Assalamualaikum...
Ini entry pertama tahun 2017. Ya, suku tahun 2017 pun dah berakhir. Hmmm...
Oleh kerana dah lama tak buka blog, maka banyaklah juga mesej-mesej yang tak berbalas. Jadi, saya minta maaf kepada pembaca-pembaca blog saya ni kerana lambat dapat balasan mesej. Tapi, saya tetap balas. Better late than never, gitu.. Love u all.. Terima kasih sangat sebab sudi baca blog ni dan sudi cuba resepi-resepi saya.
Dengan buku pelawat yang hampir capai 3.5 juta, saya memang berasa terharu. Kecil sungguh blog ini sebenarnya. Tapi, saya cukup bersyukur apabila dapat berkongsi sedikit ilmu yang mana dapat pula dimanfaat oleh orang lain di luar sana.
Bila tengok `stat', purata kunjungan setiap hari pun dekat-dekat dua ribu. Kalau ikutkan, memang saya tak punya lebihan masa untuk menulis blog ini. Almaklum, ini bukan blog tulisan semata-mata. Tapi, perkongsian berfoto yang perlu lebihan minit demi minit untuk saya berfikir, mengolah dan menyusun kata. Namun, atas sokongan dan sambutan, saya gagahkan juga untuk teruskan.
Jadi, hari ini dengan berlapang dada, saya nak kongsi resepi `Lasagna'. Saya ambil resepi dari blog Ayue Idris. Agak sebiji jugalah saya ikut resepi Cik Ayue. Cumanya, sebab saya tak suka makan carrot dan mushroom, jadi saya tak letak. Bawang pula seperti biasa, saya tak makan bawang yang nampak bawang. Jadi saya kisar semua bawang. Lain-lain sama je.
Hasilnya, memang sedap sangat. Entahlah kalau letak carrot ngan mushroom tu kot lagi extra sedap. Bagi saya, versi yang saya buat ni dah awesome sangat. Berulang-berulang Mr. Hubby makan. Budak-budak, kecik dan besar semua suka.
Nota: Ayue Idris tak bagitau sudu yang dia guna sudu apa. Jadi, saya guna sudu sukatan (saya guna sudu besar 15ml). Cuma, setiap bahan tu (terutama garam dan gula) saya kurangkan sedikit. seram juga tengok sudu sukatan yang besar ni hehehe...
Bahan-Bahan
250gm Instant Lasagna (guna setakat yang perlu. Bergantung kepada inti dan saiz pan anda)
Keju Mozarella dan Parmesan secukupnya (guna semasa melapis lasagna).
Bahan-Bahan Inti Daging
3 biji bawang merah - dipotong dadu (saya kisar)
6 ulas bawang putih - dicincang halus (saya kisar)
1/2 batang lobak merah - dipotong dadu (saya tak letak)
400gm daging kisar
350 gm sos spaghetti
2sb serbuk oregano (oregano flakes pun boleh)
1/2 sb garam
1sb gula
3sb sos cili
1 tin cendawan - dihiris (saya tak letak)
1sb lada hitam
Cara-cara masak inti daging
Rebus lasagna instant sheet sehingga boleh dilentur. (JANGAN sehingga masak). Tos dan susun di atas dulang. Jangan bertindih ya. Kalau bertindih, nanti melekat, susah nak pisah.
Tumis bawang merah, bawang putih, sehingga naik bau dan masukkan daging kisar. Masak sehingga air daging kering.
Masukkan sos spaghetti, masak sebentar. Masukkan cendawan dan carrot (saya tak letak). Kemudian masukkan serbuk oregano. Rasakan dengan garam dan gula. Ketepikan.
Sekarang, kena buat sos putih (white sauce). Sos ini untuk dilapis selang-seli dengan inti daging tadi. Mesti buat tau, kalau tak, rasa tak sempurna.
Bahan-bahan Sos Putih
8 keping keju cheddar
2sb mentega
2sb tepung gandum
2 cawan susu segar penuh krim
1/2sb garam
Cara-cara masak sos putih
Panaskan mentega sehingga cair. Masukkan tepung gandum, masak sehingga kekuningan. Masukkan susu segar penuh krim dan gaul rata.
Masukkan Cheddar cheese dan gaul hingga cheese cair dan sebati. Masukkan sedikit garam. Masak sehingga sos likat dan pekat.
Jom melapis
Gunalah apa-apa loyang yang anda suka. Asalkan loyang tu boleh dibakar dan janganlah yang melekat (non-stick). Sapukan loyang dengan mentega.
Letak kepingan lasagna di lapisan paling bawah.
Disusuli dengan inti daging. Pastikan daging menutupi kepingan lasagna.
Patut lebih lagi. Letak sampai tepi-tepi semua kena. |
Letak sos putih.
Taburkan keju mozarella dan parmesan.
Ulang langkah menyelang-seli sehingga loyang penuh. Bakar di dalam oven selama 40 minit, 160°.
Potong lepas masak. Sedap makan panas-panas.
Sedap. Kejap je habis.
Selamat mencuba.
Sekian.
2 comments:
sedapnyer lasagna., ;p
Sedap. Cuba lah buat :)
Post a Comment