Monday, February 28, 2011

Kenapa Surat Layang?



Tiba-tiba saya rasa ingin menulis tentang surat layang. Sebelum saya tulis lebih panjang, saya nak menyatakan pendirian saya tentang surat layang yang mana sedaya-upaya saya akan cuba untuk mengelak daripada menulis sepucuk surat layang.


Mengapa saya tidak mahu menulis surat layang? Pertamanya, kerana saya percaya "what goes around comes around". Saya tidak mahu orang lain membuat surat layang mengenai saya atau perkara-perkara yang saya "mungkin" terajui satu masa nanti. Saya lebih suka jika mana-mana individu mengemukakan ketidakpuasan hati mereka dengan menggunakan saluran yang betul. Justeru, saya akan sediakan saluran supaya perkara-perkara berbangkit akan dapat didengar.

Yang mana boleh diperbaiki, apa salahnya kita ambil perhatian kerana tidak rugi mendengar aduan orang lain. Orang yang tidak menerima aduan itu adalah orang yang bodoh sombong dan terlupa untuk muhasabahkan dirinya sendiri.


Maka, Kenapa Surat Layang? Jawapannya cukup mudah. Pada pendapat saya, surat layang dilayangkan oleh penulisnya kerana 2 perkara utama: 1. Tiada saluran dan 2. Faktor keselamatan.


Saya tidaklah mahu menyokong orang-orang yang menulis surat layang (seperti sebab-sebab yang telah saya nyatakan). Tetapi tidaklah pula saya mahu "membenci" orang-orang yang menulis surat layang tadi. Ini bergantung kepada keadaan dan punca individu ini menulis surat tersebut.

Tiadanya saluran memang menjadi faktor utama. Pihak-pihak tertentu kadang-kala boleh menjawab, "Siapa kata tidak ada saluran? Kita ada saluran!" Tapi berkesankah saluran-saluran tersebut? Terjaminkah keselamatan dan kerahsiaan identiti individu yang menulis?


Terus-terang pendapat saya: TIDAK BERKESAN DAN TIDAK TERJAMIN. Janganlah marah pula dengan pendapat saya kerana ini pendapat peribadi. Lagipun, ini blog saya, jadi suka hati saya nak tulis apa hehehe... Oleh kerana itu, saya berpendapat, sudahlah aduan yang dibuat tidak berkesan (menggunakan saluran-saluran yang ada sekarang), malah boleh menyebabkan keselamatan tidak terjamin.





Kenapa tidak berkesan? Ketidakkeberkesanan ini disebabkan: si penerima aduan (selalunya spesis super-duper Durian) akan merujuk semula kepada "durian-durian" yang kita kaitkan dalam aduan. Oleh kerana si Mentimun yang tulis aduan, maka jawapan "durian" tentunya lebih dipercayai. Maka, tak ada apalah yang berlaku. Yang berlaku, kesannya kepada si Mentimun tadi. Di sinilah akan berlakunya faktor-faktor keselamatan yang tak terjamin. Kesian Mentimun, akan terdedah kepada kemungkinan dikenakan saman fitnah (kononnya aduan yang dinyatakan tak benar) dan mentimun mungkin akan diugut untuk tidak dinaik pangkat, ditukarkan ke kawasan Hulu Tembeling dan sebagainya.


Maka, Kenapa Surat Layang?
Supaya individu yang menulis dapat menulis dengan tenang. Dapat menulis tanpa rasa terancam. Dapat menulis sebagai mentimun yang tidak diugut untuk ditukarkan ke kawasan-kawasan pedalaman. Dapatlah juga meluahkan perasaan dalam hati dan jiwa.



Tajamnya pena, lebih tajam daripada mata pedang.. itulah yang durian-durian takut dengan Surat Layang. Tapi harus diingat, berkemungkinan juga isi surat layang ini penuh dengan fitnah, dzan, syak dan pandangan serong. Justeru, saluran amatlah penting untuk mengelak kewujudan surat berbentuk layang ini.


Sekian. Saya menulis sebagai salah seorang mentimun di bumi Allah swt....

Thursday, February 3, 2011

Apabila takde GPS..

Dentuman mercun di luar rumah menyebabkan mata saya menjadi tidak mengantuk atau seperti simpulan bahasa Melayu, terpaksa "bersengkang mata." Sebagai seorang yang amat menghormati rakan-rakan yang berlainan agama dan budaya, tidaklah saya berasa marah apabila mendengar nyanyian mercun yang memecah keheningan malam.

Almaklum menurut wikipedia, mercun yang dibakar menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka serta nasib malang. Janganlah pula harapnya, puaka yang dihalau oleh jiran bertentang rumah, menyinggah pula di rumah kami hihihihi.....

Kali ini mari kita cerita-ceriti tentang Global Positioning System (GPS).

Sebagai pemandu yang sentiasa terdedah kepada tersesat jalan, saya sangatlah bergantung kepada GPS semasa berada di negara Uncle Sam. Tambahan pula, berdasarkan faktor GPS yang masih mampu dibeli oleh kami meskipun kami ini berada dalam kelompok rakyat miskin di sana. Dengan kos USD50, saya membeli GPS Magellan menerusi Amazon.com. Tawaran harga GPS di Amazon adalah agak menarik memandangkan GPS tersebut adalah factory refurbished.

