Sunday, March 25, 2012

Step by Step... Sardin Tumis Pedas



Kalau makan lauk sardin di gerai-gerai, saya selalunya akan berasa kecewa. Ini kerana, lazimnya lauk sardin tersebut cair dan tak bermaya. Saya tak la kata yang saya pandai masak, tapi masakan sardin yang saya masak memang lebih ummpphh dan bermaya daripada yang dijual di gerai-gerai. Walau bagaimanapun, (disclaimer) itu adalah pengalaman saya, mungkin gerai yang berdekatan dengan opis anda memang pandai masak sardin hehehehe...



Maka, hari ni saya nak masak sardin. Sardin tumis pedas ni sesuai dimakan dengan roti dan nasi ataupun nasi lemak. Cuma, kalau nak dimakan dengan roti, tak perlulah letak kentang.


Bahan-bahan

Setin sardin (saya guna Ayam Brand 230gm)
10 tangkai cili kering (dipotong, rendam air panas, dibuang biji, tos)
sebiji bawang merah saiz besar (kalau guna saiz kecil dalam 4-5 ulas)
2 ulas bawang putih
1/2 sk pati asam jawa
garam secukup rasa

sebiji kentang saiz kecil (potong 8 atau 16)
garam dan serbuk kunyit secukupnya untuk menggoreng kentang
1cm halia

Nota: Kalau suka boleh tambah sebiji tomato (belah 4) dan masukkan selepas masuk asam jawa.

Cara-cara

Gaul kentang dengan garam dan kunyit. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng kentang sehingga masak. angkat, tos dan ketepikan.



Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih dan halia.



Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar. Kacau sehingga bahan kisar masak atau pecah minyak. Masukkan asam jawa. Kacau seketika.



Masukkan sardin. Kacau sebati.



Masukkan kentang. Kacau lagi seminit dua. Dah siap pun.



Sardin tumis pedas ni sesuai sangat kalau makan dengan nasi atau jadi sambal nasi lemak. Kaw gitu....





Saturday, March 24, 2012

Step by Step.. Puyuh Goreng Halia Berkicap

Sebenarnya saya nak masak sotong percik hari ni. Ini gara-gara terpengaruh dengan gambar Sotong Percik Puan Nora Ali di Facebook beliau. Malangnya, semalam saya tak sempat ke pasar malam. Ini pula gara-gara asyik buat 5S kat opis. Akibatnya pukul 9 malam baru nak balik rumah. Tokey jual sotong pun dah packing barang nak balik rumah.

Apabila terpaksa rela membuat 5S di opis, maksudnya waktu berkerja terpaksa ditambah setiap hari. Mana taknya, 5S ni seumpama pertambahan satu lagi beban tugas pada setiap individu. Bukan sekadar pertambahan 20 minit setiap hari (ye la 10 minit 5S kan, waktu datang dan sebelum pulang). Sehubungan itu, blog saya ni kekadang bernyawa kekadang tidak. Mana taknya juga, saya ni bukan sahaja tak sempat nak masak, malah tak sempat nak makan pun.

Walau bagaimanapun, yang positifnya, opis tetiba je jadi bertambah bersih dan teratur. Kalau persekitaran dah bersih, selepas ini boleh bersihkan hati, minda dan perkara-perkara lain yang lebih global.




Maka hari ini kita masak `Puyuh Goreng Halia Berkicap' memandangkan dalam peti sejuk cuma ada puyuh, ayam dan daging sahaja sebagai pilihan.

Bahan-bahan

4 ekor puyuh (dipotong 4 setiap ekor)
Garam dan serbuk kunyit secukupnya

2 ulas bawang merah saiz besar atau 7 ulas bawang merah saiz kecil.
2 ulas bawang putih.
2 inci halia
1 batang cili merah
1/4 cawan kicap manis
1/2 sk garam


Cara-cara

Gaul puyuh dengan garam dan kunyit secukupnya. Kalau nak lagi sedap, perap selama sejam. Kalau nak goreng terus pun boleh je.



Panaskan minyak yang agak banyak dalam kuali (kalau deep fry lagi bagus). Goreng puyuh sehingga masak, kalau suka garing boleh sampai garing.



Angkat, tos dan ketepikan.



Hiris nipis bawang merah, bawang putih, halia dan lada merah. Panaskan 3 sudu besar minyak minyak  (boleh guna minyak puyuh tadi) dan tumis bahan-bahan hirisan sehingga kekuningan dan naik bau.



