Thursday, March 13, 2014

Doa untuk MH370.. Apa pun berlaku, MAS tetap di hatiku...

Assalamualaikum...

Hari ini masuk hari ke-6 kehilangan pesawat MH370.




Entry ini saya tulis untuk menyatakan betapa istimewanya MAS di hati saya. Saya pasti, Syarikat Penerbangan Nasional ini sangat istimewa di hati jutaan lagi rakyat Malaysia.

Syarikat Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines) bukan semata-mata sebuah syarikat penerbangan. Kepada rakyat Malaysia, MAS sebenarnya memberi makna yang lebih daripada itu. MAS adalah lambang kebanggaan kita semua. 

Saya berkata begitu, tanpa bias. Tanpa berpaksikan kepada menyokong atau membangkang mana-mana parti politik. Bangganya saya pada MAS kerana saya adalah rakyat Malaysia. Saya bangga kerana kita ada kapal terbang kita sendiri. Mempunyai kapal terbang sendiri memberi makna yang sungguh mendalam dan besar bagi kepada sesebuah negara. Kita punya sayap untuk terbang dengan bangga ke seluruh pelusuk dunia. Bermakna juga, kita berkemampuan untuk terbang di awan biru dengan bangga dan bermaruah menggunakan pesawat kita sendiri. 

Mungkin ada pula orang yang akan berkata bahawa negara lain juga punya kapal terbang sendiri. Namun, orang-orang itu mungkin lupa bahawa MAS punya kredibiliti tinggi yang menempatkan ia sebagai salah satu penerbangan berprestij di muka bumi ini. Terbang bersama MAS sering jadi pilihan ramai orang, tidak kira bangsa, latar belakang dan kewarganegaraan mereka. MH adalah untuk Malaysian Hospitality. 

Saya pernah berpeluang beberapa kali menaiki pesawat MAS untuk ke luar negara. Apabila ditanya oleh rakan-rakan yang datang dari region yang sama, saya dengan bangganya akan menjawab yang saya menaiki pesawat MAS. Lebih tepat lagi, penerbangan direct dari Kuala Lumpur. Mereka akan kagum dan berasa saya sungguh bertuah kerana kebanyakkan mereka terpaksa bertukar pesawat dan mengangkut bagasi mereka semasa pertukaran pesawat tersebut.

Juga semasa penerbangan pulang, rakan-rakan dari region yang sama ini akan berasa susah hati sekiranya bagasi mereka terlebih berat. Mereka bimbang sekiranya terpaksa membuang barang atau dikenakan caj yang mahal kerana penerbangan mereka melibatkan lebih daripada 1 pesawat. Sedangkan saya hanya tersenyum dan masih berbangga dengan direct flight yang terus ke Kuala Lumpur. 

Apabila pada awal tahun ini, MAS menghentikan penerbangan ke Los Angeles (LAX), saya berasa agak sedih dan terkilan. Bukan kerana apa, hanya kerana kita kehilangan sayap untuk terbang direct ke Amerika Syarikat. Sedikit terkesan di hati saya apabila teringat betapa bangganya saya menaiki pesawat MAS semasa terbang ke LAX pada tahun 2009.

Maka, apabila MH370 masih tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini, ianya seperti kita kehilangan sebuah kebanggaan. Malah, maruah kita dicalar-calar apabila terlalu banyak pihak sewenang-wenangnya membuat pelbagai spekulasi. Setiap pesawat MAS yang terbang bebas itu adalah maruah negara dan kebanggaan kita seluruh rakyat Malaysia. Umpama seekor burung yang terbang bebas di angkasa raya. Justeru, kehilangannya adalah kesedihan untuk kita semua.




Akhir kata, saya dengan rendah diri, berdoa supaya MH370 dapat ditemui. Supaya maruah negara dan bangsa dapat dikembalikan.  Supaya kita terus berdiri kukuh dan disegani oleh dunia. 

Apa-apapun verdictnya nanti, sekelumitpun saya tidak akan pandang rendah kepada MAS, kerana saya adalah anak jati Malaysia. Penerbangan bersama MH akan tetap jadi pilihan hati saya untuk selamanya.

wassalam.   

Sunday, February 23, 2014

Ketam Masak Kicap Pedas.. (sedap dan mudah)

Saya tak pernah masak atau makan Ketam Masak Kicap. Selalunya kalau beli ketam, saya akan masak sambal, sos, lemak, atau sup. Maka, saya pun google lah, betul ke ketam boleh masak kicap? Rupa-rupanya, banyak je resepi Ketam Masak Kicap nih. 

Ketam yang menjadi pujaan


Oleh kerana saya memang malas nak kisar atau tumbuk bahan-bahan, maka untuk resepi ni, sekali lagi kita campak-campak je. Cumanya, ketam tu kena goreng dulu, barulah firm dan awesome struktur isinya. Jom kita tengok resepi.

Bahan-bahan

3 ekor ketam (sila potong 2 kalau ketam tu besar)
2 biji bawang merah besar (potong bulat)
2 ulas bawang putih (hiris)
2 inci halia (hiris)
1 batang cili merah (hiris)
3 batang cili padi (sila tambah mengikut kepedasan yang disukai) - hiris

2 sudu besar kicap masin
2 sudu besar kicap manis
2sb sos tiram
1sb sos cili
1sk gula
garam secukup rasa (hati-hati sebab sos tiram tu dah masin)
sedikit daun sup (hiris halus)


Cara-cara

Gaul ketam dengan sedikit garam dan kunyit. Panaskan minyak (agak banyak) dan goreng ketam sehingga ketam masak (sekadar masak, tak payah nak garing). Angkat dan ketepikan.



