Thursday, November 25, 2010

Anjing kamu sangat comel, tapi...



Hari ini kita bercerita pasal topik anjing. Mula-mula kita belajar sikit pasal hukum pegang anjing. Menurut pandangan mazhab Shafie, kalau sentuhan biasa (anjing kering, saya pun kering), maka tidaklah saya perlu samak. Walau bagaimanapun, jikalau saya terkena jilatan anjing (aiseh), perlulah saya menyamak dengan basuhan 7 kali termasuk satu basuhan dengan tanah (Hadith Riwayat Al-Bukhari I/44 dan Muslim I/234).


Maka, jika anda ke luar negara yang mana agama Islam bukan agama dominan, anda akan melihat anjing sebagai haiwan peliharaan yang sangat digemari oleh penduduk di negara tersebut.


Saya pernah tinggal 3 bulan di Tokyo, Jepun dan 2 tahun di United States. Di Jepun, penduduknya memang sangat sukakan anjing. Setiap hari, amat mudah sekali untuk terserempak dengan orang ramai yang membawa anjing mereka berjalan-jalan. Bermacam-macam saiz anjing, ada yang besar sungguh, dan ada yang lebih kecil daripada kucing. Anjing-anjing mereka ini dijaga rapi, dihantar ke pusat grooming untuk dimandikan, dimanicure pedicure dan dipakaikan pakaian yang cantik. Perempuan-perempuan cantik, kebanyakkannya memelihara anjing comel yang bersaiz kecil.


Di United States, jarang pula saya bertemu dengan anjing yang bersaiz kecil. Kebanyakkannya bersaiz sederhana dan besar. Kalau saya ke farmer's market atau ke taman-taman, banyak sekali tuan-tuan anjing yang membawa anjing mereka bersiar-siar. Malah, ada juga yang membawa anjing mereka untuk ke bank. Bagi yang cacat penglihatan, anjing mereka (anjing pembantu) pun turut sama naik bas bersama tuan mereka.


Justeru, amatlah sukar untuk saya mengelak daripada bertemu dengan anjing di Unites States kerana anjing ada di mana-mana hehehehe....


Saya sedar bahawa saya boleh menyamak sekiranya saya terkena air liur anjing tersebut. Anjing-anjing di sini selalunya manja2 dan suka sekali nak menjilat sesiapa yang lalu disebelah mereka. Masalahnya, saya tak kuasa nak menggali tanah dan saya malas nak menyusahkan diri untuk mencari tanah memandangkan saya tinggal di apartment. Tambahan pula, saya kadang-kala tu malas nak menerangkan kepada kawan-kawan yang mempunyai latar-belakang berbeza mengenai proses samak yang perlu saya lalui sekiranya saya dijilat anjing (they might think, I'm kinda freak!)


Akhirnya saya dapat idea:


Tuan anjing: Hello, selamat pagi. Apa khabar? (selepas diterjemah)
Saya: Hello, selamat pagi. Baik. Kamu apa khabar?
Tuan anjing: Saya juga baik.
Saya: Anjing kamu sangat cantik.
Tuan anjing: Terima kasih. Dia juga sangat jinak.
Saya: Ya, saya pasti tentang itu. Tapi...
Tuan anjing: Tak perlu takut, dia tak akan gigit kamu.
Saya: Oh, anjing kamu sangat cantik, tapi saya alergik terhadap bulu anjing.
Tuan anjing: Oh, kasihan kamu. (katanya sambil cuba menjauhkan anjingnya daripada saya).


Berkesan sungguh taktik ini. maka hidup saya aman tanpa diganggu oleh anjing. Walaupun sebenarnya saya tak alergik... :D

Wednesday, November 24, 2010

Bukan saya, tapi mereka!

Hari ini hari Rabu. Cik Tipah baru pulang dari pejabat. Cik Tipah bercadang hendak ke pusat membeli-belah. niat di hati ingin membeli kasut tumit tinggi yang baru.


