Tuesday, September 27, 2011

Masinnya popcorn itu!


Kalau sebut tentang `popcorn', kita selalu membayangkan popcorn yang lazat dan semestinya manis. Kalau ke panggung wayang, kita boleh dapatkan popcorn caramel. Ada ke popcorn masin? Nak ke orang Malaysia makan popcorn masin? Hehehehe...

Saya adalah salah seorang peminat popcorn. Kalau tengok movie, lagi syok kalau makan popcorn caramel. Bila kunyah popcorn yang bersalut caramel, rasa macam melt je caramel tu dalam mulut.

Yang anehnya, semasa di US, popcorn yang dijual di panggung wayang tidaklah manis rasanya. Sebaliknya, mat salleh dan minah salleh US gemar menjamah popcorn yang MASIN! Popcorn yang dijual di movie theater mereka, disalut garam dan mentega.

Tentunya, saya tidak tahu perbezaan ini pada awalnya. Apabila saya lalu di hadapan kedai popcorn di US, aroma butter popcorn tersebut benar-benar menusuk ke hidung dan kalbu. Automatiknya, langkah saya semakin menghampiri kedai menjual popcorn tersebut.

Saya: Nak beli popcornlah.

Kawan saya: Tapi, popcorn kat sini masin tau.

Saya: Masin? Bukan manis?

Kawan saya: Takde gulapun, memang masin.

Saya: Hmmmm (nada tak puas hati)

Kawan saya: Kalau nak yang manis, kena cari yang tulis kettle corn. Kat movie theater selalunya takde jual.

Oleh kerana rasa tidak puas hati dan aroma wangi butter popcorn yang memanggil-manggil, saya nak juga beli popcorn tu. Maka kawan saya pun tak kata apa-apalah atau mungkin dia malas nak kata apa-apa.

Saya pun belilah popcorn tersebut. Apabila bungkusan popcorn sudah ada di tangan, tak sabar-sabar nak merasa kelazatannya. Dan..... apabila dikunyah, gigitan pertamapun dah terasa kemasinannya. Arghhh, masin, masin masin. Rasa ada yang tak kena je makan popcorn masin. Oleh itu, tak abislah butter popcorn tersebut.

saiz kettle corn yang besar

Memang betul kata-kata kawan saya tu. Kalau nak popcorn yang manis, kena cari yang tulis `Kettle Corn' (seperti gambar di atas). Bukan semua tempat ada jual, selalunya di pesta-pesta (macam funfair) dan taman tema. Kalau beli popcorn dalam kotak (balik umah letak dalam microwave), kena pastikan ada tulis perkataan `sweet'. Kalau tak, memang masin ler jawabnya.

Hubby dengan Hasya tengah beratur beli Kettle Corn

Oleh kerana saya dan Hasya memang suka makan popcorn, maka kettle popcorn menjadi snack wajib untuk dibeli sekiranya pergi ke taman tema atau funfair. Gambar di atas, hubby kena paksa beratur beli kettle corn. Itulah sahaja peluang untuk merasai popcorn yang manis dan lazat...

Makan Popcorn di Malaysia

Apabila pulang ke Malaysia, saya lebih cenderung untuk menikmati snack2 yang lain (dah 2 tahun tak jumpa!). Walau bagaimanapun, hasya masih sangat suka dengan popcorn. Bezanya kali ini, saya dah tak teragak-agak untuk membeli popcorn. Saya tak perlu bertanya "Masin ke manis popcorn ni?" hehehehe... :)

Thursday, September 15, 2011

Tenggelamnya Repulse & Prince of Wales




Semasa di sekolah menengah, saya dan anda semua belajar tentang zaman kolonialisme dan kependudukan Jepun di Tanah Melayu. Maka, nama dua buah kapal British iaitu `Repulse' dan `Prince of Wales' ada tercatat dalam buku teks sejarah.


