Tuesday, January 25, 2011

Ramainya orang tak malu :P



Dah lebih dua tahun saya tak naik pengangkutan awam di Kuala Lumpur. Maka dengan bangganya, pada petang hari Jumaat 21 Januari 2011 saya bersama rakan baik saya Cik Pora, bersepakat untuk menaiki komuter ke Mid Valley Megamall. Saya menjadi teruja setelah diberitahu oleh Cik Pora yang komuter sekarang ni ada "Koc Wanita". Khabarnya gerabak komuter ni ada 3 keseluruhannya. Gerabak pertama dan ketiga: Boleh dinaiki oleh sesiapa sahaja, manakala gerabak kedua iaitu yang di tengah-tengah: Dikhususkan untuk wanita.
 
Saya secara peribadinya amatlah bersetuju dengan gerabak mesra wanita kerana saya akan berasa selamat, aman, damai dan tenteram apabila di kelilingi oleh wanita-wanita sahaja.

Tambahan pula, saya amatlah berasa tidak tenteram sekiranya berdiri dan berhimpit-himpit dengan jejaka-jejaka yang langsung tidak dikenali. Tambah-tambah pula sekiranya jejaka-jejaka tersebut pendatang asing yang akan memberi signal aneh kepada deria bau saya. Almaklum, berkemungkinan faktor pemakanan mereka, menjadikan bawang sebagai lauk-pauk utama, yang kemudiannya mendorong kepada krisis kekurangan bawang di pasaran...
 
Maka, dengan wujudnya Koc Pink ini, saya terhindar daripada gangguan seksual, jelingan menggoda dan impak-impak negatif daripada jantina berlawanan. Saya harus ucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Wanita yang amat memahami naluri hati kewanitaan saya meskipun jauh di sudut hati juga, saya mempunyai secebis kasihan dengan kaum lelaki yang BELUM ADA Kementerian Lelaki :D

Berbalik kepada cerita saya nak ke Mid Valley (MV). Sebenarnya, bukan mustahil untuk berjalan kaki ke MV dari pejabat saya, namun kerana orang Malaysia memang "kurang berjalan kaki", jadi tidaklah saya mahu menongkah arus budaya. Justeru, saya berbisik kepada Cik Pora, "Apa kata kita naik teksi?" Cik Pora balas kepada saya, "Teksi mahal RM20. Naik komuter baru singgit," dan kata-kata Cik Pora itu amatlah meyakinkan saya.

 

Maka kamipun menunggu komuter di Stesen Angkasapuri. Kira-kira 15 minit menunggu, tibalah komuter 3 gerabak tersebut. Pastinya, saya menantikan gerabak yang tengah iaitu Koc Wanita.

Komuter petang itu agak penuh kerana waktu puncak untuk warga KL pulang dari tempat kerja masing-masing. Kami terpaksa berdiri berdekatan dengan pintu. Tiba-tiba telinga saya menangkap satu suara yang agak kasar. Pantas saya menoleh ke arah suara tersebut. Kelihatannya seorang lelaki sedang bercakap menggunakan telefon bimbitnya dan dia adalah satu-satunya lelaki yang SESAT dalam koc tersebut!

Lelaki tadi berbual menggunakan bahasa asing. Hati saya mula berkata, "ntah-ntah dia berpura-pura sedang telefon kerana nak cover malu." Justeru, hati saya ingin sekali memaafkan dia di atas kekhilafannya memasuki koc wanita. Mungkin dia tidak sengaja (bersangka baik yeeehaaa...).

Beberapa minit kemudian, saya telah berada di KL Sentral untuk pertukaran komuter. Kami kemudiannya menuju ke platform bertentangan untuk menaiki komuter ke Mid Valley. Sungguh ramai umat manusia di KL Sentral ini.

Melihat orang lain beratur, saya pun beraturlah juga. Sekali lagi, pilihan kami adalah beratur di kawasan koc wanita. Semasa beratur, saya lihat ada beberapa lelaki yang berdiri berdekatan dengan kawasan saya beratur. Yang bagusnya, ada polis bantuan bertugas. Polis inilah yang MENGHALAU jejaka-jejaka tadi daripada kawasan koc wanita. Aikkk, polis halau, baru faham bahasa ke Encik, Tuan-tuan? Takkanlah sampai nak ditegur polis, baru nak beredar! Saya lihat ada banyak signage untuk dibaca. Sungguh terang dan jelas bahawasanya "KOC WANITA KHUSUS UNTUK WANITA".

Apabila komuter tiba, saya terpaksa berhimpit-himpit pula untuk memasuki komuter tersebut. Aiiikkk, kenapa pulak? Bukan ke saya beratur tadi? Hmmm... saya memang beratur, tapi orang-orang lain yang tidak beratur telah menolak-nolak kami yang beratur. Akibatnya, line tadi jadi kelam-kabut dan jadilah saya antara insan-insan yang menolak-nolak orang lain pula. Hmmm, saya sungguh kesal, tetapi apa yang saya lakukan adalah demi survival hidup. Justeru saya ingin meminta maaf kerana gagal berkelakuan sopan huhuhu.... Sesungguhnya perbuatan orang-orang lain tadi, memprovok saya untuk turut berebut-rebut!