Sampai sahaja di Pusat Beli-belah, Cik Tipah terus menuju ke butik kasut Bincci. Tiba-tiba datang seorang pemuda cute yang kelihatan seperti mahasiswa awal 20-an menegur Cik Tipah. Bermulalah dialog seperti di bawah:


Pemuda cute: Cik, saya sedang membuat soal-selidik kepenggunaan. Bolehkah Cik jawab sedikit sahaja soalan untuk kajian saya ni?
Cik Tipah: Aaaa, bolehlah apa soalannya?
Pemuda cute: Adakah Cik selalu melihat iklan-iklan jualan murah?
Cik Tipah: Ya, memang banyak iklan jualan murah di TV dan akhbar.
Pemuda cute: Adakah iklan-iklan tersebut berjaya mempengaruhi Cik untuk membeli barangan yang diiklankan?
Cik Tipah: Tidak. Kalau saya rasa tak perlu, saya tak akan beli.
Pemuda cute: Adakah iklan tersebut akan mendorong Cik untuk ke pusat beli-belah yang menawarkan jualan murah tersebut?
Cik Tipah: Tidak semestinya.
Pemuda cute: Pada pendapat Cik, adakah orang lain akan terpengaruh dengan iklan tersebut?
Cik Tipah: Tentu sekali! Itulah sebabnya setiap kali ada sale, semua orang berpusu-pusu ke shopping complex!


Itulah jawapan Cik Tipah dengan bangganya. Apakah yang mendorong Cik Tipah merasakan dia tak dipengaruh sedangkan orang lain adalah terpengaruh. Adakah jawapan Cik Tipah itu kerana pemuda yang menyoalnya terlalu "cute"?


Sebenarnya, ini berlaku bukan hanya pada Cik Tipah seorang... perkara ini telah terbukti oleh "third person effect" iaitu sesuatu perkara itu tidak memberi kesan kepada saya, tetapi memberi kesan kepada mereka. Dan ini adalah salah satu contoh. Akibatnya, Cik Tipah yang tak perasan tadi sebenarnya tergolong sama dalam kumpulan "mereka".... :P

Tuesday, November 23, 2010

Mahal tu mesti bagus! (ahaks!)

Hari ini kita sambung cerita tentang stereotype expensive=good.

Kisahnya begini. Ada dua orang adik-beradik lelaki yatim piatu sangat pandai menjahit. Kedua-duanya bekerja makan gaji sebagai Pembantu Tadbir N17 di Jabatan kerajaan. Untuk mencapai cita-cita mereka menjadi usahawan yang berjaya, mereka pun sepakat untuk berhenti kerja dan membuka kedai jahit di pekan kecil di kampung halaman mereka iaitu di Bagan Lalang, Sepang.

Yang sulung bernama Fadli, yang bongsu bernama Zulkifli (kedua-dua bukan nama sebenar hehehe). Fadli dan Zul sangat gembira kerana berjaya membuka sebuah kedai jahit kecil yang menawarkan tempahan jahitan untuk pakaian lelaki. Sebulan, dua bulan, dan 6 bulan berlalu...

Nampaknya kedai jahit adik-beradik ini yang diberi nama "Kamilah Bintang", masih belum berjaya mendapat pulangan modal. Hutang bank semakin bertambah dan dua beradik ini mula risau kerana bayangan gulung tikar sentiasa bermain dalam fikiran mereka.

Satu hari, Zulkifli mendapat satu ilham. Dia sedar bahawa pelanggan yang masuk ke kedai mereka sering kali ragu-ragu untuk menempah pakaian di kedai mereka. Ini adalah kerana harga kain dan tempahan yang mereka kenakan agak mahal namun kedai mereka masih belum ada nama untuk diyakini oleh pelanggan-pelanggan yang berpoket tebal. Tidaklah sehebat Bernard Chandran atau Butik Lord's Tailor, tak perlu susah-payah nak meyakinkan pelanggan. Justeru, Zulkifli mencadangkan abangnya bermain teknik, "Saya pekak". Begini caranya:

Apabila datang pelanggan ke kedai itu, Zul akan ke bahagian hadapan kedai untuk melayan pelanggan. Sebaliknya Fadli akan berpura-pura sibuk di bahagian belakang kedai. Dan dialog akan berlaku seperti di bawah:

Pelanggan: Berapa harga kain ini semeter?
Zul: Oh, kain ini baru sampai. Nanti saya tanya abang saya dulu. Fadli! kain black silk satin ini berapa semeter?! (sambil menjerit ke arah Fadli)
Fadli: Semeter RM300! (menjerit semula kepada Zul)
Zul: Apa? RM200?! (menjerit dan buat-buat tak dengar)
Fadli: RM300! (jerit semula dengan lebih kuat)
Zul: RM200?
Fadli: RM300 la!
Zul: Oh, RM200. Betullah tu.