Oleh kerana GPS yang saya beli bukanlah GPS baru, peta yang dipamerkan juga bukanlah peta yang baru. Justeru kadang-kadang kami masih keliru dan tersesat jalan. Terutamanya apabila ada jalan yang ditutup, maka GPS Magellan kami akan mengamuk (kerana gagal menunjukkan jalan alternatif).







Oleh kerana itu, setiap kali hendak berjalan jauh (road trip), saya meminjam GPS daripada Walmart hehehe... Maka, dapatlah kami merasa GPS pelbagai jenama seperti Garmin dan Tomtom. Setiap kali menukar GPS, setiap kali juga kami terpaksa menyesuaikan diri dengan panduan arahnya yang berlainan. Semasa menggunakan Tomtom, saya berasa sakit kepala kerana arahannya menggunakan kiraan Yard hehehe....


Pulang ke tanah air tercinta, kami tak terfikir langsung hendak membeli GPS. Yelahkan, nak sesat ke mana aje, tempat-tempat yang kami pergi adalah tempat-tempat yang "selalu" kami pergi sahaja. Jadi, bukanlah satu keperluan untuk membeli GPS yang agak mahal juga harganya di Malaysia ni.


Nak dijadikan cerita, kawan baik kami di US, ada mohon kiriman barang kepada keluarga mereka di Kulim, Kedah. Kebetulan pula, menjelang cuti Tahun Baru Cina ini saya pulang bercuti 4 hari di Sungai Petani. Oleh yang demikian, saya bercadang untuk singgah di Kulim semasa perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.


Oleh kerana saya memang dah lupa macam mana caranya nak ke Kulim, saya pun meminta Encik Tam (husband saya) untuk menelefon ke rumah Encik Zack (tuan rumah yang kami nak pergi). Menurut individu yang menjawab panggilan, rumah Encik Zack `dekat sahaja' dengan exit Lunas. Hanya dengan berbekalkan maklumat tersebut, kami begitu yakin akan menemui rumah Encik Zack di Taman Sukacita.


Encik Tam berbisik kepada saya, "tak pernahpun nampak exit Lunas." Saya jawab dengan yakin, "Kita dah 2 tahun tak lalu PLUS, mungkin dah ada la kot." Saya sebenarnya percaya: Sekiranya niat kita baik, maka Allah swt akan membantu kita. Maka bermulalah misi mencari Encik Zack di Taman Sukacita.


Selepas membayar tol di Plaza Tol Sungai Dua, kami mula menajam-najamkan mata untuk mencari exit Lunas. ketika melalui kawasan Seberang Jaya, kami ternampak papan tanda arah ke Kulim. Oleh kerana takut terlepas jalan, kami mengambil keputusan untuk mengikut sahaja exit tersebut.


Arah tersebut membawa kami ke Lebuhraya yang menghala ke Kulim dan Grik. Mujurlah selepas beberapa ketika, kami nampak exit ke Lunas. Kami mula berasa yakin yang kami berada di jalan yang betul. Setelah keluar dari exit tersebut, kami berbelah bagi sama ada untuk ke kiri atau ke kanan. Kami yang tak tahu arah ini kemudiannya menuju ke arah sebelah kiri. Saya meminta Encik Tam berhenti di tepi jalan, supaya saya boleh bertanya arah kepada penjual-penjual yang berniaga di tepi jalan. Dialog adalah seperti di bawah:

Saya: Apa kata berhenti kat tepi tu, boleh saya tanya jalan.


E. Tam: Ok, kat depan tu la. Nampak macam ada orang jual goreng pisang.


Saya: Ok, boleh juga.


E. Tam: Hah, pergi tanya makcik goreng pisang tu (kata Encik Tam sambil memberhentikan kereta).









Maka sayapun mula menyapa:

Saya: Assalamualaikum Makcik, boleh saya tumpang tanya?

Insan yang saya panggil "makcik' itu menoleh kepada saya. Saya mula rasa serba-salah. Ish, ini kerana Encik Tam lah ni, yang menamakan si peniaga ni "makcik goreng pisang"! Orang yang saya tegur itu tidaklah tua sangat. Biasa2 sahaja. Orangnya, siap pakai eye shadow lagi.....

Meskipun saya "ter"panggil dia makcik tapi dia masih memberikan saya senyuman yang manis. Malah, dia menunjukkan saya arah yang betul untuk ke Taman Sukacita. Sekiranya "makcik" tadi menunjukkan saya arah yang salah, saya tidak harus marah kepada dia kerana saya yang agak kurang sopan kerana memanggil dia makcik. Sedangkan, dia layak dipanggil "kakak" dan bukannya makcik. Kitakan orang timur, kenalah bersopan-santun gitu.... :D

Saya kemudiannya mengingatkan Encik Tam supaya jangan mempengaruhi saya untuk memanggil orang lain makcik. Ini kerana, saya pun sudah tua dan layak dipanggil makcik oleh orang lain (wink wink hihihihi).






Takde GPS rupa-rupanya bukan sekadar menyebabkan kita sesat jalan tetapi juga menyebabkan kita terlupa tentang diri sendiri...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...