Thursday, October 30, 2014

Biskut Krim Kracker Homemade (uli guna tangan!)



Pernah terfikir buat biskut krim kracker sendiri tak?

Saya tak pernah terfikir pun. Selama ni beli sahaja biskut lemak dan masin ni yang jenama Jacob atau Cap Ping Pong. Tak payah susah-susah nak buat. 

Namun, sekiranya krim kracker homemade yang dihasilkan adalah sedap dan mudah, apa salahnya mencubakan? 

Kebetulan pula, terjumpa blog Ummu Aidan Arissa. Katanya, tak rugi buat biskut ni, sebab biskut ni sangat sedap. Tapi, kerugian akan tetap melanda. Sebabnya, krim kracker homemade ni akan menambah lemak dan menjadi pemusnah diet. 

Alamak pemusnah diet? Ni yang tak nak dengar nih. Tapi tak mengapa, lepas makan biskut lemak masin yang rangup ini, sila lari 5km. 

Nescaya 1km berlari = 2 keping biskut (mari membuat pengiraan). Jadi, kalau lari 5km, anda boleh makan 10 keping biskut. Okaylah tu, jangan makan semua biskut dalam satu masa. Makan separuh je :D ahaks!



 
FYI juga, saya uli guna tangan! Sebabnya, saya malas giler nak keluarkan mixer hook. Lagipun, saya tengok macam tak susah je. Nasib baiklah memang tak susah, tak uli lama pun. Ala-ala je gitu. 

Satu hal lagi, Ummu Aidan buat whole wheat cracker (resepi asal memang guna tepung whole wheat), tapi saya dah alter resepi ni. Guna tepung gandum cap sauh biasa. Kat umah ni dah ada macam2 jenis tepung dah, takyah nak tambah tepung yang lain pula. 

Bahan-bahan (5 bahan je)

1 cawan tepung gandum
1/2sk garam 
2sb mentega
2sb minyak zaitun
1/4 cawan air ( mungkin tak guna semua)

Nota: (letak 1/2sk garam kalau guna mentega unsalted. kalau mentega biasa tu sila kurangkan kepada 1/4sk. Kalau nak rasa light je, takyah letak pun takpe).


Cara-cara

Panaskan oven 200 darjah celcius. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk dan uli guna tangan. Sampai adunan boleh dibulatkan macam dalam gambar. 



Lepas tu letak air, sikit demi sedikit. Kalau adunan tu dah boleh melekat macam bola dan sebati seperti gambar di bawah, kira dah siaplah adunan. Kalau air tu tak habis, tak mengapa.


dah sebati dan senang dibentuk


Ambil adunan dan canai. Saya canai atas baking sheet, jadi, tak le melekat. Kalau adunan anda melekat dan melekit (sepatutnya tidak, adakah anda terlebih air?), sila taburkan tepung di atas papan canai. 





Lepas canai nipis, potonglah adunan tersebut mengikut bentuk yang anda gemari. Kalau suka bentuk kereta, pun boleh buat (kalau terer atau ada acuan). Saya buat bentuk petak je. Dapat dalam 24 keping gitu. 

Yang tepi2 tak cukup sifat tu, saya kumpul dan canai semula.


Nota: Guna pizza cutter, lebih senang memotong. 

Watak protagonis penting dalam resepi ni

Susun atas dulang pembakar. Saya guna garpu untuk buat lubang-lubang pada doh ni. Biasalah nak feeling lebih macam buat biskut krim kracker Jacob.



Bakar 15 minit atau sehingga permukaannya sedikit perang. Yang saya buat ni dah just nice.



Saya juga cadangkan supaya canai doh ni dengan lebih nipis, saya punya tebal sikit. Masa doh ni atas dulang pembakar, dia mampatkan dirinya sendiri. Yang nipis, jadi gemuk sedikit. 