Saya pasti, anda semua ingat atau macam ingat-ingat lupa tentang dua kapal British ini. Ingat atau tidak, sebenarnya dua kapal ini adalah satu fakta sejarah yang kita semua patut tahu kerana ia melibatkan permulaan kemenangan besar-besaran Jepun menduduki Tanah Melayu.


Pearl Harbor


Fakta:


Sejarah `The Sinking of Repulse & Prince of Wales' berlaku semasa Perang Dunia Ke-2. Permulaan perang tercetus apabila Pangkalan Tentera US di Pearl Harbor diserang oleh tentera udara kamikaze Jepun pada Disember 7, 1941. Anda boleh menonton filem `Pearl Harbor' version Hollywood yang dilakonkan oleh dua aktor tampan iaitu Ben Affleck dan Josh Hartnet (hensem) untuk mengimbas kembali tragedi Pearl Harbor ini.


Jepun melancarkan serangannya ke Tanah Melayu pada 8 Disember 1941. Meskipun bunyinya seperti sehari selepas serangan ke atas Pearl Harbor tetapi sebenarnya tarikh pelancaran serangan Jepun adalah adalah lebih kurang sama. Sebabnya, waktu di US yang lambat 12-13 jam daripada waktu di negara-negara Asia Tenggara. Jadi, kesimpulan yang saya buat adalah, Jepun memang melancarkan serangan secara intensif dan serentak untuk memulakan World War II.


Jepun mendarat di Pantai Padang Pak Amat (Kota Bharu) sejurus selepas tengah malam 8 Disember 1941. Pada 9 Disember 1941, Jepun berjaya menawan 3 lapangan terbang di utara tanah air iaitu Sungai Petani (kampung saya), Butterworth dan Alor Star.


British yang mengalami kekalahan awal untuk mempertahankan negeri-negeri Melayu di utara tanah air telah menghantar dua buah kapal perang mereka `Repulse' dan `Prince of Wales' untuk mempertahankan tanah melayu dan semestinya Singapura yang menjadi tapak pelaburan utama British di Asia Tenggara.




Malangnya pada 10 Disember 1941, kedua-dua kapal tempur ini dibedil oleh tentera udara Jepun sebelum sempat mendarat di Kuantan iaitu ketika masih di perairan Laut China Selatan. Sebabnya, kedua-dua kapal perang ini tidak diiringi oleh tentera udara British. Maka, tenggelamlah dua kapal perang ini yang mengorbankan 840 tentera Kuasa Bersekutu (513 Repulse dan 327 Prince of Wales).




Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill terlebih dahulu mengumumkan penghantaran dua buah kapal tersebut untuk menjaga kepentingan British di Asia Tenggara daripada serangan tentera Paksi. Akibatnya, Admiral Jepun, Isoroku Yamamoto telah mengatur serangan ke atas kedua-dua kapal tersebut yang akhirnya membawa kejayaan besar ke atas kependudukan Jepun di Tanah Melayu.


Langkah Jepun menyerang Pearl Harbor beberapa hari sebelum itu memang bijak kerana US tidak mampu untuk menghantar bantuan kepada rakan sekutu mereka untuk mempertahankan negara-negara di Asia Tenggara. Serangan Jepun ke atas Pearl Harbor menyebabkan 8 buah kapal perang US tenggelam dan musnah.


Keesokan harinya, Winston Churchill (ketika di bilik tidur) menerima panggilan telefon daripada Sir Dudley Pound (First Sea Lord):


Winston Churchill



Pound: Perdana Menteri, saya ingin melaporkan bahawa Prince of Wales dan Repulse telah ditenggelamkan oleh Jepun, kami rasa menggunakan tentera udara. Tom Phillips (admiral/komander perang) turut tenggelam.


Churchill: Adakah kamu pasti berita ini benar?


Pound: Saya pasti tanpa sebarang keraguan.


Dan Churchill meletakkan telefon.