Maka, sering kali pelanggan yang terkena dengan taktik "Zul pekak" ini akan cepat-cepat bersetuju dengan harga yang ditawarkan oleh Zul. Dan pelanggan tersebut akan cepat-cepat membuat tempahan, membayar dan meninggalkan kedai, sebelum (kononnya) Fadli akan menyedari Zul melakukan kesilapan. Atau sebelum Zul sendiri menyedari "kesilapan" yang telah dibuat.

Kenapa? Kerana prinsipnya expensive=good bargain.

Muahahahahaha...... :D

Sunday, November 21, 2010

Sedap dilihat, tak boleh dimakan!

Malam ini Sofian ada job jam 8 malam. Sebagai photographer freelance, sudah menjadi perkara biasa bagi Sofian untuk bekerja tidak mengira masa. Kali ini Sofian diberi job oleh sebuah syarikat produksi program masakan yang paling hot di Malaysia iaitu Syarikat Untung Selalu Sdn Bhd, yang menerbitkan program masakan "Oven Kita".

Sampai sahaja di studio program Oven Kita, Sofian menyiapkan alat-alatannya untuk memulakan photography makanan. Gambar pertama yang harus diambil adalah gambar "burger tropicana" yang menampilkan bun roti yang sangat lembut dan lazat. Bagi mencantikkan lagi gambar burger tersebut, Sofian menggunakan gam untuk menambahkan lagi bijan-bijan pada burger tersebut. Waterproof spray juga disembur pada bun roti untuk mengelakkan bun tersebut menyerap minyak daging burger atau lembapan daripada sayuran.


Dan, inilah hasil burger SEMPURNA untuk program Oven Kita.
 

 
Seterusnya, Sofian perlu mengambil foto ayam panggang "Rosemary". Beberapa pekerja produksi program dilihat mencuci ayam mentah tersebut dengan cecair pencuci pinggan untuk menghilangkan lemak-lemak yang berlebihan.




Selepas ayam tersebut dipanggang, Sofian mendapati warna ayam Rosemary tersebut terlalu pudar dan kurang menarik. Sofian kemudiannya menyapu pewarna makanan berwarna coklat bagi menaikkan lagi warna ayam panggang tersebut. Mana-mana bahagian yang nampak takde tone tu, Sofian bakar guna blow torch sahaja.

 

Dan hasilnya sungguh menarik.
 

Akhir sekali Sofian perlu mengambil gambar pencuci mulut iaitu ais krim "sedondon berdansa". Mengambil foto ais krim adalah antara tugas yang paling mencabar kerana ais krim sangat cepat cair. Lampu studio yang panas akan mempercepatkan proses ketidaksedondonan ais krim tersebut untuk berdansa. Jadi Sofian pun memintak tenaga kerja Oven Kita untuk melenyek mashed potato.


Mashed Potato tu kemudiannya ditambah tiga pewarna berlainan untuk menghasilkan efek ala-ala neopolitan. Maka nampak saling tak ubah seperti ais krim sedondon berdansa. Dan hasilnya adalah seperti di bawah:
 

Sofian tak heranpun dengan produk-produk yang menggunakan iklan yang sungguh menarik memancing potential customers. Selalunya iklan makanan, produknya akan nampak besar, lazat, gebu, dan tak ada cacat-celanya. Hmmm, apabila dibeli, hasilnya sangat mendukacitakan. Kadang-kala tu penyek, kecik (saiz hanyalah ilusi), warna pudar, senang kata: tak samapun macam dalam iklan!


Sofian rasa dia tak akan tertipu. Tapi dia tahu, ada Tipah yang akan tertipu... hehehe...

Saturday, November 20, 2010

Tipah yang selalu tertipu



Sudah beberapa kali Tipah bertukar pakaian. Tipah hendak keluar ke Giant, Shah Alam tapi Tipah masih belum berjaya menemui pakaian yang sesuai. Dua tiga bulan kebelakangan ini berat badan Tipah semakin bertambah. Inilah yang menyebabkan Tipah kurang selesa memakai beberapa blouse dan t-shirt saiz "M" nya yang dirasakan semakin ketat dan menampakkan bentuk perutnya. Tipah sendiri tak mengerti bagaimana berat badannya boleh naik begitu cepat.

