Sunday, April 27, 2014

Pau Kacang Merah & Kari Daging (Versi Mudah & Kurang Bahan)

Sebelum ni saya pernah post entry Step-by-step buat Pau. Resepi sebelum ni memang lembut, gebu dan sedap. Ingatkan hari ni nak guna resepi yang sama. Sekali tengok, takde stok shortening kat dalam peti sejuk. Aiseh, hampir terbantutlah niat nak buat pau. 



Oleh yang demikian, saya cuba jugalah google resepi-resepi lain. Manalah tahu, kalau terjumpa resepi pau yang tak guna shortening. Dan, tetiba je terjumpa masa blogwalking di dapur Mat Gebu. Maka, saya cuba jelah buat pau versi ni. FYI, saya tak guna apa-apa mesin pun, semuanya uli sendiri guna tangan. Sebabnya, saya malas nak keluarkan BM ataupun mixer hook hehehehe. 

Hasilnya memuaskan hati. Seperti biasa, Pau Kari Daging memang mendapat sambutan yang tinggi di rumah saya ni. Kejap je habisnya. Pau Kacang Merah agak slow sedikit. 

Versi pau ini boleh digunakan kalau anda tak cukup bahan. Kalau cukup bahan, gunakanlah versi yang saya buat sebelum ni kerana nescaya hasilnya lebih gebu, lembut dan lazat. 

Bahan-bahan (hasilkan 15 biji pau)

500gm tepung pau
1/2 cawan gula halus (kastor)
1/4 cawan minyak jagung
1 1/4 cawan air
6 gm instant yis (lebih kurang 2sk yis mauripan)

Inti

Kacang merah, saya beli yang dah siap. Inti Kari Daging saya buat macam inti karipap. Guna daging, kentang, serbuk kari daging, bawang, halia dan masak sampai agak kering. 



Cara-cara

Satukan gula dengan air dalam mangkuk. Kacau hingga gula larut.



Dalam mangkuk lain, gaul yis dengan tepung. Selepas tu tuang minyak, dan gaul sebati. 


Hasil dah digaul dengan yis dan minyak


Tuang bancuhan air + gula tadi (sedikit demi sedikit), gaul sehingga mendapat doh yang tak melekat di mangkuk. Rehatkan doh dalam 15 minit.



Selepas tu keluarkan doh dari mangkuk, uli seketika. Kemudian, bahagikan doh lebih kurang 65gm setiap satu. Jadi, akan dapat lebih kurang 15 biji. 



Leperkan doh. Masukkan inti. Kemudian tutup doh semula, rapi-rapi. Bahagian bawah, boleh letak paper cup saiz besar. Kalau takde, letaklah potongan kecil kertas minyak. Saya juga titikkan sedikit warna supaya dapat bezakan inti pau. 






Rehatkan doh dalam 30-40 minit. Biar doh naik cantik. Panaskan air dalam periuk kukus dan kukuslah pau anda (api besar) dalam 10-15 minit.



Pau yang panas wajarlah dimakan semasa panas:)



Inti Kacang Merah

Inti Kari Daging


Sekian.

Saturday, April 26, 2014

Pedal & Hati Goreng Cili Kering



Pertamanya, saya nak beritahu yang resepi ni adalah resepi keluarga Puan Ramona. Keduanya, saya nak beritahu, Puan Ramona ialah rakan saya dari sekolah rendah lagi. Ketiganya, resepi ni sangat simple bahan-bahannya, namun mempunyai rasa yang sangat sedap. Keempatnya, terima kasih tak terhingga Puan Ramona, kerana sudi berkongsi resepi ini dengan saya dan izinkan pula saya mengongsikan resepi ini bersama orang lain. 

Sekiranya anda suka lauk berkuah dan berempah, ini bukanlah resepi yang anda cari. Namun, kalau anda mahukan resepi yang bergoreng, kering, mudah dan lazat, maka ini adalah resepi `must try' untuk dimakan panas-panas dengan nasi putih. FYI, selain daripada pedal dan hati ayam, menurut Puan Ramona, resepi ini juga boleh menggunakan paru lembu (lebih lazat katanya), daging dan juga kulit ayam. 

Diingatkan juga, Puan Ramona tak beri saya timbangan tepat dalam metrik, justeru, saya agak-agak je. makanya juga, kepada sesiapa yang pernah merasa resepi Puan Ramona ini, harap maaflah sekiranya sukatan saya ini tidak menghasilkan rasa yang tepat seperti mana air tangan Puan Ramona. Namun, insya-Allah, sukatan yang saya berikan ini agak-agak cukup rasa dan pada tahap yang sedap serta memuaskan hati. 