"Dalam perang-perang yang pernah saya lalui, saya tidak pernah menerima kejutan seperti ini...Apabila saya berpaling di atas katil, berita tenggelamnya kedua-dua kapal tersebut menghantui saya. Tidak ada kapal British atau Amerika di Lautan Hindi atau Pasifik kecuali yang terselamat daripada Peral Harbor yang mana ketika ini sedang bergegas pulang ke California. Dengan ini kekuatan Jepun di laut amatlah hebat, dan kami (tentera bersekutu) amat lemah serta tidak berpakaian." (Churchill).


Semoga info di atas dapat mengembalikan ingatan kita tentang sejarah negara.

Wednesday, September 14, 2011

The Alamo & Bukit Kepong





Apakah persamaan antara The Alamo dan Bukit Kepong?


PERSAMAAN TARIKH

Persamaan yang ketara adalah tanggal 23 Februari menjadi titik bersejarah dan berdarah bagi kedua-dua kawasan tersebut. Bukit Kepong, Muar menjadi `Padang Jarak Padang Tekukur' pada 23 Februari 1950. Manakala peristiwa berdarah di The Alamo, Texas berlaku pada 23 Februari 1836.

PERSAMAAN PERISTIWA

Selain daripada tarikh, persamaan seterusnya adalah kedua-dua kubu bersejarah ini dikepung oleh tentera yang lebih besar dan berlakunya pertempuran berdarah dan tragis untuk mempertahan kubu masing-masing. Di Bukit Kepong, sejumlah 200 anggota komunis mengepung dan menyerang Balai Polis Bukit Kepong bermula jam 4.15 pagi untuk menawan balai polis berkenaan. Ketika kejadian, pasukan polis terdiri daripada 25 anggota yang berjuang sehingga ke titisan darah mereka yang terakhir. Dalam kejadian, 17 anggota polis dan hampir 40 komunis terkorban.


Perang The Alamo tercetus apabila rakyat Texas mahu negara yang berasingan daripada Mexico. Mereka perjuangkan Republic of Texas. Sama senasib dengan Bukit Kepong, ramai Tentera Revolusi Texas yang terkorban kerana jumlah mereka yang jauh lebih kecil (260 tentera) daripada Tentera Mexico (2,400 orang). Tambahan pula, mereka kehabisan peluru, sama seperti yang berlaku di Bukit Kepong.

PERBEZAAN TEMPOH

Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan antara kedua-dua peristiwa iaitu daripada segi tempoh pertempuran. Bukit Kepong berjaya ditawan oleh Komunis selepas 5 jam bertarung. Manakala The Alamo mengambil masa selama 2 minggu (23 Feb-6 Mac 1836).

Di hadapan kubu The Alamo, Texas


Ketika mengunjungi `The Alamo' di San Antonio, Texas, saya mendapati pengunjung-pengunjung yang datang rata-ratanya menghormati dan menghayati perjuangan Tentera Revolusi ini. Ketika memasuki kubu The Alamo tersebut, pengunjung yang memakai topi, akan diminta untuk menanggalkan topi yang dipakai, sebagai tanda hormat.

Bagaimanapun, saya belum pernah sampai ke Bukit Kepong sekalipun saya pernah menjejakkan kami di sekitar Muar dan Pagoh. Rasanya tidak lengkap penulisan saya ini kerana saya tidak dapat membezakan suasana hari ini antara The Alamo dan Bukit Kepong.

Mungkin Bukit Kepong perlu dijadikan tapak sejarah seperti mana yang dibuat oleh The Alamo. Kenapa kita harus mempromosikan secara besar-besar `Kota A'famosa' sedangkan perjuangan yang harus disanjung tinggi adalah perjuangan yang melibatkan pahlawan-pahlawan tanah air dalam memperjuangkan kedaulatan negara.

Sekiranya ada peluang, saya ingin sekali mengunjungi Bukit Kepong, Insyaallah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...