Tipah bukannya berpendidikan rendah. Tipah ada degree. Tipah celik IT. Tipah pernah terbaca dalam wikipedia bahawa 10 tahun lepas CUMA 3 juta rakyat Malaysia yang ada masalah obesiti. Tipah juga tahu seramai 1.2 juta daripada rakyat Malaysia yang obes itu ada penyakit diabetes. Oleh kerana itu, Tipah tak naklah makan benda manis-manis ni. Tipah jarang nak minum teh tarik di kedai selepas Tipah terbaca yang teh tarik sangat tinggi kandungan gulanya.

Tipah mana ada makan makanan mamak yang tinggi kolestrol ni. Tipah juga tak beli makanan pasar malam yang bergoreng. Tipah pernah tengok penjaja di pasar malam menggoreng ayam menggunakan minyak yang sama berkali-kali. Tipah, jauhi semua makanan bermutu rendah tu. Tipah amal pemakanan sihat. Tipah makan mengikut diet seimbang.


Tipah suka sangat McDonalds, seimbang gitu. Tipah selalu makan di McDonalds. Melainkan kalau Tipah baru dapat gaji, Tipah akan makan di tempat-tempat popular. Mahal sikitpun tak apa, sebab "sekali-sekala" kata Tipah. Bulan lepas Tipah makan di Otarian restoran sebab Tipah teruja tengok iklannya yang membayangkan betapa popularnya makanan di restoran ni. Tak naklah Tipah ketinggalan, takut-takut kalau kengkawan Tipah semua dah rasa makanan ni, tinggal Tipah sorang je tertinggal ketapi. Tambahan pula, sekarang ni zaman facebook. Nanti fb Tipah takde pula gambar makan kat restoran Otarian nih.

 
Tipah juga suka memasak. Masakan yang paling Tipah suka adalah membuat pencuci mulut yang lazat dan berkhasiat. Tipah selalunya menggabungkan bahan-bahan yang berkhasiat terutamanya bijirin sarapan. Kadang-kala tu Tipah letakkan quaker oats untuk memastikan dessert Tipah sentiasa sihat untuk dimakan.


Tipah juga seorang yang gemar berjimat-cermat. Kalau ada promosi makanan, Tipah tidak ketinggalan untuk membelinya. Contohnya kalau Pizza Hut buat promosi Pizza besar pada harga Pizza saiz sederhana. Lagipun, pizza tu makanan yang dibakar bukan bergoreng, apa salahnya makan lebih sedikit.


Tipah juga ada kerjaya yang bagus. Badan makin naik, Tipah risau juga. Hmmm susah-susah Tipah boleh beli produk untuk kuruskan badan kot. ada banyak promosi di internet dan majalah. Bukannya susahpun, tak payah kurang makan atau bersenam, Tipah cuma perlu minum teh je.


Takpun, Tipah dah berkira-kira duit simpanan ASB Tipah untuk beli gelang tungsten. Khabarnya gelang tersebut boleh seimbangkan berat badan Tipah. Tipah kena tepon agent gelang tulah. Mungkin pejabat dorang dah buka lepas cuti raya haji ni. Semoga Tipah berjaya dalam proses mengurangkan berat badannya! Adios!

Wednesday, November 17, 2010

Surat yang amat sedih



Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua warga dunia yang beragama Islam. Hari ini saya ingin persembahkan sebuah surat yang semua orang patut belajar menulisnya. Surat ini untuk menyampaikan berita-berita yang menyedihkan. Begini bunyi surat tersebut:


Kehadapan ayahanda dan bonda tercinta,

Apa khabar ayahanda dan bonda? Anakanda berharap dan sentiasa berdoa supaya ayahanda dan bonda sentiasa sihat walafiat. Alhamdullillah, anakanda ketika ini sihat setelah mengharungi pelbagai dugaan dalam hidup.

Seperti yang ayahanda dan bonda maklum, telah 6 bulan anakanda bertarung usaha di menara gading ini. Nampaknya bukan mudah untuk mengejar cita-cita anakanda untuk menjadi seorang ahli sains. Tambahan pula, selepas sebulan anakanda berada di USM Penang ini, blok kampus kediaman anakanda mengalami kebakaran yang agak serius. Kebakaran tersebut berlaku jam 11 malam. Nasib baik anakanda belum tidur lagi pada waktu itu dan segera anakanda cuba mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri.