Bahan-bahan

5 keping hati ayam & 5 keping pedal
8 tangkai cili kering (kalau tak suka pedas, kurangkan sedikit)
sebiji bawang merah besar (kalau bawang tu besar sangat, guna separuh je) - hiris.
2 ulas bawang putih - hiris
garam dan gula secukupnya (mesti rasa masin dan juga ada rasa manis sedikit)
Minyak untuk menggoreng 


Cara-cara

Rebus hati dan pedal ayam sehingga agak masak. Toskan dan kemudiannya potong kecil (jangan kecil sangat, kalau pedal tu potong 4-5 hiris).




Gunting serong cili kering. Rendam dalam air panas. Cuci, buang biji dan toskan.



Gaul hati dan pedal dengan sedikit garam. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng hati dan pedal. Sila berhati-hati beberapa percikan minyak mungkin berlaku. Goreng agak-agak je, tak perlu sampai garing sangat. Tos dan ketepikan.



Panaskan 2 sudu besar minyak (saya guna minyak lain). Tumis bawang merah dan bawang putih dalam 5 minit. Lepas tu masukkan cili kering dan goreng sehingga hampir garing.



Masukkan hati dan pedal. 



Masukkan garam dan gula secukup rasa (mesti rasa masin dan manis ye). Gaulkan sehingga sebati. Dah siap, boleh tutup api.



Sila makan masa tengah panas. Cili kering dan bawang tu pun boleh dimakan kecuali kalau tak makan bawang yang besar-besar macam saya.





Sekian.

Sunday, April 20, 2014

Bun Kacang Merah (Bentuk Bunga)... Step by Step



Hari ni apabila keluarkan breadmaker, memang kena lap habuk-habuk dulu di sekitar BM tu. Ini memang kes dah berbulan tak meroti. 

Memang ada juga perasaan nak meroti, tapi saya memang malas. Bila tengok member-member meroti di FB, ada la juga rasa motivasi sikit. Tapi rasa motivasi tu kemudian akan terpadam sebab malas dan sibuk. 

Nampaknya, akibat terbeli `Red Bean Paste' di Kedai JADI semalam, mood rajin tiba-tiba datang semula. Ini adalah masa terbaik untuk menghasilkan Red Bean Bun yang dah lama menjadi impian. almaklum, sekian lama cari Red Bean Paste ni, tapi tak terjumpa-jumpa.



Penat menggoogle juga, akhirnya saya guna resepi Cik Mat Gebu di MyResepi. Meskipun CMG buat bentuk bun biasa, tapi saya percaya yang bun ini boleh jadi bentuk bunga. Kita yang buat kan, kalau kreatif, bentuk kapal pun tentu boleh hehehehe..



Bahan-bahan

120ml air
250gm tepung roti
30gm telur (sebiji saiz sederhana)
10gm susu tepung
40gm mentega
40gm gula kastor
1/2sk garam
1sk yis (mauripan)
1/2sk bread improver & 1/2sk bread softner (optional)


Bahan-bahan lain
Inti kacang merah secukupnya
Mentega untuk disapu pada permukaan roti.
Sedikit bijan - saya tambah


Cara-cara

Masukkan kesemua bahan mengikut turutan kecuali "BAHAN-BAHAN LAIN", ke dalam bread maker. Pilih setting utk doh dan on kan. Tunggu sampai siap.

sebelum

selepas


Keluarkan doh dan tumbuk utk membuangkan udara. Bahagi 12 dan bulat-bulatkan. Rehatkan 10 minit.




Inti kacang merah tu saya minta Hasya bulat-bulatkan. Supaya lebih kurang sama saiz.



Bolehlah tahan


Leperkan sedikit doh. Letak inti kacang merah dan bulatkan semula doh.




Susun atas loyang pembakar (gris loyang dengan sedikit mentega dulu). Dan leperkan sedikit doh bun tadi sekali lagi. Kali ni sebab nak potong-potong bentuk bunga. Lepas potong-potong (guna pisau), tabur sedikit bijan di tengah-tengah.


Kalau kreatif, boleh potong lagi cantik



Kemudian biarkan naik sekali ganda (lebih kurang 35 minit). Bakar dalam oven yg telah dipanaskan pada suhu 180C selama 12 minit. 

Nota: Saya bakar 10 minit sebab takut roti jadi keras.

