Wednesday, November 17, 2010

Surat yang amat sedih



Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua warga dunia yang beragama Islam. Hari ini saya ingin persembahkan sebuah surat yang semua orang patut belajar menulisnya. Surat ini untuk menyampaikan berita-berita yang menyedihkan. Begini bunyi surat tersebut:


Kehadapan ayahanda dan bonda tercinta,

Apa khabar ayahanda dan bonda? Anakanda berharap dan sentiasa berdoa supaya ayahanda dan bonda sentiasa sihat walafiat. Alhamdullillah, anakanda ketika ini sihat setelah mengharungi pelbagai dugaan dalam hidup.

Seperti yang ayahanda dan bonda maklum, telah 6 bulan anakanda bertarung usaha di menara gading ini. Nampaknya bukan mudah untuk mengejar cita-cita anakanda untuk menjadi seorang ahli sains. Tambahan pula, selepas sebulan anakanda berada di USM Penang ini, blok kampus kediaman anakanda mengalami kebakaran yang agak serius. Kebakaran tersebut berlaku jam 11 malam. Nasib baik anakanda belum tidur lagi pada waktu itu dan segera anakanda cuba mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri.

Dalam keadaan kelam-kabut, panas, dan jeritan penghuni kampus, anakanda cuba keluar daripada bangunan tersebut menerusi tingkap bilik anakanda. Ketika cuba melompat ke bawah (bilik anakanda di tingkat 2), kaki anakanda disambar api. Syukur ada seorang pemuda yang menghulurkan bantuan segera kepada anakanda. Dia menghantar anakanda ke hospital berdekatan. Kedua-dua belah kaki anakanda melecur teruk akibat kejadian. Pemuda tersebut amat baik hati dan menemani anakanda setiap hari sehinggalah anakanda mampu berjalan semula tanpa bantuan.

Kami akhirnya sama-sama jatuh cinta. Malah, pemuda tadi mempelawa anakanda untuk menumpang di Apartmentnya yang terletak di Sungai Dua. Bonda, ayahanda, kerana rasa cinta yang mendalam antara anakanda dan si dia, kami telah membuat keputusan untuk bernikah. Justeru, anakanda mohon untuk membawa pulang si dia untuk bertemu dengan ayahanda dan bonda pada cuti semester yang bermula minggu depan.

Untuk pengetahuan ayahanda dan bonda, pemuda buah hati anakanda itu tidak bekerja dan baru dibuang oleh USM kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Kami juga menghadapi masalah kewangan yang teruk dan anakanda terpaksa menyara kehidupan kami berdua menggunakan duit PTPTN yang anakanda dapat.

Anakanda juga berharap ayahanda dan bonda jangan terkejut dan masih dapat menerima anakanda kerana anakanda sedang hamil 3 bulan hasil perhubungan dengan si dia. Anakanda masih belum membuat sebarang ujian darah yang anakanda rasakan amat perlu memandangkan pasangan anakanda ini positif dadah. Walau bagaimanapun, anakanda amat menyayangi si dia.

Sekarang, anakanda nak memberitahu informasi yang up-to-date kepada ayahanda dan bonda tercinta. Anakanda nak beritahu yang tiada kebakaran berlaku, anakanda tak melecur, tak masuk hospital, tak mengandung, tak bersedudukan dan tidak ada teman lelaki. Yang sebenarnya, anakanda nak sampaikan bahawasanya anakanda mendapat D untuk kertas "chemistry" dan F untuk kertas "maths".. Anakanda akan pulang pada minggu hadapan. Harap dapat terima anakanda seadanya.


Anakanda tercinta,
Liana


Liana menggunakan perceptual contrast untuk menyampaikan berita yang dia fail dalam kertas chemistry dan maths. Liana mungkin gagal dalam kertas kimianya namun patut diberi "A" untuk psychology. Teori: Cerita yang sangat buruk-buruk dulu, baru sampaikan berita yang sedih tu... enjoy....