Masukkan kicap dan goreng sebati selama 5 minit. Tambah garam. Kalau suka lebih manis, boleh tambah sedikit gula. Kalau guna kicap masin, memang kena tambah 2 sudu besar gula.


Masukkan puyuh yang dah digoreng tadi. Gaul hingga sebati. Boleh tutup api dan hidang.





Sedap sangat. Kunyah punya kunyah, tak perasan dah termakan 2 ekor puyuh. Yum Yum...




Thursday, March 22, 2012

Comics! (Edisi Mari Berhibur)

Hari ni saya nak tunjuk bakat saya buat comics. Harap anda semua terhibur. Lawak ni saya kutip daripada kursus yang saya hadiri baru-baru ini.



Tuesday, March 20, 2012

Step by Step... Super Moist Eggless Chocolate Cake

Sejak hobi mengekek ni, saya selalu kehabisan telur ayam. Kalau buat kek lapis, kurang-kurang guna 10 biji telur ayam. Jadi, apabila jumpa resepi yang tak pakai telur, rasa teruja nak cuba. Lebih-lebih lagi resepi dari dapur Dayang Jack ini tak pakai mentega tapi hasilnya super moist.




Suspense jugalah buat kek ni. Bukan sebab apa, sebabnya saya macam tak caya je boleh buat kek yang sedap tanpa letak telur. FYI, kek ini sangat mudah dibuat. Kejap je preparationnya. Masaknya pun tak lama, kiranya tak banyak songeh. Saya juga buat separuh adunan sahaja daripada resepi Dayang Jack. Cukuplah kan, kami ni 3 orang je kat rumah ni. Lagipun takut tak jadi, kang Mr. Hubby buat muka masam pula sebab terpaksa jadi DBKL.

Kebetulan pula, 2 hari lepas saya ada beli buah strawberry di Pasaraya Giant. Strawberry ni diimport dari Korea. Rasanya manis tak macam strawberry di Cameron Highlands yang menyebabkan muka saya berkerut-kerut semasa menguyahnya. Tapi tak setanding dengan strawberry US lah yang bersaiz besar, manis dan sedap yang amat!


Jadi, saya buat topping kek ni menggunakan coklat cair, buah strawberry dan kepingan badam. Wah, laku sungguh kek ini. Hasya dah makan 3 potong tau. Saya bawa 2 slices ke opis pun Hasya dah jeling-jeling. Hahahaha, selalu dia tak berapa minat dengan kek-kek yang saya buat. Makan sikit je, tapi yang ni memang persembahannya menggoda kot..

Bahan-bahan (kalau nak kek yang lebih tebal, sila gandakan sukatan)


1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
1/2 cawan serbuk koko
2 sudu besar susu tepung
1 1/4 cawan air sejuk (dari peti ais)
1 cawan gula perang
1 sudu kecil esen vanilla
1/2 sudu kecil coffee emulco atau chocolate emulco - optional
1/8 sudu kecil garam halus
1/2 cawan minyak masak sayuran atau minyak jagung atau mentega cair
1 sudu kecil cuka atau jus lemon

Cara-cara
Panaskan oven pada suhu 160C. Sediakan loyang kek (saya pakai 9 inci, sila guna yang lebih kecil untuk kek yang tinggi). Griskan dengan mentega. Jika ingin menggunakan paper cup pun boleh juga.
Ayakkan tepung bersama baking powder, soda bikarbonat dan serbuk koko di dalam bekas besar. Masukkan tepung susu, garam dan gula perang. Kemudian dikacau rata-rata.

Masukkan air sejuk, minyak masak, esen vanila dan coffee emulco/chocolate emulco. Kacau perlahan-lahan dengan whisk (saya guna mixer, tapi tak putar lama). Pastikan adunan tidak berketul.


Akhir sekali masukkan cuka atau jus lemon. Terus dikacau serta merta sehingga sebati tetapi jangan terlalu lama (ini pun saya guna mixer).



Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakar selama 25-30 minit atau hingga cukup masak. 




Sejukkan kek setelah masak. Boleh juga dihiaskan dengan topping kegemaran. Tapi biarkan kek sejuk dulu.



Saya cairkan 125gm coklat masakan, 15gm mentega dan 70ml susu segar (guna api kecil atau double boil). Lepas tu saya tuang atas kek, saya hiaskan atas kek dengan hirisan buah strawberry dan kepingan badam yang saya dah goreng tanpa minyak.



Cantik tak kek saya? Bukan sahaja cantik tau, rasanya pun sungguh SUPER MOIST!