 
Apa-apapun rupa bentuk atau ketebalannnya, biskut ini memang berhantu. Masa baru keluar oven tu, kena pesan pada diri sendiri, udah-udahlah mengudap. Aroma biskut yang panas, berlemak dan masin... Perghhh.. 

Tapi, tapi dan tapi... Penat wooo nak lari 1km untuk setiap 2 keping biskut. 

Kalau makan sepiring ni, kena lari 12km..
Tak ke boleh semput dan putus urat jadinya?


For one cracker = 37 calories, 2.1 g fat, 4.0 g carbohydrates, 0.5 g protein, 0 g fiber, 57 mg sodium.

Akhir kata, menurut link asal, kalau biskut anda tak habis:

Store in a container at room temperature for a few days (if they last that long).

"If they last long"? Mak aihhh, biskut saya dah habis pun!

Sekian.

Saturday, October 25, 2014

Tauhu Goreng Kicap dengan Udang

Assalamualaikum.



Kepada sesiapa yang suka makan tauhu, bolehlah cuba masak Tauhu Goreng Kicap dengan Udang. Masakan ni memang senang dan sedap rasanya. Sesuai untuk dimasak kalau ada terasa sedikit malas. Sebabnya, masakan ni sudah dikira lauk yang lengkap, sebab dah ada kuah (sekalipun hanya kuah kicap), tauhu dan udang. Kalau terajin sikit, boleh goreng ayam, ikan atau pun telur. Dah sedap sangat dah tu.. 

Oleh kerana masakan ni simple, maka tak le saya post foto step-by-step.. Anda juga boleh tambah bahan ikut kretiviti contohnya tambah lobak merah. 

Bahan-bahan

Tiga keping tauhu keras (potong 6 bagi setiap keping)
5-6 ekor udang
sedikit daun kucai (hiris)
2 ulas bawang merah (hiris)
1 ulas bawang putih (cincang)
1cm halia (hiris)
1 batang lada merah (hiris)
3sb kicap manis
 1sb sos tiram
sedikit air (ikut naik kuah cair atau pun tidak)
sedikit lada sulah
1/2sk gula
garam secukup rasa

garam dan serbuk kunyit untuk digaul dengan tauhu


Cara-cara

Gaul tauhu dengan garam dan serbuk kunyit. Goreng tauhu tapi tak perlu sampai garing. Ketepikan.

Panaskan 2sb minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan lada merah sehingga naik bau. Masukkan kicap, sos tiram dan udang. Kalau suka kuah banyak, tambahlah sedikit air. Kacau sehingga udang masak. Masukkan lada sulah dan gula serta garam secukup rasa. Akhir sekali masukkan tauhu dan daun kucai. Kacau sekata.



Dah siap, senang je kan.

Sekian. 

Monday, October 20, 2014

Roti Lembut Gebu & Simple Lagi

Kalau ikutkan mood, saya memang malas nak menaip hari ni. Sebabnya, saya nak berehat, makan dan tidur sahaja. Tapi, apabila login di blog hari ni, tiba-tiba hati saya jadi gembira. 

Sebabnya, Total Pageviews di blog marhaen dan tidak seberapa ini, sudah mencecah angka 1.5 juta! 

Ya, 1.5 juta gitu... Maksudnya, ramai jugalah yang baca blog ni. Meskipun jumlah Pageviews tersebut tidaklah semeriah blog-blog otai-otai masakan yang lain seperti Mat Gebu dan Azlita. 

Eh, kenapa pula saya buat perbandingan dengan mereka ek? Saya ni bukan blogger masakan, tapi blogger makanan. Eh bukan! saya bukan blogger masakan atau makanan, blog yang sedang anda baca ini adalah blog caca-marba.. Itulah sebab, nama yang diberi `Life is Colorful', macam-macam warna gitu. Blog suka-suki hati :)

Maka, oleh kerana saya gembira, saya nak kongsikan satu percubaan yang baru sahaja dibuat semalam. Resepi Roti Lembut Gebu & Simple Lagi. Roti ni memang simple sebab tak remeh bahan-bahannya. Dahlah tak payah nak buat water roux, tak pakai bread softner dan bread improver pula tu. 