 
Dan sekali lagi, ada saja mamat yang SESAT di koc wanita. Saya mula rasa nak menghalau orang yang SESAT nih. Menyibuk je. Tak boleh baca ke Bang? Kalau buta huruf pun, kan ada gambo tu.. Anak saya yang tak pandai membaca pun faham kalau tengok gambar signage "Dilarang membuang sampah." Kan ada gambo "lelaki kena palang tu". Pokok pangkalnya hati, pokok pangkalnya MENTALITI.
 
 
Maka, saya dah tak teruja untuk menaiki koc untuk wanita. Kalau boleh tak naklah saya banding-banding pengangkutan awam kita dengan negara asing, tapi kekadang tu gatal je mulut nak membanding. Dulu saya kursus di Jepun 3 bulan, bila saya balik, semua orang cakap saya kurus. Sebabnya saya hilang lebih 5 kilogram. 2 tahun pula saya di US pun saya hilang berat badan. Kenapa ek? Sebabnya budaya. Budaya kurang jalan vs budaya KENA JALAN. Kalau tak jalan, tak sampai pula ke destinasi yang disasarkan.

Jadi Cik Pora, apa kata lepas ni, kita jalan je lah ke Mid Valley. Tak jauhpun sebenarnya, cuma takde orang buat je hehehehehe... :D
 

Wednesday, January 19, 2011

Hiburkan hati... :)



Saya ambil daripada Blog Aidid Mu'addib... Ingat tau nasihat Si Bonyot: "Jangan masuk skim tak tentu hala & amalkan minum susu." muahahaha.. enjoy...

Friday, January 14, 2011

Kenapa suruh saya beli 5? Saya nak 4 aje...



Pagi ni cuaca agak baik untuk Farina breakfast di luar. Sekali-sekala syok juga keluar sarapan pagi dengan kawan-kawan sepejabat. Kebetulan pula Abg Mat yang selalunya bawak motor, hari ni bawa kereta Kelisanya. Apa lagi, Farina, Mira, dan Sofia pun mengajak Abang Mat untuk breakfast di Food Court, Jalan Burmah.


Farina suka ke situ kerana ada macam-macam pilihan. Bukan hanya nasi lemak dan roti canai, nasi kandar dan pasembur pun ada untuk sarapan pagi. Hari ni Farina nak mencuba roti jala, sudah lama dia tak makan roti jala.




Selepas mengambil 4 keping roti jala, Farina pun ke kaunter pembayaran. Berlaku dialog seperti di bawah:


Farina: Berapa ni kak?
Tukang kira: Ambik lagi satu la, RM2.
Farina: Tapi saya nak 4 je....
Tukang kira: Tambah jadi 5, senang kira, RM2.
Farina: Sekeping berapa kak?
Tukang kira: Sekeping 40sen. Tambah satu lagi RM2.


Dengan terkebil-kebil, Farina pun menambah sekeping lagi roti jala dan membayar RM2.

Pernahkan situasi seperti ini berlaku kepada anda? Hmmm, masalahnya Farina hanya mahu membeli 4 keping roti jala, mengapa si tukang kira tu seperti menghafal skrip menyuruh beliau menambah sekeping lagi roti jala. Mengapa pula Farina menambah roti jalanya?



Si tukang kira, sudah tentulah hendak menghabiskan produk jualannya. Jadi dengan meminta Farina menambah "sekeping sahaja lagi" roti jala, dapatlah dia melajukan jualan roti jala tersebut. Farina pula menambah sekeping roti jalanya kerana hendak menyenangkan perkiraan si tukang kira. Sedangkan tidak ada untung satu senpun pada Farina. Malah, berkemungkinan dia akan membazir wang 40sennya kerana gagal menghabiskan sekeping roti jalanya.


Inilah budaya kita, kita malas nak cakap banyak sangat. Tak suka nak meremehkan keadaan. Bagi situasi yang kita tidak untung seperti ini selalunya kita akan ikut sahaja. Kononnya kita tidak RUGI... BETUL KE TAK RUGI? (apa kata saudara-saudari tanya Farina)


 
Dalam situasi yang kita rasa untung, lagilah kita tak suka banyak cakap dan banyak fikir. Contohnya untuk barang "BELI SATU DAPAT SATU", lagilah kita rasa untung kan kan? Sedangkan harga yang kita bayar tu memang dah mengcover kedua-dua barang tersebut (wallawehh tul la peniaga kan kan).. Maka kita rasa syok giler sebab dapat dua barang yang sebenarnya memang kita bayar pun.






Satu hal lagi kalau barang yang ada barangan percuma. Lagi syok kan kan? Macam dapat hadiah daripada Pak Cik Claus pulak. Walaupun barang yang percuma tu, apakejadahnya dan mungkin akan menyepahkan rumah kita kerana ketidakbergunaannya. Tapi kita nikan kreatif, saya pasti ketika hendak membeli barang tersebut, anda telah mempunyai idea untuk memanfaatkan barangan percuma tersebut... Padahal, setelah dibawa pulang, barang tersebut kekal di dalam plastik ataupun di dalam stor.


Justeru, hargai wang anda dan jangan RUGI pada sesuatu yang anda tidak patut rugi. Jangan berasa UNTUNG pula pada sesuatu yang anda memang tidak untung...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...