Dah siap


Keluarkan dan sapu mentega pada permukaan roti ketika roti masih panas. Boleh dimakan dengan yummynya.



Bunga-bunga yang sedap dimakan.


Last Piece


Sekian.

Saturday, April 19, 2014

Resepi Simple Kanak-Kanak.. Macaroni & Cheese



Masa di US dulu, Hasya suka sangat makan Mac & Cheese. Dan saya tak pernah buat Mac & Cheese sendiri.  Sebabnya, tak sukar nak dapatkan Mac & Cheese yang dah siap di restoran-restoran. Paling mudah, beli sahaja di KFC. 

Nampaknya, sejak balik Malaysia (rasanya dah hampir 4 tahun), Hasya memang tak merasa nak makan Mac & Cheese. Nampaknya juga, kalau nak makan Macaroni & Cheese ni, terpaksalah saya buat sendiri. Rasanya macam tak susah. Jom lihat bahan-bahan.  

Bahan-bahan (2-3 orang)

100 gram Macaroni
30gm butter
15gm tepung gandum
1/4sk garam
Sedikit serbuk black pepper
1 cawan susu segar
1 cawan parutan keju cheddar 

Nota: Mac & Cheese KFC di US pakai American Cheese (cheddar) kaler oren. Jadi hasilnya pun kaler keemasan gitu.

Cara-cara

Rebus macaroni sehingga lembut (sesuai untuk dimakan). Tos dan ketepikan. 



Panaskan butter dalam periuk. Masukkan tepung gandum, garam dan black pepper. Gaul.



Masukkan susu sedikit demi sedikit dan kacau sebati.



Masukkan keju dan kacau sebati sehingga keju cair. Kalau keju tak cair dan adunan makin kering, boleh tambah air sedikit.



Masukkan macaroni. Gaul sebati. Tutup api.



Sudah siap dan boleh dihidang.



Makanan kakak dan adik. Kakak memang suka sangat. Adik kurang sikit sebab adik tak berapa suka makan keju yang berkrim. Nampaknya, Khayra kurang International hehehehe. 

Sekian. 

Mencari Acuan Biskut Lidah Kucing

Memang dah lama saya tak membaking. Oleh yang demikian, ada banyak resepi-resepi baru yang saya belum pernah cuba. Dan akhir-akhir ni timbul keinginan nak mencuba resepi biskut Lidah Kucing. Malangnya, keinginan tidak kesampaian kerana saya tidak punya acuan. 

Meskipun ada blogger-blogger yang berjaya menghasilkan biskut ini tanpa acuan sebenar, namun saya lebih suka kalau mencuba dengan acuan yang tepat. Almaklum, biarlah saiznya sama dan ketebalannya juga sama. Teringin sungguh nak hasilkan biskut berwarna-warni yang dikatakan rangup oleh ramai blogger.

Apabila menjenguk ke blog Kak Wan (citarasawan), ada beberapa jenis pula perisa Biskut Lidah Kucing ni. Rupa-rupanya, biskut ini bukan sekadar yang versinya seperti pelangi, malah ada perisa keju dan perisa coklat. Justeru, niat mencari acuan semakin kukuh di dalam hati.

Pencarian saya bermula di Bake With Yen, Puchong. Mungkin saya tidak bernasib baik, acuan tersebut tidak ada di kedai ini.  Mungkin kerana ketiadaan stok. 

Dan kemudiannya saya cuba mencari acuan ini di sebuah kedai Pembekal Bahan-bahan Bakery `JADI'. Ini kali pertama ke sini. Dan... acuan berjaya ditemui.

Acuan Lidah Kucing


Paling menarik rupa-rupanya ada pelbagai acuan `kucing' yang dijual. Bukan hanya Lidah kucing, malah ada Hati Kucing dan Mata Kucing.

Hati Kucing

Mata Kucing


Terima kasih `JADI'. Banyak juga tau bahan-bahan bakery yang dijual di sini. Harganya pun ok. Owner dia pun mesra. 

Foto ni saya ambil dari Website JADI

Ada banyak stok bahan-bahan yang halal. Pembelian atas RM50, boleh guna kad kredit. Lain kali boleh datang sini lagi.


Alamat: No.5 & 7, Jalan Puteri 5/20, Bandar Puteri, 47100. Telefon: 03-8061 5234.



p.s.: Aiseh, balik rumah baru perasan yang mentega pulak takde. Kena pergi beli mentega dulu, baru boleh mula projek Biskut Miaw miaw nih :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...