Saturday, March 2, 2013

Baked Blueberry Cheesecake pula!

Meskipun saya bekerja waktu pejabat iaitu dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang, tapi sukar sekali saya nak bertolak pulang jam 5.30 petang. Justeru, atas ketidaktentuan ini, saya sama sekali tidak mahu mengambil tempahan kek atau masakan. Sebabnya, saya amat bimbang sekiranya saya tidak terdaya untuk menyiapkan tempahan.
 
Walau bagaimanapun, kadang-kala tu terpaksa juga atas permintaan rakan yang tak dapat ditolak. Lazimnya kerana hari jadi rakan-rakan rapat hehehe.... (walau bagaimanapun, ditekankan sekali lagi, saya tidak ambil tempahan).
 
Khamis lepas ada permintaan untuk saya buat kek. Dan saya diminta buat kek yang saya rasa tidak membebankan. Dan sebenarnya, banyak kek yang agak mudah untuk dibuat. Kek yang sangat renyah dan malas betul saya nak buat ialah Kek checkerboard. Seterusnya ialah kek lapis :D
 
 
 
 
Tetiba juga saya teringat dengan Baked Cherry Cheesecake yang saya buat semasa hari jadi Datuk Tiger. Teringat juga yang kek ini tidak renyah sangat untuk membuatnya. Hasilnya juga cantik dan sangat sedap. Tetapi, saya tidak ada stok Cherry filling, yang ada dalam stok ialah Blueberry Filling. Jadi, saya buat `Baked Blueberry Cheesecake' ler nampaknya!
 
 

Bahan-bahan (loyang 9 inci)
 
Lapisan bawah (crust)
230 gm serbuk biskut digestive (saya guna biskut oreo, hancurkan dan buang krim ye)
30 gm gula kastor
75 gm butter - cairkan

Lapisan atas
250 gm cream cheese
125 ml whipping cream
1 camca besar jus lemon
70 gm gula kastor
3 biji kuning telur
1 camca teh esen vanila
2 camca besar tepung kastad
3 biji putih telur


Blueberry filling secukupnya

Cara-cara

Campurkan semua bahan lapisan bawah, ratakan dalam loyang yang telah digris terlebih dulu. Simpan dalam fridge 20 minit.
 
 
 

 
Putar cream cheese hingga lembut. Masukkan whipping cream dan jus lemon, kacau rata. Masukkan sedikit demi sedikit gula, diikuti kuning telur dan esen vanila. Putar lagi. Akhir sekali masukkan tepung kastad, dan kacau rata.
 



Kemudian putar putih telur hingga separuh kental (saya pukul hingga kental dan bertanduk), masukkan ke dalam adunan tadi. Kaup balikkan.
 
 

 
Tuang ke dalam loyang lapisan biskut tadi. Saya letak beberapa biji blueberry filling dalam kek.
 






Bakar pada suhu 165C selama lebih kurang 50 minit (bergantung kepada oven)
 
 
 
Nota: Masa saya buat kek Datuk Tiger, cantik je kek saya ni masak sebab saya bakar suhu 165C. Kali ni saya konon nak bakar suhu 175C, bila dah 30 minit, kek saya mula merekah huhuhu. Jadi, saya kurangkan suhu kepada 160C dan sambung bakar lagi 10-15 minit. Moralnya, bakar jela suhu 165C.
 
 
Tips: Jangan buka pintu oven semasa memasak. Bila kek telah masak, renggangkan pintu oven. Bila telah sejuk, baru masukkan ke dalam peti sejuk selama 4 jam atau benar-benar sejuk.

 
Meskipun kek saya ni merekah di tengahnya, saya tidaklah rasa hampa sangat atau rasa gagal. Kek yang merekah, boleh je ditouch up nanti.
 
 
nampak tak ada rekahan? :(
 
 
Setelah sejuk, saya keluarkan kek dari loyang dan letak atas pelapik kek. Kemudian saya piping cantik-cantik Blueberry Filling atas kek. Maka, tidaklah nampak kesan rekahan pada kek.
 
 
 
 
Jadilah kek ini sebiji kek yang sempurna dan lazat.
 
 
 
Sekian.

2 comments:

Edith_TiTtiT said...

hai sis.. sis guna loyang size berapa ya?

weezana said...

guna 8 inci.. kalau xde pakai la 9 inci.. lebih dari tu nnti kek rendah sangat :)