Meskipun demikian, hasilnya tetap Lembut dan Gebu. Dapatnya pun banyak. Boleh buat macam-macam jenis roti. kalau tak habis, boleh simpan dalam bekas kedap udara atau peti sejuk. Kalau nak makan, panaskan dalam ketuhar mikro. Terus jadi panas, lembut dan gebu semula. Magic gitu....



Resepi ni saya ambil dari blog Dapur Mas. Kalau nak uli guna tangan, bolehlah jenguk blog dapur mas, sebab Puan Mashitah uli doh guna tangan. Katanya, resepi ini dari sumber fb Anie Japri. Terima kasihlah pada Mashitah dan Anie ye. 


Bahan-bahan (simple sebab sikit je bahan)

500gm tepung roti (high protein)
250ml air sejuk peti ais  
1 biji telur
30gm susu tepung
80gm mentega
1sk garam
85gm gula
1 paket yis (11gm)


Cara-cara

Masukkan bahan-bahan cecair dalam breadmaker. Masukkan bahan-bahan kering. Pilih fungsi menguli. Doh akan naik selepas selesai menguli.

hampir melimpah keluar

Keluarkan doh. Uli sekejap guna tangan. Lepas tu bentuklah apa jua bentuk roti yang anda suka. 



Saya bahagikan doh kepada 2 bahagian. Satu bahagian saya buat roti cheese kosong. Saya bentukkan bulat, 9 bun. Jangan lupa, jarak-jarakkan doh sebab nanti dia naik, 2 kali ganda.



Satu bahagian lagi saya bahagikan jadi 11 bun. Doh kecil-kecil tersebut saya letak sosej dan crabstick di tengah-tengah.



Kemudian saya biarkan sehingga doh naik sekali ganda (30-40 minit). Saya taburkan cheese (mozarella dan parmesan)  dan gula pada permukaan bun cheese. Saya pipekan sos cili dan mayonis pada bun sosej dan crabstick.




Panaskan oven 160 darjah. Bakar 20 minit atau sehingga permukaan roti kuning perang. jangan sampai hangit sudah. Biarkan beberapa minit lebih masa kalau roti anda warnanya tak cukup cantik.



Roti-roti yang lembut dan gebu.

Lihatlah teksturnya

Sebiji sudah kumakan

Bun-bun yang comel


Breakfast pagi ni.



Sekian.  

Sunday, October 19, 2014

Muffin Coklat

Assalamualaikum...



Muffin Coklat juga jadi pilihan hati saya sebagai buah tangan untuk dibawa pulang ke kampung semasa sambutan Hari Raya Aidiladha yang lepas. Istimewanya Muffin Coklat ini ialah budak-budak amat menyukai muffin ini. Oleh kerana saya buat saiz kecil (cup 38 X 30mm ), jadi budak-budak boleh makan 3-4 biji muffin pada satu-satu masa. 

Justeru, meskipun adunan ini akan dapat banyak muffin, budak-budak dan ibu bapa mereka juga akan cepat menghabiskan muffin-muffin ini. 



Rasa Muffin Coklat ini sedap dan penuh rasa coklat. Nak buat pun senang. Saya ambil resepi ni dari blog izahdaut. Saya nak bagi backlink, tapi tak tahu kenapa blog izahdaut hari ni macam ada problem, asyik keluar iklan je. Alternatifnya, saya bagi backlink untuk Kak Nor Secubit Garam (saya copy paste dari sini, tapi saya ikut cara-cara izah) yang juga gunakan resepi yang sama.