Dalam keadaan kelam-kabut, panas, dan jeritan penghuni kampus, anakanda cuba keluar daripada bangunan tersebut menerusi tingkap bilik anakanda. Ketika cuba melompat ke bawah (bilik anakanda di tingkat 2), kaki anakanda disambar api. Syukur ada seorang pemuda yang menghulurkan bantuan segera kepada anakanda. Dia menghantar anakanda ke hospital berdekatan. Kedua-dua belah kaki anakanda melecur teruk akibat kejadian. Pemuda tersebut amat baik hati dan menemani anakanda setiap hari sehinggalah anakanda mampu berjalan semula tanpa bantuan.

Kami akhirnya sama-sama jatuh cinta. Malah, pemuda tadi mempelawa anakanda untuk menumpang di Apartmentnya yang terletak di Sungai Dua. Bonda, ayahanda, kerana rasa cinta yang mendalam antara anakanda dan si dia, kami telah membuat keputusan untuk bernikah. Justeru, anakanda mohon untuk membawa pulang si dia untuk bertemu dengan ayahanda dan bonda pada cuti semester yang bermula minggu depan.

Untuk pengetahuan ayahanda dan bonda, pemuda buah hati anakanda itu tidak bekerja dan baru dibuang oleh USM kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Kami juga menghadapi masalah kewangan yang teruk dan anakanda terpaksa menyara kehidupan kami berdua menggunakan duit PTPTN yang anakanda dapat.

Anakanda juga berharap ayahanda dan bonda jangan terkejut dan masih dapat menerima anakanda kerana anakanda sedang hamil 3 bulan hasil perhubungan dengan si dia. Anakanda masih belum membuat sebarang ujian darah yang anakanda rasakan amat perlu memandangkan pasangan anakanda ini positif dadah. Walau bagaimanapun, anakanda amat menyayangi si dia.

Sekarang, anakanda nak memberitahu informasi yang up-to-date kepada ayahanda dan bonda tercinta. Anakanda nak beritahu yang tiada kebakaran berlaku, anakanda tak melecur, tak masuk hospital, tak mengandung, tak bersedudukan dan tidak ada teman lelaki. Yang sebenarnya, anakanda nak sampaikan bahawasanya anakanda mendapat D untuk kertas "chemistry" dan F untuk kertas "maths".. Anakanda akan pulang pada minggu hadapan. Harap dapat terima anakanda seadanya.


Anakanda tercinta,
Liana


Liana menggunakan perceptual contrast untuk menyampaikan berita yang dia fail dalam kertas chemistry dan maths. Liana mungkin gagal dalam kertas kimianya namun patut diberi "A" untuk psychology. Teori: Cerita yang sangat buruk-buruk dulu, baru sampaikan berita yang sedih tu... enjoy....

Monday, November 15, 2010

Jangan Buka Aib Orang, Jangan Dedah Aib Sendiri



Semalam sebelum tertidur, terbaca pula cerita si Uncle Seeker yang membuat pendedahan panas di blognya tentang cinta shhhh antara dia dan bekas Permaisuri Aisyah. Pendapat saya mudah: biar apapun alasan yang diberikan oleh Uncle Seeker, dia telah buka aib orang dan dedah aib sendiri.

Tidaklah saya hendak menjadi ustazah pada hari ini. sekadar ingat-mengingati kita sesama manusia. Kita punya maruah, ada hati, ada perasaan. Yang paling penting, kita tidak hidup keseorangan di muka bumi ini, tetapi kita ada keluarga, ada kawan, ada kenalan, ada saudara-mara, malah ada musuh.

Perlukah untuk kita membuka aib orang dan mendedahkan aib sendiri?

"Sesiapa yang menutupi (kesalahan) seorang muslim maka Allah menutupinya di dunia dan diakhirat" (Shahih Sunan Ibn Majah, hadis 2078).

Bagaimana pula mendedahkan aib sendiri?

Contohnya: Saya pernah minum arak di Zouk, KL.

Everyone has a secret!

Tidak boleh mendedahkan aib sendiri kerana seolah-olah kita bermegah dengan dosa yang pernah kita lakukan. Malah, orang yang mendengar tentang aib kita itu, akan memandang rendah terhadap diri individu tersebut. Percayalah, aib yang kita lakukan bukan menyebabkan kita dipandang tinggi, tetapi menyebabkan kita dipandang hina.

