilla Pecan & Coklat Oreo! (It's Celebration!)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Selamat Tahun Baru 2013!

Home-made ice-cream!
 
 
Sempena hari pertama tahun 2013 ini, Life is Colorful membawakan anda resepi yang minda saya sendiri tak terfikir sebelum ini iaitu Aiskrim! Wow, apakah benar apa yang saya tulis ni?
 
Yup, permulaan yang hebat untuk tahun baru. Mari belajar buat aiskrim di rumah. Yang paling awesome, aiskrim ni sangat mudah dan cuma guna pengisar (blender) sahaja. Jadi, hapuskanlah segala kekangan. Sekiranya di rumah anda ada blender dan peti sejuk, anda pasti boleh hasilkan home-made ice-cream pertama anda!

Oreo Choc & Vanilla Pecan
 
 
 
Untuk menambahkan kemewahan dan kelazatan berganda, saya akan tunjukkan `Langkah demi Langkah... membuat Aiskrim dengan perisa Vanilla Pecan dan perisa Coklat Oreo (sila `wow' berganda!).
 
Meskipun bunyi resepi ini seperti susah, sebenarnya resepi ini mudah dibuat. Serius mudah tau. Inspirasi tahun baru ini datangnya dari shen di My Resepi. Jom belek.
 
Bahan-bahan (serius sikit je bahan-bahannya)
 
2 cawan susu segar (perisa apa-apapun takpe)
2 cawan Nestle Coffeemate
 
Nota: Saya buat 2 adunan. Satu saya guna susu perisa coklat (nak buat aiskrim coklat) dan satu lagi susu segar putih full cream (nak buat aiskrim vanilla).

 
 
 
Cara-cara
 
Kisar (guna blender) susu + coffemate. Saya kisar dalam 2-3 minit.

 
 
Masukkan adunan ke dalam bekas.

 
 
Masuk bekas dalam bahagian sejuk beku (freezer) selama 2 - 3 jam.

 
 
Nota: Adunan susu putih full cream tu saya tambah 1sk esen vanilla.
 
Selepas 2-3 jam, keluarkan adunan. Kisar (guna blender) sekali lagi adunan. Sekali lagi masukkan ke dalam bekas dan masukkan bekas dalam freezer. Kali ini biarkan semalaman.

Nota: Boleh tambah kacang/oreo (gaulkan aiskrim dengan kacang/oreo) sebelum biarkan semalaman.
 
Dan aiskrim anda telah siap apabila disejukbekukan semalaman. Topping dan perisa gandaan yang mewah adalah berdasarkan kreativiti masing-masing.

Aiskrim sudah siap untuk dimakan!
 
 
Kalau nak ikut cara saya:
 
Aiskrim Vanilla Pecan
 
Panggang/goreng tanpa minyak seketika pecan. Biarkan pecan tersebut sejuk dahulu. Kemudian gaulkan pecan ke dalam Aiskrim Vanilla. Biarkan sejuk beku semalaman.
 
 
Aiskrim Coklat Oreo.
 
Hancurkan beberapa keping biskut oreo (buang krimnya). Saya guna oreo kisar. Gaul dalam aiskrim coklat. Biarkan sejuk beku semalaman.

Sedap dan tak manis sangat


Dan kedua-dua aiskrim saya paipkan sedikit coklat cair (saya pakai coklat cair Hershey) untuk topping yang lazat.



Akhir kata, jangan takut untuk mencuba sesuatu. Anda boleh sekiranya anda yakin yang anda boleh. Mesti boleh punya.


 
 
"Twenty years from now you will be more disappointed by the things that you didn’t do than by the ones you did do. So throw off the bowlines. Sail away from the safe harbor. Catch the trade winds in your sails. Explore. Dream. Discover."
Mark Twain