Bahan-bahan

A
2 cawan tepung *izah gune tepung gandum
1 1/4 cawan serbuk koko *izah letak 1 cawan
2 sudu kecil baking powder
2 sudu kecil soda bikarbonate 
3 sudu teh nescafe
sedikit garam

B
2 cawan gula kastor *izah kurangkan sikit
1 cawan minyak masak
1 cawan susu cair (atau susu segar)
3 biji telur
1-2 sb oren sunquick * izah tambah

C
3/4 cawan air panas

Cara-cara

Campurkan semua bahan-bahan B dan letak ketepi.



Ayakkan tepung bersama serbuk koko, baking powder dan soda dan campurkan semua bahan A di dalam mangkuk besar.



Masukkan bahan B ke dalam A dan kacau rata. 
Kemudian akhir sekali masukkan air panas ke dalam adunan tadi dan gaul rata. (jgn overmix).



Ceduk ke dalam muffin cup. Letak hiasan seperti kacang atau coklat cip.


2 in 1. Cara-cara membaking sambil menjaga baby :D


Bakar pada suhu 175 C selama 20 minit. Muffin akan naik. Sila cucuk guna lidi kalau tak yakin.



Muffin sejuk, baru baru simpan dalam bekas kedap udara.

Muffin dah siap. Baby masih begitu juga, tak tidur... hehehe

Here you go... 

Selamat mencuba!

Tuesday, October 14, 2014

Butter Cake Polkadot (dot.. dot.. dot) sesi bermain dengan corak

Assalamualaikum..



Kadang-kala saya memang suka menghasilkan sesuatu yang kononnya cantik atas dasar kreativiti. Terutamanya apabila mood dan idea inovasi tersebut datang dengan tidak semena-mena. Selalunya mood dan idea ini akan muncul dengan jiwa dan semangat yang rajin. Justeru, inovasi yang terilham akan menjadi kenyataan. 

Maka apabila idea inovasi muncul, haruslah saya menterjemahkan idea tersebut menjadi realiti. Bahan yang menjadi mangsa kali ini ialah Butter Cake atau Kek Mentega. Rasanya, dah ramai my gorgeous readers & my lovely followers yang dah cuba resepi Kek Mentega Moist yang awesome ni. Akmaklum, resepi simple, sedap dan Less is More kan?   

Justeru, entry ini hanya untuk menayang versi Polkadot sekiranya anda bosan dengan versi marble dan si tompok-tompok seperti Moo Moo Cow itu. Resepinya sama je macam resepi kek mentega sebelum ni cuma kita main dengan warna dan corak. Sedikit serbuk koko juga supaya kek ini jadi marble coklat gitu hehehehe...

Cik Polka sedang beraksi



Bahan-bahan 

(A)

250 GM mentega
170 GM gula kastor
210 GM tepung gandum
1 sk baking powder

(B)

5 biji telur
1/2 sk esen vanila

Tambahan: 1 1/2 sb serbuk koko dan pewarna merah jambu


Cara-cara

Masukkan semua bahan-bahan A dalam mangkuk. Putar sehingga sebati. Masukkan satu persatu telur dan esen. Putar sebati. Telur terakhir jangan putar lama sangat, cukuplah 3-4 minit je. 



Bahagikan adunan kepada 2 bahagian, masukkan serbuk koko pada salah satu adunan. Satu adunan lagi letak pewarna merah jambu. Gaul sebati. 



Gunakan loyang yang telah disapu mentega atau lapik dengan kertas baking. gunalah loyang apa sahaja yang anda suka, tapi jangan saiz yang besar sangat, cukuplah yang 8 atau 9 inci (untuk loyang bulat). Masukkan adunan ke dalam plastik piping dan lepas tu pipekan seperti di bawah:












Panaskan oven suhu 160 darjah. Bakar kek selama 50-60 minit. Sila cucuk guna lidi kalau takut kek tak masak. 

Cik Polka di dalam oven

Cik Polka sudah masak


Hasilnya.. si dot dot dot...

Cik Polka sedang tersenyum

Cik Polka dalam Tupperware


Sekian. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...