Think carefully about the people to whom you want to reveal your secret. The biggest mistake a person can make is to simply blurt their hidden truth. The second biggest mistake is to make it a big production.

Yang malu adalah diri sendiri.....

Sunday, November 14, 2010

Stereotype= expensive is good



Cerita seorang pekedai yang saya paparkan sebelum ini adalah contoh kepada stereotypes yang berlaku dalam kehidupan kita. Sebagai manusia, ada pelbagai perkara yang harus kita fikirkan. Justeru, kita perlukan shortcut untuk berfikir.

Maka, apabila pelancong-pelancong yang lazimnya daripada semenanjung datang ke kedai Cik Milah, mereka terpesona dengan brooch Sapphire yang dijual. Tambahan pula harganya agak mahal jika dibandingkan dengan brooch2 yang lain. Untuk kenang-kenangan dan dibawa pulang ke Semenanjung, sudah tentulah pelancong-pelancong tadi mahu membeli sesuatu yang berkualiti dan affordable.

Maka shortcutnya: expensive=good.

Berbalik semula kepada cerita Cik Milah, sebagai seorang businesswoman yang bijak, Cik Milah tak mengambil masa lama untuk berfikir tentang strategi yang seterusnya. Pada musim cuti sekolah yang seterusnya, Cik Milah bukan sahaja mengulang taktik yang sama, malah mengkreatifkan lagi strategi pemasarannya. Sebelum musim cuti sekolah, Cik Milah naikkan harga produk di kedainya kepada 200%. Pada musim cuti sekolah Cik Milah turunkan harga, reduced to 50%! Reduced to 70%!

Siapalah yang tak nak beli barangan murah tapi berkualiti. Bak kata pepatah: Alah membeli, menang memakai. Eh, menang memakai ke kita sebenarnya?

Cerita Seorang Pekedai



Pernahkah anda membeli aksesori di Kota Kinabalu, Sabah? Kalau anda pernah sampai di KK tentu sekali anda akan tertarik hati untuk membeli pelbagai aksesori di Pasar Filipina yang terletak di tengah2 bandar KK.

Hari ini saya nak berkongsi satu cerita. Cik Milah sudah 5 tahun berniaga di Pasar Filipina, KK. Boleh tahan juga sambutan pelanggan terhadap aksesori yang dijual di kedainya. Dia menjual pelbagai jenis brooch, rantai mutiara, dan gelang mutiara.

Namun, kebelakangan ini Cik Milah agak susah hati. Brooch berpermata Sapphire yang merupakan produk terbaru dikedainya itu kurang mendapat sambutan. Cik Milah sudah mencuba pelbagai taktik penjualan seperti mengarahkan pekerja-pekerjanya mengutamakan penjualan brooch tersebut serta meletakkan brooch tersebut di tengah-tengah cermin kaca di kedainya. Namun, segala usaha Cik Milah tidak berhasil.

Cik Milah bertambah susah hati apabila musim cuti sekolah akan bermula pada hujung minggu tersebut. Cik Milah bimbang sekiranya pelancong yang datang tidak berminat untuk membeli brooch sapphire tersebut. Kebetulan pula Cik Milah terpaksa terbang ke semenanjung kerana perlu menghadiri perkahwinan anak sedaranya. Pada petang hari Jumaat, sebelum berlepas ke Airport, Cik Milah meninggalkan secebis nota kepada pekerja. Nota bertulis tangan tersebut berbunyi, "tukar harga brooch sapphire kepada 1/2".

Cik Milahpun berlepas ke Semenanjung dan menghadiri kenduri. Dia hanya pulang ke KK pada hari Selasa berikutnya. Dalam hati Cik Milah, tentu sekali brooch Sapphire tu telah terjual kerana diskaun separuh harga.

Seperti yang Cik Milah telah duga, brooch tersebut memang habis dijual. Walau bagaimanapun, apa yang Cik Milah tidak sangka ialah pekerjanya tersalah membaca nota tangannya. Tulisan 1/2 Cik Milah disangka oleh pekerjanya sebagai 2! Almaklum, semasa Cik Milah menulis nota itu, dia agak gundah-gulana dan kertas yang digunakan pula adalah kertas yang renyuk.

Oleh itu, Cik Milah telah mendapat keuntungan berlipat ganda! Apakah sebabnya? Apakah rahsianya? Cerita seterusnya akan disambung kemudian... :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...