Tumis bawang merah, bawang putih, halia, cili merah dan cili padi sehingga layu dan berbau wangi. 



Masukkan kicap masin, kicap manis, sos tiram dan sos cili. Gaul rata. Jika suka kuah agak cair dan banyak, sila tambah sedikit air. Tambah gula dan garam secukup rasa. Gaul seketika.



Masukkan ketam, gaul rata.



Masukkan daun sup, kacau sekejap dan tutup api.



Ketam Masak Kicap pedas dah siap. 



Hasya suka. Khayra pun suka cuma dia komplen "pedas" hehehe.. Resepi ni memang sangat sedap dan boleh dimasak lain kali.

Selamat mencuba!

Tuesday, January 28, 2014

Hasya 7 Tahun.. (19 Januari 2014)

Assalamualaikum.

Nampaknya saya semakin tidak produktif di dunia blog. Ini semua gara-gara saya tidak mencuba menu-menu baru. Akhir-akhir ini saya cuma masak menu-menu mudah (sup, kari, sardin huh...) atau pun makan di luar sahaja. Tahun 2014 ini nampaknya menjadi tahun yang sibuk dan meletihkan. 

Kadang-kadang, ada juga saya terfikir untuk menulis tentang perkara-perkara lain. Tapi ada sesetengah perkara mungkin sensitif, mungkin berbaur rasis, mungkin terlalu politik... Justeru, niat tersebut saya matikan sahaja. 

Makanya pula, tidak adil bagi Cik Hasya Irdina. Sebabnya, saya tidak menulis entry khas buat Hasya. Tidak ada entry masuk sekolah (darjah 1) dan tidak ada juga entry sambutan Hari Jadi ke-7. 

Makanya lagi, sebagai kenang-kenangan, saya gigihkan jari-jemari saya yang letih ini untuk menulis sedikit untuk my lovely daughter Hasya.

Happy Birthday Hasya!!



Maafnya dear, entry ni dah terlewat 9 hari. Yang pasti, anak Mama dah semakin besar. Dah 7 tahun pun. 



Semoga terus cemerlang dan berjaya dalam hidup.

All the best:) 

Tuesday, January 14, 2014

Banoffee Pie.. Step by Step.. (No Bake Pie)

Di Facebook saya, ada ramai juga kawan-kawan yang rajin dan pandai buat kek. Jadi, kadang-kadang tu terliur juga tengok kek-kek yang dorang buat. cantik-cantik dan nampak sedap. Ada juga yang buat bisnes. Memang hebat-hebat kawan-kawan saya ni.

Nak dijadikan cerita, satu hari tu ternampak post tentang Banoffee Pie. Saya memang tak pernah dengar pasal pai ni. Nak sebut pun, tak tau la betul ke tidak. Agaknya, cara sebut pai ni Ba-no-fi pai hehehehe...



Pai ni nampak sedap. Ada pisang kat dalam. Katanya manis dan sedap. Jujurnya, saya ni kalau manis sangat, takla berapa gemar. Tapi sebab nak merasa punya pasal, jadi, terpaksalah buat. Hehehe.. maka, saya mengerahkan tulang 4 kerat ini untuk menghasilkan dessert untuk sweet tooth sekalian, dipersembahkan `Banoffee Pie'.



FYI, resepi asal saya adaptasi  dari Nigella Lawson dan Dapur Nana. Alhamdulillah, menjadi pie yang saya buat. Cuma, saya berpendapat, lebih baik kalau guna loyang yang lebih besar. dalam 10 inci gitu. Supaya lapisan biskut tu tak terlalu tebal. Pai ni memang manis dan sesuai untuk pecinta-pecinta makanan manis. Sama la macam Pavlova yang manis tu. Saya bawa ke ofis separuh daripada pai ni (almaklum, tak terhabis di rumah). Memang ada collegue yang jatuh cinta. Yela, mesti dia ada sweet tooth hehehe...

Bahan-bahan

400gm digestive biskut untuk base (saya pakai biskut krim kracker je)
200gm butter



1 tin susu pekat manis
1/2 cawan susu segar
1sb butter
pisang secukupnya (montel atau berangan)
400ml whipping cream (Nigella guna double cream)
coklat untuk hiasan.

Cara-cara

Panaskan 200gm butter. Dan hancurkan biskut dalam loyang. Kemudian tuang butter dan gaul dengan biskut. Tekan-tekan biskut ke loyang biar mampat dan padat. Kemudian simpan base ni dalam peti sejuk. saya simpan di ruang Chiller dalam 30 minit. Lagi lama, lagi firm. 



Dah gaul dan tekan padat-padat


Sementara menunggu base menjadi firm, marilah kita buat caramel. Caranya, tuang setin susu pekat manis ke dalam periuk. Tambah 1sb butter dan kacau sehingga berwarna coklat. karamel kan kaler coklat. Guna api yang biasa2 sahaja. Takut hangus pulak karamel tu nanti. 



Apabila sudah agak coklat, tambah 1/2 cawan susu segar. Dan kacau sebentar sehingga rata. tutup api dan biar sejuk sedikit.





Keluarkan base tadi. Tuang karamel atas base. 




Potong pisang bulat-bulat. Susun cantik-cantik atas karamel.



Pukul whipping cream sehingga kembang. Dan kemudian tuang, sudu atau paip atas pisang tadi. 





Pastu taburlah coklat kat permukaan atas tu. 





Boleh dimakan terus atau boleh disimpan dahulu dalam peti sejuk. Potong baik-baik, sebab pai ni rapuh.




Sekian.